KUALA TERENGGANU, 19 April (Bernama) — Kerja membina tangki Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di atas bukit di Pulau Redang untuk disalurkan kepada resort dan rumah rehat di pulau pelancongan itu mengikut peraturan dan mengambil kira semua keperluan termasuk menjaga alam sekitar pulau tersebut.
Pengurus Operasi Kanan SATU Baharin Puteh berkata, pembinaan tangki air itu telah mendapat kelulusan Pejabat Perhutanan Negeri Terengganu.
“Mana-mana pokok yang menghalang laluan projek berkenaan telah ditanda terlebih dahulu oleh Pejabat Hutan sebelum ditebang dan kita tidak tebang sewenang-wenangnya kerana garis panduan telah dikeluarkan oleh pejabat berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Baharin berkata, memang ada pokok-pokok besar di lereng bukit yang ditebang, tetapi ia telah mendapat kebenaran dari Pejabat Hutan negeri.
“Kemusnahan hutan simpan di pulau itu seperti yang didakwa, tidak berlaku,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri Toh Chin Yaw bahawa kontraktor yang membina projek berkenaan telah menebang pokok-pokok balak sehingga mewujudkan kelodak dan mencemarkan sekitar pantai pulau itu bila hujan.
Toh yang melawat pulau itu Khamis lepas telah mendengar aduan penduduk pulau berkenaan yang mendakwa kontraktor berkenaan telah menebang balak sesuka hati untuk mendapat untung yang lebih.
— BERNAMA