Feeds:
Posts
Comments

Archive for April 8th, 2009

KUALA LUMPUR (Sinar Harian) – Kajian kemungkinan pembinaan Lebuh raya Pantai Timur (LPT) Fasa 3 yang telah dijalankan pada 15 Julai 2007 dijangka siap pada 15 Mei ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Yong Khoon Seng berkata, LPT 3 merupakan sambungan dari LPT2 di Kuala Terengganu, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan.

“Cadangan jajaran lebuh raya sepanjang 150 kilometer ini akan melalui daerah Kuala Terengganu, Daerah Setiu, Besut, Jajaran Pasir Puteh, Jajahan Bachok, Jajahan Kota Bharu, Jajahan Pasir Mas sebelum berakhir di jajahan Tumpat.

“Kementerian sedia maklum keperluan pembinaan LPT dalam mewujudkan rangkaian perhubungan yang berkesan di antara Pantai Timur dan Pantai Barat semenanjung serta mempertingkatkan rangkaian jalan sedia ada,” katanya dalam Persidangan Dewan Negara di sini, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Datuk Ahmad Rusli Ibrahim ingin tahu status dan perancangan LPT dalam mewujudkan rangkaian perhubungan berkesan.

Menurutnya, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) yang menghubungkan Karak ke Kuantan telah dibuka kepada pengguna pada 1 Ogos 2004 dan kini telah disambung sehingga ke Jabor manakala Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) iaitu sambungan daripada LPT 1 ke Kuala Terengganu sedang dalam pembinaan.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) –: Sebuah kilang terbiar di Kampung Banggol Air Lilih, di sini, membimbangkan penduduk sekitar apabila dikatakan menjadi tempat ‘persinggahan’ penagih dadah yang mahu melepaskan gian sejak tiga tahun lalu.

:Selain keadaan luaran yang menyeramkan penduduk setempat, kegiatan penagihan dadah di kawasan terbabit turut dikaitkan dengan kes pecah rumah dan kecurian yang kerap berlaku di kawasan taman perumahan berdekatan.

:Salah seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mohd Marzuki Ahmad, 45, mendakwa, beberapa kejadian kecurian dan pecah rumah pernah berlaku di kawasan tempat tinggalnya.

:“Kejadian berlaku tahun lepas apabila pencuri berjaya memecah masuk rumah jiran saya. Walaupun risau dengan keadaan itu, namun kami terpaksa menjalani kehidupan seperti biasa selagi kilang berkenaan masih dibiarkan begitu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kegiatan penagihan dadah didapati berlaku sehingga kini ketika waktu petang sehingga malam.

:Dia yang pernah terserempak turut memberitahu bahawa penagih dadah terlibat bukan sahaja membabitkan remaja, namun ada antara mereka dianggarkan berumur 30 tahun ke atas.

:Mohd Marzuki berkata, kegiatan penagihan di kawasan terbabit bagaimanapun jarang diperkatakan penduduk setempat sejak akhir-akhir ini, namun percaya kegiatan itu masih diteruskan individu tidak bertanggungjawab sehingga kini.

:“Kami juga mendengar kilang terbabit akan dijadikan pusat beli-belah, tetapi belum tahu sejauh mana kebenarannya. Apa yang penting, bangunan itu tidak seharusnya dibiarkan kosong begitu,” katanya.

Read Full Post »

BESUT 7 April (Utusan Malaysia)- Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu memperuntukkan RM2.1 juta untuk membantu petani di negeri ini membeli pelbagai peralatan dan jentera kecil sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Shamsuddin Mat Rani berkata, menerusi kaedah pinjaman geran sepadan daripada peruntukan Kerajaan Pusat itu, lebih 400 petani di negeri ini terutama pesawah akan menikmati faedahnya.

Katanya, menerusi kaedah itu petani mampu memiliki pelbagai peralatan dan jentera kecil dengan hanya membayar separuh daripada harga sebenar manakala separuh lagi dibiayai oleh kerajaan.

“Sehingga kini kami menerima permohonan berjumlah RM1.2 juta daripada petani dan baki kira-kira RM1 juta lagi boleh dimohon oleh petani yang berminat menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berdekatan,” ujarnya.

Menurut Shamsuddin, peruntukan di bawah geran itu tahun ini meningkat tiga kali ganda berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM500,000 sahaja.

Selain itu beliau berkata, LPP Terengganu juga menyediakan peruntukan berjumlah RM1.5 juta kepada dua PPK kawasan sebagai modal pusingan pembelian hasil padi daripada petani.

Jelasnya, daripada jumlah itu sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada PPK Gerai manakala RM500,000 lagi kepada PPK Kerandang.

Usaha itu menurutnya, akan membolehkan PPK berkenaan yang menjalankan urusan membeli hasil padi daripada petani menjelaskan bayaran lebih awal kepada petani yang menjual hasil padi mereka.

Beliau menasihatkan petani di dua kawasan itu supaya menjual hasil padi mereka menerusi PPK masing-masing bagi membolehkan keuntungan yang diperolehi disalurkan semula kepada petani.

Read Full Post »

KUALA BERANG (Berita Harian): Bandar Kuala Berang yang semakin membangun kini akan menjalani proses menaik taraf infrastruktur secara berperingkat bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan dan keindahan landskapnya, sekali gus memberi kelebihan untuk menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong luar ke bandar ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Mohamad Nor Ibrahim, berkata antara kemudahan baru yang akan dibina dan dinaik taraf ialah sistem perparitan dan laluan pejalan kaki, projek pencahayaan, pembinaan rumah kedai, pasar besar dan terminal bas yang lebih tersusun.

Beliau berkata, semua usaha menaik taraf itu diharap dapat menjadikan Kuala Berang sebagai bandar satelit yang lengkap dengan infrastruktur selesa dan moden serta memiliki landskap menarik dengan tahap kebersihan tinggi dan pembangunan yang tersusun.

Katanya, MDHT memperuntukkan sejumlah RM4 juta untuk menjalankan proses meratakan tanah seluas 40 hektar di tapak pekan Ajil bertujuan menyusun dan menstruktur semula pembangunan pekan berkenaan yang akan turut menempatkan stesen teksi dan bas, dewan serba guna serta rumah kedai.

“Selain itu, kita juga memperuntukkan RM3 juta untuk projek pencahayaan dan landskap. Dengan ini, bandar Kuala Berang akan kelihatan lebih ceria dan meriah dengan cahaya lampu berwarna-warni yang bergemerlapan khususnya pada waktu malam.

“Selain itu, RM3 juta peruntukan diberikan kerajaan negeri untuk menaik taraf jalan di kawasan taman perumahan dan jalan kampung, manakala sejumlah RM400,000 lagi peruntukan untuk membina kawasan pejalan kaki sejauh satu kilometer di pusat bandar,” katanya.

Mohamad Nor berkata, MDHT juga sudah di peringkat akhir melengkapkan pelan untuk mewujudkan pusat pentadbiran setempat yang menempatkan pejabat kerajaan negeri dan Persekutuan di daerah itu, sebagai usaha meningkatkan kemudahan perkhidmatan dan pentadbiran kerajaan.

Read Full Post »