Berikut adalah peta laluan trafik yang dikeluarkan MBKT.
Klik di sini untuk imej yang lebih besar.
Posted in Berita, tagged jalan sehala, Kuala Terengganu, laluan trafik, MBKT, peta jalan, peta trafik on April 7, 2009| 5 Comments »
Posted in Uncategorized on April 7, 2009| Leave a Comment »
![]() AHMAD cuba membuat laksa di Kampung Maras, Batu Rakit. |
Program sehari di DUN Batu Rakit berjaya tambat hati rakyat
KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Walaupun seorang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sedikit pun tidak kekok memanjat bumbung rumah untuk menukar atap yang bocor, mengayuh basikal bertemu penduduk kampung, malah berganding bahu bersama penduduk membersihkan kawasan persekitaran.
Sikap mesra, ramah, ringan tulang dan ‘jenaka’ pemimpin nombor satu negeri itu yang jelas terlihat sepanjang Program Sehari Bersama Menteri Besar bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit baru-baru ini, ternyata sangat disenangi rakyat setempat.
Bagi Ahmad, mungkin latar belakang keluarganya yang pernah hidup susah satu masa dulu memberi kelebihan kepadanya untuk menjadi pemimpin yang dekat dengan rakyat, malah mudah memahami masalah dihadapi penduduk setempat yang tidak putus-putus menghampirinya mengadu seribu satu hal pada hari itu.
Program yang diatur bermula seawal jam 8 pagi. Di satu kawasan lapang di Maras, Batu Rakit kelihatan ribuan penduduk daripada pelbagai lapisan usia sudah berkumpul untuk melihat dari dekat wajah pemimpin kesayangan mereka.
Ketibaan Menteri Besar bersama isteri, To’ Puan Norliza Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Khazan Che Mat yang diiringi golongan pemuda menaiki motosikal besar mengundang perhatian penduduk setempat yang menyambut penuh mesra kehadiran tetamu istimewa itu.
Beliau kemudian memulakan programnya pada pagi itu dengan bergotong-royong dan berganding bahu bersama penduduk Kampung Maras dan Wakaf Catur untuk menggantikan atap rumah 14 penduduk yang rosak, diikuti majlis penyerahan geran tanah kepada 56 penduduk tempatan.
Ketika berehat sebentar untuk minum pagi, penduduk tempatan dilihat tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan tetamu istimewa itu. Malah, ada yang bijak mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan bersama untuk diabadikan.
Bagi penduduk, Jamilah Mahmood, 45, kunjungan Menteri Besar itu dianggap sangat istimewa dan membuktikan keprihatinan pemimpin negeri itu yang sanggup turun padang dan menghabiskan masa bersama penduduk setempat untuk mendekati masyarakat di segenap kawasan.
“Makcik kagum melihat Menteri Besar yang tidak kekok langsung bergaul mesra dengan penduduk di sini walaupun antara kami jurangnya terlalu jauh. Maklumlah, beliau seorang pemimpin dan kami hanya orang kampung. Bagaimanapun, sikapnya yang mesra, merendah diri dan kelakar membuatkan beliau sangat disenangi,” katanya.
Peniaga, Hamzah Osman, 52, berkata, keluarganya seronok dapat membabitkan diri dalam acara yang disusun sepanjang hari itu, malah, apa yang lebih menggembirakan baginya ialah program itu bukan saja dapat mempertemukan rakyat setempat dengan Menteri Besar, malah mengeratkan silaturahim sesama penduduk.
Seterusnya, pada jam 11 pagi, program diteruskan dengan Ahmad merasmikan Pasar Maras dan menyampaikan geran tanah tapak rumah dan pertanian kepada 79 penerima.
Selesai majlis berkenaan, Menteri Besar kemudian menunaikan solat Zuhur di masjid Kampung Bukit Wan dan makan tengah hari, hidangan gulai kawah yang dimasak secara gotong-royong di Padang Bola Kampung Gong Lingai.
Sejurus itu, beliau turut menunjukkan kebolehan menanam kelapa sawit di bawah program meningkatkan pendapatan rakyat di Kampung Lingai dan membuat penyerahan 1,280 anak kelapa sawit kepada 64 peserta.
Program seharian yang pertama kali diadakan yang membabitkan lebih 5,000 penduduk setempat itu turut menyediakan pelbagai acara termasuk pertandingan sukaneka, masakan tradisional, gubahan sirih, junjung, demonstrasi memproses laksa secara tradisi.
Posted in Uncategorized on April 7, 2009| Leave a Comment »
KUALA TERENGGANU, 7 April (Bernama) — Adik kepada seorang lelaki yang dibelasah sehingga koma Sabtu lalu merasa teramat kesal dengan orang yang sanggup bertindak demikian terhadap abangnya.
Zaidi Husin, 23, berkata jika benar abangnya terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Al Amin, Bukit Payong Jumaat lalu seperti yang didakwa, mereka yang berkenaan seharusnya menahan abangnya dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat lebih mendalam sebelum sebarang melakukan hukuman sendiri.
“Saya sungguh merasa kesal dan kecewa ke atas kecederaan abang saya yang dipukul oleh dua lelaki sehingga tidak sedarkan diri.
“Kalaupun abang saya bersalah, mengapa dia tidak ditangkap sahaja dan diserahkan kepada pihak yang berkuasa.
“Saya hairan di zaman yang serba moden sekarang, ada lagi manusia yang sanggup bertindak dan membuat undang-undang sendiri sehingga abang saya masih koma sehingga hari ini,” katanya kepada Bernama di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini Selasa.
Zaidi, seorang buruh bergegas pulang dari Johor Baharu setelah mengetahui kejadian yang menimpa abangnya.
Beliau berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan yang rapi berhubung perkara itu dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat agar ia tidak berulang kepada orang lain.
Zaidi berkata abangnya yang cedera parah terutama di bahagian kepala masih belum sedarkan diri.
Dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kejadian itu telah menyerah diri kepada polis sehari selepas kejadian dan kini ditahan reman sehingga 9 April bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan.
— BERNAMA