Feeds:
Posts
Comments

Archive for April 23rd, 2009

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Sebanyak 540 kompaun dike-luarkan Jabatan Kesihatan Terengganu kepada orang ramai atas kesalahan merokok di tempat awam atau kawasan larangan merokok sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Dr Nordiyanah Hasan berkata, sehingga Mac tahun ini, pihaknya telah mengeluarkan 177 kompaun atau notis kesalahan kepada orang ramai kerana melakukan kesalahan yang sama.

Menurut beliau, Dungun menjadi daerah paling tinggi pengeluaran kompaun iaitu sebanyak 48 diikuti Kuala Terengganu (47), Kemaman (29), Hulu Terengganu (18), Marang (16), Setiu (11) dan terakhir kawasan Besut (8).

“Sehingga Mac tahun ini, sebanyak RM7,765 bayaran kompaun berjaya dikutip dan bagi tahun sebelum pula nilainya sebanyak RM27,422 (2008), RM38,977 (2007), RM35,895 (2006) dan RM34,360 (2005),” katanya.

Beliau berkata, 20 kawasan telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok iaitu di pusat hiburan atau teater, hospital atau klinik, lapangan terbang, premis kerajaan, taman asuhan kanak-kanak dan kompleks membeli belah.

Katanya, penguatkuasaan di tempat larangan merokok itu akan dijalankan oleh semua pegawai yang berkuasa mengeluarkan kompaun iaitu Pegawai Kesihatan Daerah dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Inspektor Kesihatan).

“Pegawai lain yang turut diberi kuasa mengeluarkan kompaun kepada individu merokok di tempat awam adalah pengarah hospital, Pembantu Perubatan dan Pembantu Kesihatan Awam tertentu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Nordiyanah memaklumkan kompaun maksimum dikenakan kepada pesalah adalah RM1,000 dan sekiranya sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Bagaimanapun, buat masa ini kita akan tawarkan nilaian kompaun sebanyak RM250 kepada semua pesalah kecuali bagi mereka di bawah umur 18 tahun akan ditawarkan RM50.

“Oleh itu, saya nasihatkan orang ramai supaya tidak merokok di tempat larangan, jangan suruh anak di bawah umur 18 tahun membeli rokok dan jadikan rumah masing-masing sebagai kawasan larangan merokok untuk kesejahteraan keluarga,” katanya.

Read Full Post »

NORLIZA Razali membungkus keropok lekor yang menjadi nadi utama dalam industri pelancongan di Kampung Losong, Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU 22 April (Utusan Malaysia) – Selama lebih 30 tahun, Kampung Losong di sini terkenal di seluruh negara kerana penghasilan keropok lekor yang merupakan antara makanan tradisional paling popular di Terengganu.

Malah kerana popularitinya, Kampung Losong diiktiraf sebagai pusat perniagaan keropok lekor di Terengganu oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kewujudan semakin banyak kedai dan gerai baru menjual keropok lekor di sekitar daerah ini sekarang memberi saingan hebat kepada peniaga di Kampung Losong.

Ini membuatkan kira-kira 20 peniaga di Kampung Losong mencari jalan untuk meningkatkan usaha bagi memastikan para pelanggan terus menjadikan keropok lekor Losong sebagai pilihan utama.

Ini termasuk usaha menubuhkan Persatuan Pengusaha Keropok Lekor Losong (PKLL) selepas 30 tahun kawasan perniagaan itu diwujudkan dalam usaha mencari kesepakatan untuk meningkatkan perniagaan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Keropok Lekor Losong (PKLL), Suhaimi Ali berkata, selama ini peniaga lebih bersikap mementingkan perniagaan masing-masing dan tiada kerjasama dalam memastikan Kampung Losong terus dikenali ramai.

Menurutnya, mesyuarat pertama persatuan itu diadakan pada 24 April ini untuk membincangkan hala tuju serta pelan perniagaan masa hadapan.

”Saya berharap penubuhan persatuan ini bukan sahaja membolehkan kami bersama meningkatkan perniagaan masing-masing malah mempromosikan Kampung Losong sebagai pusat perniagaan keropok lekor,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai pendekatan perlu dicari bagi memastikan para pelanggan terus datang membeli di Kampung Losong.

”Usaha perlu dilakukan bagi mengelak keropok lekor Kampung Losong ‘tenggelam’ dengan kewujudan semakin banyak pengusaha di sekitar kawasan ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pada masa kini kebanyakan pelanggan yang membeli keropok lekor di Kampung Losong merupakan pelancong dari luar Terengganu.

”Orang tempatan jarang membeli keropok lekor dan jika ada pun, mereka membeli dalam kuantiti yang sedikit dan perniagaan hanya rancak pada hujung minggu dan musim cuti,” jelasnya.

Katanya, setiap kedai menjual sehingga 500 kilogram keropok lekor sehari apabila tiba musim cuti.

Beliau memberitahu, mereka yang mengunjungi Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini turut singgah di Kampung Losong untuk membeli keropok lekor.

Beliau berkata, keropok lekor Kampung Losong dikenali ramai dengan bentuknya yang kecil iaitu sepanjang 12.7 sentimeter.

”Bentuknya ini membezakan ia dari keropok lekor yang dihasilkan di kampung lain,” ujarnya.

Beliau memberitahu, persatuan akan bekerjasama dengan para peniaga di Kampung Losong untuk memikirkan cara meningkatkan promosi keropok lekor mereka.

”Promosi dilihat amat penting untuk memastikan lebih ramai pelanggan mengenali keropok lekor dari Kampung Losong.

”Selain itu, kami juga akan cuba mencari kesepakatan untuk menyelaraskan harga jualan untuk faedah bersama,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, persatuan itu juga akan memastikan mutu keropok lekor Kampung Losong sentiasa terjaga bagi mengelak imej makanan itu tercalar.

”Bagaimanapun, setakat ini, kami tidak pernah menerima sebarang aduan berhubung kualiti dan mutu keluaran produk di sini,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 22 April (Utusan Malaysia) – Pasar Malam Taman Shahbandar di sini yang beroperasi setiap hari Jumaat akan dipindahkan ke hadapan Bazar Warisan di sini mulai 1 Mei ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Nor Laila Ariffin berkata, pemindahan itu dilakukan bagi menyediakan satu kawasan tetap untuk para peniaga pasar malam tersebut.

Katanya, sebelum ini para peniaga pasar malam itu tidak dapat berniaga apabila Taman Shahbandar digunakan untuk majlis atau aktiviti tertentu.

”Kami menerima banyak aduan daripada peniaga yang tidak berpuas hati apabila mereka tidak boleh menjalankan perniagaan di Taman Shahbandar apabila ada sesuatu majlis diadakan.

”Kami berharap penempatan semula ini akan menyelesaikan masalah peniaga-peniaga berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nor Laila berkata, jalan di antara Bazar Warisan hingga ke simpang tiga Balai Bomba Kuala Terengganu akan ditutup dari pukul 2 petang hingga 10 malam setiap Jumaat berikutan penempatan semula pasar malam itu.

”Ia adalah bagi melicinkan operasi pasar malam selain membantu mengawal laluan trafik di sana,” katanya.

Selain itu, jelasnya, penempatan semula pasar malam itu juga akan membantu mempromosikan Bazar Warisan kepada orang ramai.

Read Full Post »

Penduduk Batu Rakit nikmati prasarana disediakan kerajaan

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.4 juta yang disediakan kerajaan negeri bagi menyediakan pelbagai kemudahan asas termasuk membina ruang niaga dan menyelesaikan masalah air paip berkarat membuktikan kerajaan prihatin dengan permasalahan rakyat dan adil dalam pengagihan belanjawan untuk menyediakan prasarana demi keselesaan penduduk di Kampung Maras, Batu Rakit.

Lebih 7,000 penduduk di kampung yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Bandaraya Kuala Terengganu, bangga apabila semua masalah dihadapi dan dibangkitkan melalui muzakarah pada setiap kali perjumpaan diselesaikan kerajaan.

Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Batu Rakit, Khazan Che Mat, berkata antara masalah dihadapi penduduk di kampung itu ialah ketiadaan pasar, longkang dan parit tertimbus, air paip berkarat serta ketiadaan dewan untuk penduduk mengadakan perjumpaan dan aktiviti.

Bagaimanapun, katanya, masalah dihadapi dan dibangkitkan penduduk melalui muzakarah pada mesyuarat JKKK berjaya diselesaikan apabila kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM3.2 juta untuk keselesaan penduduk.

“Antara projek dilaksanakan ialah membina rumah kedai dua tingkat sebanyak empat pintu membabitkan peruntukan berjumlah RM1 juta; pembinaan pasar dan dewan serbaguna masing-masing membabitkan kos sebanyak RM1.2 juta.

“Bagi menangani masalah air berkarat, kerajaan menyediakan peruntukan RM500,000 untuk kerja-kerja penukaran saluran paip, membaiki parit dan longkang, RM200,000 serta menaik taraf beberapa jalan kampung membabitkan perbelanjaan RM300,000,” katanya.

Khazan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, berkata lebih membanggakan apabila JKKK Kampung Maras diberi tanggungjawab penuh kerajaan untuk mengendalikan dewan serbaguna yang turut mengandungi dua gelanggang badminton.

Katanya, JKKK itu juga diberi tanggungjawab mengendalikan kelas komputer yang ditempatkan di bangunan dewan serbaguna selain menguruskan sewaan dewan dan tiga bilik penginapan musafir.

“JKKK Kampung Maras adalah JKKK pertama di negeri ini diberi tanggungjawab penuh kerajaan untuk mengendalikan dewan dan ia adalah penghargaan paling istimewa,” katanya.

Kamaruddin Mohd, 58, yang diberi tanggungjawab menguruskan dewan serbaguna itu, berkata kadar sewa ditetapkan untuk penggunaan dewan dan bilik penginapan berhawa dingin serta gelanggang badminton adalah berpatutan.

Katanya, hasil sewaan dewan itu digunakan untuk pembayaran bil elektrik, air dan bakinya akan dimasukkan ke dalam tabung JKKK bagi melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan tanpa memohon bantuan daripada wakil rakyat.

“Kelas komputer dikendalikan dua guru iaitu Cik Akmal Harun dan Iza @ Noriza Wahab juga mendapat sambutan pelajar yang terdiri daripada anak penduduk di kampung ini.

“Seramai 33 pelajar yang sedang mengikuti kelas komputer dan mereka akan diberi sijil selepas mengikuti latihan selama tiga bulan,” katanya.

Pengerusi JKKK Kampung Maras, Azami Ali, 55, berkata seluruh warga penduduk yang mendiami kampung itu berbangga kerana semua masalah terutama berkaitan prasarana termasuk masjid mampu diselesaikan kerajaan dalam tempoh yang singkat.

Katanya, masalah parit tersumbat dan ketiadaan longkang sehingga menyebabkan berlakunya kawasan ditenggelami air juga selesai apabila RM200,000 diluluskan kerajaan negeri untuk membaiki saliran air.

“Kita juga akan memohon kepada kerajaan agar dapat membina longkang hingga ke sawah padi bagi menyelesaikan masalah sawah kekeringan air,” katanya.

Azami berkata, JKKK akan mengadakan mesyuarat setiap bulan serta ahli jawatankuasa diberi kebebasan untuk mengemukakan masalah dihadapi penduduk, sebelum ia dipanjangkan kepada Khazan.

“Kaedah menghentam kerajaan dan wakil rakyat kerana kekurangan kemudahan asas melalui persidangan di warung kopi tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya semua penduduk tanpa mengira fahaman politik diberi hak menyuarakan pendapat melalui muzakarah yang diadakan setiap bulan,” katanya.

Read Full Post »

PERMAISURI (Berita Harian): Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera kepada semua mangsa ribut dan menghantar bahan binaan seperti atap bagi membolehkan mereka membaiki segala kerosakan akibat ribut dan angin kencang yang melanda di beberapa buah kampung di daerah ini, kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata bantuan segera ini akan disalurkan melalui beberapa jabatan kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Pejabat Daerah Setiu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memastikan semua mangsa menerima bantuan untuk membaiki kerosakan kediaman mereka.

Katanya, bantuan segera amat diperlukan dan berharap kerja-kerja pembaikian dapat dilakukan segera setelah bahan binaan seperti kayu dan atap dapat dibekalkan kepada mangsa.

“Kita akan memastikan semua mangsa ribut mendapat bantuan ini dan ia akan diuruskan segera. Pejabat Daerah dan Pejabat Kebajikan Masyarakat diminta dapat membuat bancian dan menghantar bantuan secepat mungkin kepada mangsa yang terlibat, ” katanya selepas membuat lawatan mengejut ke rumah mangsa ribut di Kampung Penarik dekat sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Daerah Setiu, Marzuki Endut, Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah, Emilia Sumiyati Embong dan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee.

Dalam kejadian Ahad lalu, lebih 30 buah rumah rosak teruk termasuk sebuah rumah hampir ranap dihempap pokok kelapa selepas ribut melanda beberapa buah kampung di daerah ini.

Antara kampung terbabit dalam kejadian itu adalah Kampung Penarik, Kampung Penarik Baru, Kampung Banggol dan Kampung Kenderang yang terjejas teruk akibat angin kencang yang merosakkan beberapa buah rumah penduduk.

Selain bumbung rumah milik penduduk diterbangkan angin banyak pokok turut tumbang dalam kejadian itu hingga menyebabkan bekalan elektrik di beberapa buah kampung turut terputus.

Read Full Post »