Feeds:
Posts
Comments

Archive for April 19th, 2009

KUALA TERENGGANU, 19 April (Bernama) — Bekas atlet lompat jauh negara, Kamaruddin Maidin, 66, yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bagi penyakit paru-paru kronik sejak sembilan hari lalu, meninggal dunia hari ini.

Anaknya Kamarezuan, 37, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.30 tengah hari dengan semua anggota keluarga berada di sisinya.

“Keluarga kami akan membawa balik jenazah untuk diuruskan di rumah kami di Permint Jaya, Chendering dan jenazah allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di sini selepas waktu asar hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kamaruddin merupakan anak Terengganu pertama mewakili negara ke sukan Olimpik Rome 1960 bersama-sama Dr M. Jegathesan dan Dr. Shaharudin Ali dalam sukan olahraga.

Di zaman kegemilangannya pada tahun 1960-an, Kamaruddin merupakan atlet pertama negara yang memenangi lima pingat emas dalam lima Sukan SEA berturut-turut bermula 1959 dalam acara lompat jauh dan dua pingat emas dalam acara lompat kijang.

Kisah penderitaan allahyarham yang pernah mendapat rawatan untuk penyakit yang sama di Hospital Puteri, Kuala Lumpur pada tahun 2003 turut disiarkan media hari ini.

Sebelum dimasukkan ke HSNZ pada 10 April lalu, allahyarham juga pernah dirawat di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) sebanyak dua kali awal tahun ini.

Semalam, Mumtaz Jaafar, selaku Pengerusi Yayasan Kebangsaan Atlet Negara dan Presiden Persatuan Olahraga Terengganu (POAT) Datuk Wan Hisham Salleh turut meluangkan masa menziarahi Kamaruddin di HSNZ.

Allahyarham meninggalkan isteri Rajemah Sheikh Ahmad, 65, juga bekas atlet dan pemenang pingat gangsa Sukan Asia 1966 dan enam orang anak lelaki, kesemuanya merupakan bekas atlet olahraga.

— BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »

KERTIH, 18 April (Bernama) — Kekurangan penyu-penyu jantan dilaporkan telah menyebabkan telur-telur penyu belimbing yang dieram tidak dapat ditetaskan di Pusat Santuari Penyu Rantau Abang, Terengganu.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Munir Mohd Nawi berkata, walaupun pendaratan penyu belimbing dicatat sebanyak dua kali ganda di Pantai Rantau Abang, Dungun pada 12 dan 23 Jun tahun lepas, namun kesemua telur yang dieramkan di Pusat Santuari Penyu Rantau Abang tidak dapat ditetaskan kerana tidak disenyawakan oleh penyu jantan.

“Kesemua 200 biji telur penyu belimbing itu tidak dapat ditetaskan kerana tidak disenyawakan terlebih dahulu dan ini berpunca daripada masalah ketiadaan spesis jantan. Kita sifatkan perkara ini sebagai kritikal,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Program Cakna Penyu di Pusat Santuari Ma’Daerah, di sini Sabtu.

Majlis gotong royong itu yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan Negeri dengan kerjasama BP Petronas Acetyls dan Tabung Hidupan Liar (WWF) disertai oleh 800 penduduk dan pelajar sekolah.

Munir menjelaskan bahawa sebelum penyu-penyu betina bertelur di daratan, mereka perlu melakukan persenyawaan terlebih dahulu dengan penyu jantan, bagi membolehkan telur-telur yang mereka hasilkan dapat menetas.

“Contohnya di Pulau Tioman, Pahang pada tahun lepas yang turut berlaku pendaratan penyu belimbing. Bagaimanpun jumlah penetasan telurnya amat terhad. Walaupun ada kehadiran penyu jantan, namun ia lemah kerana hanya beberapa biji telur sahaja yang menetas,” katanya.

Beliau berkata walaupun pada masa ini terdapat kaedah saintifik untuk menghasil spesis jantan dari telur yang dieramkan, namun usaha ini tidak akan bermakna jika tiada persenyawaan berlaku.

Mengenai jumlah pendaratan penyu pada tiga bulan pertama tahun ini, Munir berkata, ia mencatatkan peningkatan sebanyak lima hingga 10 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Katanya pada tahun lepas sahaja sebanyak 36,000 hingga 40,000 telur penyu telah didaratkan di Terengganu dengan sebahagian besarnya merupakan penyu karah dan belimbing.

Ketua Program Penyu Terengganu Tabung Hidupan Liar Duina (WWF), Rahayu Zulkifli berkata WWF akan melancarkan Kempen Jangan Makan Telur Penyu tidak lama lagi dalam usaha menyelamatkan penyu daripada pupus.

“Kebanyakan pelancong yang datang ke negeri ini akan mencari telur penyu. Jadi kita ingin mengubah perkara ini dan berharap pemandu pelancong tidak lagi menggunakan telur penyu sebagai daya tarikan pelancong ke Terengganu,” katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »