Feeds:
Posts
Comments

Archive for July 17th, 2009

KUALA TERENGGANU: Warga Terengganu yang berada di perantauan khususnya sekitar Lembah Klang berpeluang mengubat kerinduan kepada makanan tradisional negeri ini dengan berkunjung ke Pesta Makanan dan Buah-Buahan Terengganu atau IT3F pada 1 Ogos ini di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata program yang dianjurkan kerajaan negeri berkonsepkan perpaduan dengan tema 1Terengganu bermula dari jam 6 petang hingga 12 malam itu ditujukan khas buat anak Terengganu khususnya yang bekerja di Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata, kerajaan negeri yakin perhimpunan anak Terengganu di perantauan itu adalah sejajar dengan gagasan perpaduan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, program itu juga disasarkan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pimpinan kerajaan negeri dan rakyat Terengganu di perantauan.

“Program IT3F dengan kerjasama Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) ini akan membabitkan semua daerah di negeri ini yang akan bertanggungjawab menyedia dan menyelaras makanan serta produk yang menjadi identiti sesuatu daerah itu.

“Sebagai contoh, Kemaman yang terkenal dengan lemang Kijal akan menyediakan bekalan lemang. Ia secara tidak langsung dapat memberi pulangan dan pendapatan kepada pengusaha makanan yang menjadi identiti negeri ini.

“Banyak lagi makanan tradisional Terengganu lain yang akan disediakan pada pesta itu nanti termasuk nasi dagang, nasi minyak, nasi lemak, nasi kuning dan aneka jenis kuih. Pengunjung boleh menjamu selera sepuas-puasnya dengan menikmati makanan yang disediakan secara percuma,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, kelmarin.

Ahmad berkata, buah-buahan serta makanan tradisi Terengganu dijangka menjadi tarikan utama program itu selain persembahan rakyat dan kebudayaan serta hiburan oleh artis yang berasal dari negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga berharap program itu dapat menjadi landasan untuk mempromosi buah-buah serta makanan tradisi Terengganu kepada rakyat Malaysia serta pelancong yang berkunjung ke program itu nanti.

Read Full Post »

HULU TERENGGANU 16 Julai (Utusan Malaysia)- Kerajaan Pusat disaran membangunkan semula projek pembinaan Politeknik Hulu Terengganu di sini yang tergendala sejak dua tahun lalu.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd. Nor Othman berkata, projek berharga RM144 juta tersebut perlu diteruskan bagi memastikan penduduk di kawasan itu menerima pendidikan dengan lebih baik.

Katanya, projek berkenaan yang sepatutnya mula dilaksanakan dua tahun lalu kini tergendala disebabkan kegawatan dan tapak yang tidak sesuai.

”Sekiranya diteruskan pihak kami mencadangkan projek berkenaan dibina di lokasi lebih sesuai di sekitar pekan Kuala Berang sama ada di kawasan padang ragut Tersak di Kampung Tanjung Putat atau dekat stadium mini di sini,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 16 Julai (Utusan Malaysia)- Terengganu mencatat satu lagi kejayaan dalam bidang pendidikan apabila buat pertama kali pelajar dari negeri itu dianugerah sebagai Tokoh Nilam peringkat kebangsaan melalui Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) tahun ini.

Nur Razlina Rozi, 17, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sheikh Abdul Malek, di sini dipilih menerima anugerah berkenaan melalui kategori sekolah bandar.

Majlis penganugerahan kepada pelajar tersebut yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran berlangsung di ibu negara malam semalam.

Kepulangan pelajar melalui penerbangan MAS dari Kuala Lumpur itu disambut oleh Pengarah Pelajaran Negeri, Ariffin Embong, ibu bapanya, Rozi Mamat dan Zainah Mohd. Zain, guru-guru serta pelajar di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu di sini, semalam.

Ariffin ketika ditemui berkata, kejayaan Nur Raazlina merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh warga pendidikan kerana pertama kali pelajar dari Terengganu menerima Anguerah Tokoh Nilam peringkat kebangsaan.

Katanya, bagi pihak jabatan satu majlis pengiktirafan akan diadakan dan kejayaan ini juga akan dimaklumkan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan pihak kerajaan negeri memberikan pengiktirafan kepada pelajar terbabit.

Pemilihan anugerah Nilam dibuat berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan antaranya dapat menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa di samping mempunyai personaliti cemerlang dan ciri-ciri kepimpinan.

Sementara itu Nur Razlina, pelajar jurusan sains pula bersyukur kerana dipilih untuk menerima anugerah dan pencapaian yang diperoleh sememangnya tidak diduga sama sekali.

”Ini kerana saya juga terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar sekolah berasrama penuh daripada seluruh negara,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi doktor.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa, guru-guru serta rakan-rakan yang banyak memberi sokongan sehingga mencapai kejayaan yang amat membanggakan.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) berhasrat menjadi institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa dengan melahir dan membentuk pemimpin berbakat, selain pemikiran diasuh, diperkaya dengan ilmu, budaya tinggi dan akhlak yang luhur.

Naib Canselor UDM Profesor Datuk Dr Alias Daud berkata, bagi mencapai hasrat itu, UDM kini sedang melalui fasa pembangunan amat pesat dengan pengambilan beberapa tenaga pengajar dari luar negara seperti Thailand, India dan China.

“Kita juga sedang berusaha melantik tenaga pengajar dari negara luar sebagai salah satu usaha pengantarabangsaan. Menjelang tahun 2015, Kementerian Pengajian Tinggi mengunjurkan UDM akan mempunyai kapasiti 15,000 orang pelajar.

“Lanjutan itu, pelbagai kemudahan pelajar dan staf giat diusahakan bagi menjamin mahasiswa dan mahasiswi pada masa akan datang dapat menuntut ilmu dalam keadaan lebih kondusif, selesa dan selamat,” katanya pada Majlis Konvokesyen kali pertama sidang kedua UDM Kampus Kusza, di sini, semalam.

Beliau berkata, segala kemudahan dan kepakaran yang ada digunakan untuk pembangunan dan kesejahteraan masyarakat setempat serta pembangunan negeri Terengganu.

Sebagai contoh, katanya, penglibatan UDM dalam projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) khususnya penubuhan dua pusat kecemerlangan iaitu, Pusat Hab Halal dan Pusat Penyelidikan Produk Herba dan Bioteknologi.

“Penubuhan UDM yang merupakan institut pengajian tinggi awam ke-18 adalah ‘realiti’ kepada impian rakyat Terengganu khususnya dalam mengharapkan sebuah universiti penuh ditubuhkan di negeri ini,” katanya.

Pada konvokesyen sidang kedua itu seramai 531 graduan diploma dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) iaitu Diploma Pengajian Islam-Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Al-Quran dan As-Sunnah, Sejarah dan Tamadun Islam, Pentadbiran Islam dan Pengajian Islam dengan Teknologi Maklumat menerima diploma masing-masing.

Pada konvokesyen kali pertama ini seramai 3,280 graduan menerima ijazah sarjana muda dan diploma iaitu, 185 graduan ijazah sarjana muda dan 3,095 peringkat diploma.

“Pada tahun ini, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan penyelidikan sebanyak RM2.2 juta bagi tempoh dua tahun kepada UDM untuk mengkomersialkan produk berasaskan ubi gadong,” katanya.

Read Full Post »

SURA JETTY (Sinar Harian) – Sebahagian penduduk menyuarakan bantahan di atas tindakan pihak tertentu yang dikatakan meletakkan nama masjid baru di sini dengan nama Masjid Biru.

Rata-rata yang menghu-bungi Sinar Harian di sini menyatakan pendapat masing-masing, dengan kebanyakannya tidak menyo-kong rumah ibadat itu dinamakan Masjid Biru.

Ketua UMNO Cawangan Sura Utara, Che Harun Che Ismail ketika mengulas isu terbabit berkata, beliau tidak mendapat sebarang maklumat berkaitan nama masjid berkenaan.

Che Harun yang juga Timbalan Pengerusi Kawa-lan Rukun Tetangga (KRT) Sura Utara berkata, dia menyedari hal itu setelah melihat papan tanda dinaikkan di pagar masjid berwarna putih biru itu.

“Apa yang saya tahu, tiada sebarang perbincangan dibuat sama ada melibatkan penduduk atau pemimpin masyarakat di sini.

“Saya menyedari perkara ini setelah melihat papan tanda tersebut. Apakah nama ini dicadangkan oleh Pejabat Daerah, Pejabat Agama atau pemimpin UMNO di kawasan ini? Ia tidak pernah dijelaskan kepada kita,” katanya.

Menurutnya secara peribadi dia kurang bersetuju dengan nama itu kerana banyak lagi nama lain yang lebih relevan.

“Nama Masjid Biru tidak melambangkan keutuhan agama Islam selain ia sensitif kepada sesetengah pihak yang mungkin lebih berbaur politik,” kata Che Harun yang juga penduduk tempatan di kampung bersejarah itu.

Menurut Che Harun yang juga seorang usahawan, pada kebiasaannya, nama masjid diambil sempena nama sultan atau raja di sesebuah negeri.

Beliau berkata, daripada menggunakan nama lain, baginya lebih baik meletakkan nama Ke Bawah Duli Tuanku Al-Sultan kerana baginda adalah pemimpin agama di sesebuah negeri, apatah lagi negeri ini yang sebahagian besar, malah lebih 90 peratus penduduknya adalah Melayu dan beragama Islam.

“Saya berharap pihak berkenaan mengkaji semula nama itu. Janganlah ia menjadi satu perkara yang boleh menyentuh sensitiviti penduduk dan mengakibatkan perpecahan.

“Masjid adalah pusat ibadat yang akan dikun-jungi semua lapisan masyarakat Islam tanpa mengira pegangan politik.

“Oleh itu namanya perlu sesuai dengan kepentingan dan budaya masyarakat Melayu Islam di sini,” katanya.

Read Full Post »

BESUT (Sinar Harian)– Seorang suami tergamam seketika apabila melihat isterinya maut di depan mata selepas dipanah petir ketika mereka sedang berjalan di atas batas sawah padi di Kampung Bukit Jerok dekat Tok Dor, Jabi, di sini, kelmarin.

Mangsa Azizah Abdul Rahman, 53, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Besut manakala suaminya, Yahya Mamat, 60, tidak mengalami kecederaan.

Menurut Yahya, semasa kejadian kira-kira jam 6 petang, mereka dalam perjalanan pulang dari sawah di belakang rumah.

“Dia berjalan dalam jarak kira-kira 15 meter di depan saya selepas selesai menabur baja padi. Ketika itu hujan lebat sebelum tiba-tiba ter�dengar bunyi petir agak kuat dan terus menyambar isteri saya menyebabkan dia terhumban ke dalam sawah,” kata Yahya yang juga Pe�ngerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Jerok.

Yahya memberitahu, sebaik disambar petir, isterinya terus terjatuh ke dalam petak sawah lalu dia bergegas memangku isterinya yang sudah tidak bergerak.

Sebahagian anggota badan sebelah kiri mangsa terdapat kesan hangus bermula dari bahagian leher hingga ke bawah, pakaian koyak manakala telefon bimbit yang diselit di pinggang hancur.

“Arwah pakai tali pinggang perak yang selalu dipakai orang dulu dan telefon bimbitnya diselitkan di celah tali pinggang. Selain itu, rantai leher yang dipakai juga turut musnah,” katanya amat sedih dengan kejadian itu.

Yahya berkata, dia mendukung isterinya untuk dibawa pulang ke rumah yang jaraknya kira-kira 100 meter dari tempat kejadian sebelum meminta bantuan saudaranya menghantar mangsa ke Hospital Besut.

Mangsa meninggalkan enam anak berusia antara 14 hingga 39 tahun dan tiga daripada mereka masih belajar manakala tiga yang lain telah berumah tangga.

Sementara itu, salah seorang kenalan suami mangsa memberitahu, dua minggu sebelum itu, dua kejadian petir berlaku berdekatan rumah mangsa, namun petir me�ngenai dua batang pokok kelapa di rumah jirannya pada hari sama.

Mayat mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Anak Musang tidak jauh dari kampung itu kira-kira jam 11 pagi semalam.

Read Full Post »

<!–

By: Ramjit

–>

KUALA TERENGGANU, 16 Julai (Bernama) — Kakitangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) cawangan Kuala Terengganu gempar seketika pagi Khamis apabila cermin depan pejabat mereka pecah terkena peluru dari senapang patah seorang pengawal keselamatan yang terjatuh dan meletup.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin berkata peluru itu berpunca dari senapang patah milik seorang pengawal berusia 60 tahun.

“Senapang patah yang sedang disandang pengawal keselamatan tersebut terjatuh setelah tali pengikatnya terputus lalu meletup dan terkena cermin bahagian depan pejabat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian 10.30 pagi itu.

Katanya pengawal keselamatan itu telah membuat laporan dan polis akan menyiasat kes tersebut bersabit kecuaian.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 16 Julai (Bernama) — Yayasan Terengganu (YT) akan mengambil tindakan terhadap 7,000 peminjam biasiswa/pinjaman Sultan Ismail Nasiruddin Shah kerana gagal membayar hutang berjumlah kira-kira RM40 juta.

Pengarah YT, Md Kamaru Al-Amin Ismail berkata daripada jumlah itu, 1,400 orang kini dalam proses tindakan mahkamah.

“Kita terpaksa bertindak demikian bagi membolehkan yayasan mengumpul dana untuk pelajar lain,” katanya selepas majlis pelancaran Pesta SEM Type III Sekolah Menengah Imtiaz Terengganu di sini Khamis.

Beliau berkata YT kini menaja 38,000 pelajar yang melanjutkan pengajian dalam dan luar negara, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM70 juta setahun.

Daripada segi kutipan balik pinjaman, katanya perkara itu sangat memberangsangkan dan meningkat kira-kira 30 peratus sejak dua tahun lepas.

“Sekarang, kita boleh kutip sehingga RM1.5 juta sebulan berbanding kira-kira RM800,000 sebulan pada 2007,” katanya.

Md Kamaru Al-Amin berkata YT meletakkan sasaran untuk mengutip balik pinjaman sebanyak RM12 juta setahun dan ia kini tercapai.

Bagi mengutip balik pinjaman, beliau berkata pihaknya menggunakan beberapa pendekatan termasuk mendapatkan alamat peminjam melalui jabatan dan agensi kerajaan.

Selain itu, beliau berkata YT juga memberi peluang kepada peminjam membayar balik pinjaman melalui bank dan membuka kaunter pada setiap Sabtu.

“Apabila kita buat begini, kita dapati lebih ramai yang bayar dan kita mampu memperoleh RM1 juta sebulan secara konsisten. Ini satu perkembangan yang sangat baik,” katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »

Alhamdulillah, capaian hits blog Alam Akademik kini merekodkan bilangan tertinggi yang baru hampir 1000 sehari untuk dua hari berturut di awal minggu ini.

Malah kini purata capaian untuk bulan Julai telah pun melebihi purata capaian harian bulan Jun.

Dengan menyediakan kumpulan pelbagai berita mengenai negeri Terengganu dari sumber yang pelbagai, blog Alam Akademik semakin popular bagi sesetengah orang untuk mengikuti dari satu tempat.

Kami akan terus menjadikan blog Alam Akademik sebagai sumber maklumat yang pelbagai dan terkini mengenai negeri Terengganu dan Alam Akademik masih menjadi satu-satunya syarikat perniagaan yang menyediakan pelbagai laporan dan maklumat negeri Terengganu yang terkini untuk pengunjung.

Blog kami turut memberi maklumat terkini berhubung berita, promosi dan jualan yang diadakan oleh Alam Akademik.

Terima kasih semua.

Read Full Post »