Feeds:
Posts
Comments

Archive for July 31st, 2009

Perkembangan diumum setiap bulan tingkat keyakinan orang ramai

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengumumkan perkembangan siasatan terhadap beberapa aset penting di negeri ini termasuk Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) setiap bulan bagi memastikan ketelusan dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap projek kerajaan.

Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Judin Abdul Karim, berkata pengumuman secara berkala itu bagi menunjukkan pihaknya serius menyiasat dan memastikan jika ada penyelewengan berlaku, orang yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan tidak terlepas dan dibawa ke muka pengadilan.

“Kita akan kemas kini dan umumkan perkembangan serta penemuan siasatan setiap sebulan supaya rakyat tahu apa yang kita buat dan tiada perkara yang di selindung, ” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan siasatan terhadap Pusat Akuatik MBKT dan tindakan agensi itu terhadap LTSM yang menghadapi pelbagai masalah sejak lapan bulan lalu terutama siling tanggal di bumbung utama bangunan terminal.

JKR pusat mengambil alih peranan JKR Terengganu sebagai pemantau projek prasarana kerajaan negeri dengan menubuhkan jawatankuasa penyiasatan pada 9 Julai lalu untuk menilai punca kerosakan hingga menyebabkan Pusat Akuatik MBKT yang baru setahun digunakan itu ditutup kerana tidak selamat digunakan orang ramai.

Judin berkata, berdasarkan siasatan awal terhadap Pusat Akuatik MBKT, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud unsur salah laku dalam proses mereka bentuk serta piawaian pembinaan.

Katanya, pihaknya mengenal pasti banyak kelemahan dan kesilapan teknikal yang boleh dipersoalkan dalam pembinaan pusat akuatik bernilai hampir RM19 juta itu.

Beliau berkata, Jawatankuasa Salah Laku juga sudah ditubuhkan bagi menyiasat sama ada wujudnya unsur itu membabitkan pegawai JKR dan kontraktor yang terbabit dengan projek itu.

Pusat akuatik yang dibina mengikut konsep reka dan bina itu siap pada Mei 2008 untuk digunakan pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-12 pada Jun tahun lalu, yang mana kerja pengawasan dan pemantauan pembinaan kompleks itu dilaksanakan JKR Terengganu.

“Jika terbukti wujud salah laku, mereka yang bertanggungjawab tidak akan terlepas, walaupun mereka adalah kakitangan JKR Terengganu,” katanya.

Mengulas mengenai LTSM, tanpa memberi butiran lanjut Judin berkata, pengumuman berkaitan pemantauan dan penilaian yang sedang dilaksanakan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Akhbar ini berhubung masalah siling tanggal di beberapa bahagian LTSM terutama di bumbung utama terminal bernilai RM123 juta itu menjejaskan imej satu lagi projek mega negeri ini yang juga baru hampir setahun digunakan.

Read Full Post »