Feeds:
Posts
Comments

Archive for April 22nd, 2009

Produk dihasil pensyarah UMT dapat Anugerah Mawhiba

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Selepas memenangi Pingat Emas bagi inovasi dan reka bentuk di Geneva baru-baru ini, Teknologi Tiub Nano Titania (TNT) bagi meneutralkan sisa kumbahan secara semula jadi yang dibangunkan penyelidik di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapat satu lagi lonjakan pengiktirafan apabila rekaannya dijangka digunakan secara komersial di Arab Saudi tidak lama lagi.

Sebelum diaplikasi dalam sistem pelupusan sampah negara itu, kerajaan Arab Saudi kelmarin memberi pengiktirafan kepada produk ciptaan Pensyarah Jabatan Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohd Hasmizam Razali, menerusi Anugerah Mawhiba iaitu satu penghargaan berprestij yang dikhususkan kepada hasil penyelidikan berasaskan teknologi hijau dan mesra alam.

Sejajar dengan pengiktirafan itu, negara itu juga secara prinsipnya sudah bersetuju untuk menggunakan teknologi TNT secara komersial di negara mereka berikutan fungsi dan kesannya dalam memulihara alam sekitar melalui rawatan kumbahan menggunakan titanium yang diperoleh daripada tanah sekali gus menjimatkan kos.

“Menerusi kaedah TNT, sisa kumbahan dan bahan enap cemar serta pencemaran yang terjadi daripada proses pereputan akan dineutralkan hingga mencapai PH7.

“Lazimnya bahan yang digunakan untuk merawat bahan kumbahan ialah karbon teraktif, tetapi bahan itu tidak berkesan secara langsung untuk mengawal bahan tercemar kerana ia hanya berperanan mengubah bahan berkenaan mengikut fasa dan kos penyelenggaraan merawat bahan berkenaan menjadi sangat mahal,” katanya.

Mohd Hasmizam berkata, TNT terhasil secara semula jadi dalam tanah justeru kos penggunaan TNT lebih rendah, senang disediakan, mesra alam, pelbagai guna dan stabil terhadap kesan racun.

“TNT dijangka dapat digunakan secara meluas menggantikan karbon teraktif sebagai kaedah rawatan sistem kumbahan yang lebih mesra alam dan berpotensi besar digunakan sebagai penapis komersial kerana peranan serta kelebihan yang ada padanya,” katanya.

Katanya, TNT kini sedang dalam proses untuk dipatenkan sebelum boleh dikomersialkan sebagai bahan yang boleh meneutralkan kumbahan kepada mana-mana syarikat yang berminat.

TNT yang dibangunkan Selain berjaya mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi, produk itu juga berjaya memenangi ingat emas pada Pameran Antarabangsa Produk dan Rekabentuk ke-37 di Geneva Switzerland baru-baru ini.

Advertisement

Read Full Post »

RM68.9j disediakan bina jalan dan sistem rawat najis berpusat

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM68.9 juta untuk projek pembinaan jalan kedua dan sistem rawatan najis berpusat di Kampung Cina, di sini yang akan mula dibina pada Februari tahun depan hingga Ogos 2011.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Toh Chin Yau, berkata bagi membolehkan kerja pembinaan yang dijangka mengambil masa 18 bulan itu berjalan lancar, seramai 16 keluarga dari sembilan rumah di situ akan dipindahkan dalam tempoh terdekat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri berkata, kontraktor yang terbabit dalam kerja pembinaan itu sudah memberi jaminan untuk memberi bantuan ihsan kepada penduduk terbabit bagi memudahkan urusan perpindahan mereka.

“Projek pembinaan jalan dan sistem rawatan najis berpusat di sini akan membabitkan kawasan rumah penduduk ini yang dibina di atas tanah milik kerajaan dan bukan tanah persendirian.

“Kerajaan negeri sudah diberi jaminan oleh kontraktor yang terbabit dalam projek ini bahawa mereka bersetuju untuk memberi bantuan ehsan berbentuk tenaga kerja bagi membantu pemilik dan penyewa terbabit berpindah ke lokasi baru,” katanya selepas lawatan ke Kampung Cina di sini, kelmarin.

Dalam lawatan itu, Toh menerima papan tanda lama daripada peniaga tempatan untuk dipamerkan di Lorong Papan Tanda Lama di situ sebagai satu daripada tarikan pelancongan di perkampungan unik yang kaya dengan unsur sejarah dan seni warisan budaya tempatan itu.

Beliau berkata, peniaga lain yang mahu menggantikan papan tanda lama di premis masing-masing disaran mendermakan papan tanda lama kedai mereka kepada penyelaras iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta persatuan penduduk di situ untuk diabadikan.

Katanya, kewujudan Lorong Papan Tanda Lama juga adalah satu lagi nilai tambah produk pelancongan di Kampung Cina selain Lorong Alam Sekitar, Lorong Warisan Dunia dan Lorong Kenangan Payang.

“Kita sudah ada taman bunga yang menempatkan pelbagai spesies tumbuhan menarik di Lorong Alam Sekitar, replika monumen mini yang mempamerkan tujuh keajaiban dunia di Lorong Warisan Dunia dan wajah serta sejarah tokoh politik Cina terkenal di negeri ini di Lorong Kenangan Payang,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 21 April – Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM243.3 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi di seluruh negeri ini untuk tempoh tiga tahun sehingga 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahaya Khatib Mohamad berkata, peruntukan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu adalah dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan telekomunikasi di negeri ini termasuk di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, sebahagian besar peruntukan itu bagi pembinaan 98 menara baru di bawah program TIME 3 yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM137.2 juta.

Katanya, melalui program TIME 3 itu, perkhidmatan telefon selular akan diperluaskan ke semua kawasan penempatan penduduk terutama di kawasan luar bandar seperti di Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Marang.

”Projek pembinaan menara ini telah bermula pada akhir tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Garis Panduan Penyediaan Kerja Sivil Bagi Infrastruktur Telekomunikasi di Kawasan Pembangunan Baru di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Wilayah Timur SKMM, Mohd. Shafie Harun.

Yahaya Khatib berkata, sebanyak RM72 juta daripada peruntukan itu juga akan digunakan untuk mewujudkan 48 Pusat Jalur Lebar Komuniti yang kini 12 daripadanya telah beroperasi sejak awal Januari lalu.

Selain itu, katanya, RM5.5 juta disediakan bagi menaikkan taraf 21 perpustakaan desa sebagai Perpustakaan Lebar Komuniti dalam memastikan penduduk di luar bandar turut sama menikmati kemajuan teknologi.

Beliau menambah, sebanyak RM15.6 juta lagi diperuntukkan bagi penyediaan 5,200 talian individu jalur lebar di kawasan terpilih.

Sementara baki RM4 juta pula adalah untuk penyediaan akses telekomunikasi asas kepada golongan orang kurang upaya yang akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurut beliau, adalah dijangka melalui peruntukan besar disediakan dan pembangunan yang akan dilaksanakan menjelang tahun tersebut kira-kira 95 peratus penduduk di negeri ini akan dapat menikmati kemudahan jalur lebar.

Read Full Post »

DUNGUN 21 April – Amalan makan telur penyu masih menjadi salah satu halangan terhadap kejayaan usaha pemuliharaan penyu bukan sahaja di Terengganu malah di seluruh negara.

Ketua Program Penyu Terengganu-WWF, Rahayu Zulkifli berkata, telur penyu telah dijadikan tarikan sejak zaman-berzaman untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

Menurutnya, ini menyebabkan pelancong yang datang menjadikan aktiviti membeli telur penyu terutama di Pasar Besar Kedai Payang sebagai salah satu aktiviti ‘wajib’ ketika berkunjung ke Terengganu.

”Apa yang berlaku sekarang ialah, penjualan telur penyu masih berlaku di Terengganu terutama telur penyu yang dibawa masuk dari negeri lain tetapi pembelinya datang dari seluruh negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program gotong-royong membersihkan pantai di Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah di sini baru-baru ini.

Untuk mengekang masalah itu, jelasnya, WWF Malaysia melaksanakan Kempen Egg > Life iaitu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa setiap telur penyu yang dimakan mengandungi satu nyawa anak penyu.

Dengan cara itu, jelasnya, penjualan serta amalan makan telur penyu dapat dihentikan.

Menurutnya, kempen berkenaan yang dilancarkan di ibu pejabat WWF di Selangor Ahad lepas akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin tandatangan sebagai sokongan terhadap usaha pemuliharaan penyu.

Katanya, antaranya ialah menyokong undang-undang yang mengharamkan perdagangan serta pemakanan semua jenis telur penyu, aspek perundangan yang lebih komprehensif.

”Mereka yang menurunkan tandatangan menyokong kempen ini juga berikrar tidak akan memakan telur penyu atau melibatkan diri dalam perdagangan penyu,” ujarnya.

Jelasnya, WWF Malaysia menyasarkan untuk mengumpul 40,000 tandatangan sebagai permulaan ke arah usaha pemuliharaan penyu yang lebih berkesan pada masa akan datang.

Read Full Post »

PESERTA menikmati jamuan yang disediakan selepas membersihkan kawasan pantai Ma’Daerah, baru-baru ini.


DUNGUN 21 April (Utusan Malaysia) – Setiap kali kedatangan musim penyu bertelur, Jabatan Perikanan Terengganu melaksanakan program gotong-royong membersihkan pantai pendaratan penyu sebagai persediaan untuk hidupan berkenaan mendarat.

Ia merupakan sebahagian daripada program pemuliharaan penyu selain rondaan di kawasan pantai setiap malam sepanjang musim itu bagi memastikan tiada berlaku pencerobohan dan kegiatan curi telur.

Terengganu mempunyai 49 pantai pendaratan penyu dan Pantai Ma‘Daerah adalah salah satu kawasan pendaratan utama bagi penyu agar, selain Geliga, Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Berdasarkan kepentingannya, Pusat Santuari Penyu Ma‘Daerah dimulakan operasi pada tahun 1999 dan setiap tahun program pembersihan pantai itu diadakan sebagai langkah menyediakan kawasan yang selesa dan bersih untuk penyu bertelur.

Untuk program tahun ini yang berlangsung baru-baru ini, jabatan tersebut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar dan penduduk kampung melalui Persatuan Khazanah Rakyat Ma‘Daerah (Mekar).

Kira-kira 800 orang terlibat menjayakan program itu termasuk daripada Dana Hidupan Liar (WWF) Malaysia dan badan korporat seperti BP Malaysia, BP Petronas Acetyls dan Awana Kijal Hotel, Spa and Beach Resort.

Program yang diketuai Pengarah Perikanan negeri itu, Munir Mohd. Nawi dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasek, Ir. Rosli Othman.

Munir ketika ditemui berkata, tujuan program berkenaan bukan hanya untuk membersihkan pantai, malah untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap penjagaan alam sekitar dan pemuliharaan penyu.

Menurutnya, gotong-royong berkenaan adalah sebahagian daripada program penerangan dan pendidikan yang dilaksanakan oleh Pusat Santuari Penyu Ma‘Daerah selain program penyu angkat dan sarang angkat.

Beliau memberitahu, sepanjang tiga bulan pertama tahun ini sebanyak 60 sarang penyu agar telah dikesan di pantai Ma‘Daerah dan Kemaman sahaja.

Jelasnya, ini merupakan peningkatan antara lima hingga 10 peratus berbanding pendaratan penyu dalam tempoh yang sama tahun lalu.

‘‘Namun, penyu belimbing yang bertumpu di Rantau Abang langsung tiada pendaratan sepanjang tempoh ini,” ujarnya.

Beliau berkata, melalui program gotong-royong ini juga, peserta terutama penduduk kampung didedahkan dengan kesukaran yang dihadapi penyu semasa melakukan pendaratan untuk bertelur.

Katanya, ini sekali gus membantu mengekang tabiat makan telur penyu di kalangan penduduk negeri ini yang telah berakar umbi sejak sekian lama.

‘‘Ada kalangan peserta memberitahu saya bahawa selepas menyertai program ini mereka ‘insaf’ dan tidak mahu lagi makan telur penyu.

‘‘Jadi, bagi saya program sebegini amat baik dan berkesan dalam memastikan kejayaan program pemuliharaan penyu terutama jika diterapkan di kalangan pelajar sekolah,” ujarnya.

Read Full Post »