KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Sepasang suami isteri yang mempunyai anak berumur 11 bulan ditangkap polis kerana mengedar dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Lebak, Kuala Berang, Hulu Terengganu, jam 12 tengah malam, Sabtu lalu.
:Hasil serbuan itu, polis berjaya menemui sebanyak 1,930 biji pil Wy bernilai kira-kira RM96,000 yang disembunyikan pada badan wanita terbabit, selain merampas wang tunai RM1,800 dipercayai hasil jualan dadah berkenaan.
:Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid berkata, ketika serbuan dilakukan, pasangan berumur 23 dan 19 tahun itu berada di dalam bilik sebelum suaminya cuba melarikan diri, namun dia juga berjaya ditangkap.
:“Hasil siasatan awal, kami dapati dadah itu diperoleh dari negeri jiran untuk dijual kepada penagih di sekitar Kuala Berang dan aktiviti ini dipercayai sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian:, semalam.
:Menurut Roslan, suspek yang bekerja sebagai buruh dan isterinya kini ditahan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
:“Selain itu, polis juga berjaya menangkap lima pengedar dadah termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan yang dilakukan di kawasan Setiu, Kemaman dan Kuala Terengganu sejak seminggu lalu.
:“Semua suspek yang berumur antara 27 hingga 48 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya, Langkah-langkah Pencegahan Keselamatan (LLPK) 1985,” katanya.
:Menurut Roslan, tangkapan itu dilakukan melalui Ops Camar Felda di kawasan Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman dan Kuala Terengganu bermula 19 April lalu, hasilnya seramai 421 pengedar serta penagih ditangkap.
:“Secara keseluruhan menerusi operasi berkenaan, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM118,000 daripada pengedar dan penagih, sementara harta disita pula berjumlah RM150,000 berupa kenderaan dan wang tunai.:
:“Operasi ini ditumpukan di kawasan Felda sebagai usaha membersihkannya daripada kegiatan dadah dan kami dapati kebanyakan warganya terbabit dalam jenayah seperti pecah rumah serta curi motosikal,” katanya.