HULU TERENGGANU 3 April (Utusan Malaysia) – Abang tiri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhammad Ramli Che Nuh ditemui mati lemas hari ini ketika cuba menyelamatkan anaknya yang mandi bersama rakan-rakannya di Lata Belukar Bukit di sini semalam.
Mangsa, Che Mohd. Abdul Rashid Che Nuh, 56, dipercayai lemas selepas terjun ke dalam sungai itu untuk menyelamatkan anak perempuannya tengah hari semalam.
Ketika kejadian, anak mangsa, Nurmaizatul Akmal, 19, sedang mandi bersama empat adik beradiknya serta seorang rakan, Normah Abu, 19, di lata itu.
Mangsa yang dikatakan tidak pandai berenang terjun ke lata itu selepas ternampak anak perempuannya bersama rakannya itu terkapai-kapai kelemasan.
Menurut Nurmaizatul, dia dan rakannya tiba-tiba dibawa arus ke tengah sungai menyebabkan mereka tidak mampu untuk berenang ke tebing sungai.
“Dalam keadaan kelam-kabut itu, ayah saya terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan saya walaupun saya tahu dia tidak pandai berenang.
“Bagaimanapun, ayah saya dibawa arus sungai. Saya pula akhirnya berjaya sampai ke tebing, manakala Normah diselamatkan oleh beberapa orang askar yang kebetulan sedang membuat latihan di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui di Hospital Hulu Terengganu di sini hari ini.
Gerakan mencari dan menyelamat mangsa dijalankan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu disambung semula pagi ini selepas dihentikan kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Supritendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah ketika ditemui memberitahu, mayat mangsa ditemui tidak jauh dari tempat kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi ini.
“Kita percaya mangsa tertarik ke dasar sungai akibat pusaran air,” katanya.
Jenazah Allahyarham Che Mohd. Abdul Rashid dihantar ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dibawa ke Kampung Rajawali Chendering untuk dikebumikan petang ini.