Feeds:
Posts
Comments

Archive for April 2nd, 2009

KUALA TERENGGANU: Penyuraian laluan trafik daripada laluan dua hala kepada laluan sehala di pusat bandar raya Kuala Terengganu mula berkuat kuasa, semalam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, (MBKT), Datuk Mat Razali Kassim, berkata ketika ini kerja meratakan pembahagi jalan di laluan utama terutama membabitkan Jalan Sultan Ismail, Jalan Air Jernih dan Jalan Batas Baru sedang giat dilaksanakan sebelum penguatkuasaan laluan satu lorong dilaksanakan Rabu ini.

“Kami yakin urusan penyuraian trafik bagi memastikan kelancaran trafik di bandar raya ini dapat dilaksanakan pada masa yang dijadualkan.

“Matlamat MBKT adalah untuk memastikan semua laluan di bandar raya ini menjadi satu lorong bagi melancarkan pergerakan trafik dan mengurangkan kesesakan,” katanya yang ditemui selepas Majlis Bertemu Pelanggan MBKT di Menara Permint di sini semalam.

Mat Razali berkata, selain kerja membuang pembahagi laluan dan meratakan laluan yang terbabit, pihaknya juga turut membesarkan bahu jalan sepanjang Jalan Sultan Ismail untuk kemudahan pejalan kaki bermula dari menara Permint hingga ke bangunan Tabung Haji/Agro Bank di persimpangan Jalan Tok Lam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mat Razali berkata MBKT sedang berusaha memastikan jumlah tempat meletak kenderaan mencukupi di bandar raya ini termasuk membina beberapa tempat letak kereta bertingkat bagi menampung keperluan jumlah kenderaan sedia ada.

Katanya, antara yang sedang dibina ialah kawasan letak kereta bertingkat berhampiran Kompleks Paya Bunga dan beberapa kawasan lain yang sedang dikenal pasti.

“Kami akui bilangan petak meletak kenderaan di bandar raya Kuala Terengganu ketika ini tidak mencukupi, tetapi MBKT sudah menyediakan beberapa kawasan meletak kereta tambahan termasuk kawasan lapang yang boleh memuatkan hingga 80 kenderaan di Jalan Batas Baru serta tempat letak bertingkat di Kompleks Kampung Tiong.

“Bagaimanapun ia tidak digunakan dengan sebaiknya menyebabkan laluan di bandar raya ini sesak kerana (pengguna) mereka lebih selesa meletak kenderaan di bahu jalan,” katanya.

Beliau berkata, justeru beliau mengingatkan warga kota Kuala Terengganu supaya lebih dan bertimbang rasa dan menggunakan sebaiknya kemudahan yang disediakan bagi mengurangkan kesesakan di pusat bandar.

Advertisement

Read Full Post »