
KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said percaya bahawa UMNO Terengganu sekarang tidak mempunyai sebarang masalah sebagaimana pernah dibangkitkan pihak tertentu sebelum ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu berkata, setakat ini beliau tidak merasakan apa-apa gelora yang sedang berlaku dan menyifatkan ia sebagai biasa.
Malah katanya, beliau tidak mengetahui apa-apa sekiranya ada pihak mengatakan berlakunya masalah dalaman parti di bawah pentadbiran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang baru, Datuk Seri Hishammuddin Husein.
“Saya biasa. Saya tidak tahulah, kalau awak (pemberita) ada apa-apa, awak tahulah, saya tiada (masalah) apa-apa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis makan tengah hari di Restoran Seri Wangsa di Gong Badak, semalam.
Sebelum ini, Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik pernah menyatakan bahawa UMNO negeri ini berkemungkinan berpecah kepada tiga dengan pelantikan baru melibatkan jawatan Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari Perhubungan UMNO negeri yang diumumkan Hishammuddin, baru-baru ini.
Pada majlis sama, Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri bersetuju melantik satu pasukan penyiasat konsultan bagi membuat kajian berhubung punca runtuhan bumbung bangunan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebulan lalu.
Menurut Ahmad, kepu- tusan dibuat Mesyuarat Exco Rabu lalu, memilih firma milik konsultan dari United Kingdom yang mempunyai cawangan di Kuala Lumpur bagi mengendalikan kerja-kerja siasatan de-ngan seberapa segera.
Kerajaan negeri, katanya, akan menyerahkan kepada pejabat kewangan untuk membuat rundingan berhubung beberapa terma dan syarat-syarat tertentu termasuk bayaran dalam tempoh tiga bulan sebelum membuat lantikan rasmi.
“Kita fikirkan perlunya dua pihak untuk menyiasat iaitu kerajaan Pusat yang bertanggungjawab kepada Kabinet, dan kita (kerajaan negeri) kerana ini melibatkan peruntukan kita,” katanya.
Leave a Reply