
KUALA DUNGUN – Dungun akan menjadi destinasi kaki pancing yang terkenal di rantau Asia, khususnya China apabila usaha mempromosikan aktiviti itu kini giat dilakukan membabitkan kerajaan negeri dan Persatuan Memancing Negara China.
:Pegawai Daerah, Zulkifli Mohamad berkata, kerajaan negeri melalui Bahagian Pelancongan Negeri dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan@MATTA Terengganu kini giat merangka usaha sama dengan China untuk membawa peminat joran dari negara ‘bermata sepet’ itu datang ke Dungun menyertai acara karnival memancing yang akan dianjurkan tidak lama lagi.
:Menurut Zulkifli, sebagai persediaan awal, pihaknya mahu pengusaha industri pelancongan di Daerah Dungun sama ada yang terbabit secara langsung atau tidak langsung harus bersedia menerima tetamu berkenaan.
“Majlis Tindakan Pelancongan dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu akan menganjurkan beberapa kursus pelancongan untuk warga Dungun dalam masa terdekat ini supaya kita semua bersedia menerima kunjungan pelancong terbabit.
:“Jika apa yang dirancang menjadi kenyataan, Dungun akan menerima kunjungan pelancong terutama dari China yang pastinya memberikan impak sangat baik kepada ekonomi penduduk tempatan, justeru, jangan lepaskan peluang keemasan ini,” katanya ketika merasmikan acara TM Fiesta Musim Candat 2009 di Padang Astaka, di sini, malam kelmarin.
:Turut hadir Pengurus Besar TM Terengganu, Azhar Mohd, Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Fahtil Abd Ghani serta Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Wan Ariffin Wan Long.
:Menurut Zulkifli, sebagai ‘acara pemanas’, pihaknya mempelawa semua kaki pancing sama ada yang tinggal di kawasan berdekatan atau luar Dungun menyertai acara TM Cabaran Candat Sotong 2009 sirkit ketiga di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kuala Dungun, 4 Julai ini.
:“Kami harap acara itu akan mencipta sejarah baru dengan penyertaan paling ramai peserta berbanding acara sama yang pernah dianjurkan di Marang.
:“Dengan hanya mendaftar RM70 secara berkumpulan yang diwakili 10 peserta, mereka mungkin berpeluang meraih hadiah lumayan RM42,000,” katanya.