
PELBAGAI hidangan kuih-muih dijual untuk kakitangan di Kafeteria Darul Iman. |
Kemudahan selesa elak kakitangan habis masa makan di luar
KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Sebut saja kantin di pejabat kerajaan, di minda pasti terbayang susunan meja dan kerusi plastik atau kayu yang tidak menarik untuk dipandang, manakala deretan menunya pula hampir sama setiap hari, tanpa banyak pilihan untuk memenuhi selera.
Bagaimanapun, suasana kantin atau Kafeteria Darul Iman, di Wisma Darul Iman di sini jauh berbeza dari senario di atas. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan kafeteria yang dilengkapi set perabot moden dan hiasan dalaman terkini di situ, sama tarafnya dengan restoran di hotel lima bintang.
Tidak keterlaluan juga jika dikatakan, pengunjung yang kali pertama menjejakkan kaki di kafeteria itu pasti terkejut dan terpegun sebaik keluar dari lif di tingkat satu bangunan berkenaan apabila melihat reka hias ruang makan yang mewah, umpama mengunjungi restoran hotel.
Suasana eksklusif dengan cahaya lampu kekuningan yang menyinari segenap ruang, juraian manik kristal yang menambah seri ruang, selain dinding indah bertampal dengan kertas dinding bercorak dan berwarna-warni cukup untuk membangkitkan rasa nyaman dan tenang setiap pengunjung.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong, berkata kafeteria yang diubah suai dengan kos RM2 juta itu bertujuan menyediakan tempat makan yang selesa kepada lebih 1,000 kakitangan di bangunan berkenaan, selain mengatasi masalah pembaziran masa apabila kakitangan terpaksa keluar pejabat dalam tempoh lama untuk makan pada waktu rehat.
 |
KAFETERIA baru di Wisma Darul Iman, eksklusif, bertaraf hotel. |
Beliau berkata, dengan adanya kafeteria yang cantik, bersih dan menawarkan variasi makanan enak, kakitangan akan lebih tertarik untuk menjamu selera di kafeteria pejabat, sekali gus menjimatkan masa dan mengelakkan masalah produktiviti sehingga menjejaskan mutu perkhidmatan.
Katanya, walaupun bagi sesetengah pihak, ubah suai yang diilhamkan daripada kafeteria di Bank Negara Kuala Lumpur itu menelan kos tinggi, namun, pihak pentadbiran beranggapan ia adalah satu usaha berbaloi apabila produktiviti dan mutu perkhidmatan kakitangan dapat ditingkatkan.
“Ini adalah salah satu usaha kita untuk mengurangkan masalah kakitangan mengambil masa terlalu lama semata-mata untuk makan di luar pejabat. Mereka tak perlu lagi terkejar-kejar masa, sebaliknya boleh bersarapan, makan tengah hari dan minum petang di kafeteria ini.
“Kita juga menetapkan supaya pihak pengendali kafeteria menyediakan perkhidmatan dan menawarkan variasi menu seperti hotel lima bintang, tetapi harganya perlulah berpatutan. Setakat ini kita sangat berpuas hati dengan pengendali kafeteria sedia ada kerana mereka bukan saja menyediakan menu tradisional, tetapi juga hidangan barat dan aneka mee serta kuih yang menyelerakan.
“Berbanding kantin lama yang agak kusam, kafeteria baru yang mula beroperasi sejak Disember lalu, berjaya menarik lebih ramai kakitangan makan di sini. Kita akan sentiasa menaik taraf kemudahan lain yang perlu demi keselesaan dan kesenangan kakitangan di sini,” katanya.
Sementara itu, bagi Pembantu Am Rendah, Sharifah Fatimatol Zahra Syed Mustafa, 41, langkah mengubah suai kafeteria itu sangat baik dan memuaskan hati kakitangan yang sebelum ini terpaksa mencari kedai makan atau restoran di luar untuk menjamu selera.
“Dengan wajah baru kafeteria ini, kakitangan bukan saja boleh menjimatkan masa, tetapi juga wang kerana dapat mengurangkan kos untuk ke kedai makan luar. Saya juga berpuas hati dengan variasi menu yang ditawarkan kerana selain sedap, harganya juga berpatutan,” katanya.
Pembantu tadbir bahagian Sumber Manusia, Salwa Najmuddin, 25, berkata, kafeteria baru lebih ceria dan segar dengan reka letak perabot moden yang menarik dan hiasan bungaan yang menambah seri sekitar. Selain itu, televisyen juga sentiasa dipasang dan tahap kebersihan sangat memuaskan,” katanya.
Pengendali kafeteria, Suriayani Abd Ghani, 39, yang memiliki syarikat katering SS Unggul Caterer berkata, beliau yang dibantu seramai 25 tenaga kerja sentiasa memastikan menu dihidangkan setaraf dengan masakan di rumah dan kebersihan kafeteria sentiasa terpelihara bagi menjamin keselesaan serta kepuasan pelanggan.
Katanya, walaupun memberi perkhidmatan dan menyediakan hidangan bertaraf hotel, harga dikenakan masih murah dan pihaknya juga sering diminta menyediakan makanan untuk pelbagai acara mesyuarat yang diadakan setiap minggu.