Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Politik’ Category

Setelah lebih sebulan saya tidak pulang ke Kuala Terengganu, beberapa para peniaga di Jalan Bandar dan Jalan Banggol yang diberi notis arahan keluar dari premis perniagaan mereka tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu dan berbincang. Urusan di Kuala Lumpur pun tidak dapat dielakkan juga.

Sebagai koordinator Badan Bertindak Peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol**, terasa juga semacam tidak adil kerana terlalu lama tidak bersama mereka berbincang dan merangka pelan tindakan untuk merayu kepada kerajaan. Walaubagaimanapun hubungan telefon jarak jauh tetap dikekalkan.

Dalam kerungsingan mereka yang berniaga, beberapa orang dari mereka kerap menelefon menceritakan rungsing dan tidak lena tidur memikirkan masa depan mereka yang tidak menentu. Walaupun selepas luput tarikh notis arahan tersebut MB ada dipetik oleh akhbar sebagai berkata bahawa para peniaga akan dipaksa pindah juga selepas Raya, namun tiada satu surat rasmi pun yang dikeluarkan oleh lembaga yang diamanahkan untuk menjaga warisan negeri.

Ada yang menelefon di awal Ramadan lalu, saya nasihatkan kepada mereka agar kita banyak berdoa di bulan Ramadan yang mulia ini. Dan saya seru kepada para peniaga agar banyak bersabar, teruskan perniagaan sempena musim perayaan ini dan gandakan ibadat terutamanya di akhir-akhir Ramadan ini. Dan kita panjatkan doa supaya Allah izinkan mereka terus diberi peluang untuk berniaga sehingga suatu tempoh yang sesuai dan wajar.

Dalam perjumpaan ringkas pagi ini bersama beberapa peniaga tersebut, ada yang pantas menyahut seruan saya dengan kata-kata “kita doakan Toh mati!” dan disambut dengan gelak ketawa di kalangan yang mendengar, sambil ada yang mengaminkan. Mungkin itulah satu-satunya cara untuk para peniaga ini mendapat ruang untuk bernafas.

Jika Adun Bandar [YB Toh Chin Yaw] mati, maka suatu pilihanraya kecil terpaksa diadakan dalam masa 60 hari. Jikalah ianya benar-benar berlaku dan kerajaan meneruskan juga hasrat menghalau para peniaga ini ianya bagaikan suatu usaha “membunuh diri”. Pasti 200-300 undi akan ke pembangkang. Dengan sentimen pengundi kini yang tidak lagi setia dengan UMNO?MCA/MIC/BN akhir-akhir ini, kerajaan wajar berhati-hati dalam tindak-tanduk mereka.

Malah di kalangan peniaga dan para pekerja di situ sudah bertekad di hati mereka tidak akan mengundi BN lagi. Lebih separuh dari hampir 300 peniaga dan pekerja yang terlibat dengan arahan ini adalah pendundi DUN Bandar. Mereka mengungkit bahawa di antara janji semasa pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu awal tahun lalu, jentera kempen BN kepada para peniaga terbabit ialah mereka akan kekal di tapak perniagaan mereka sehingga tapak alternatif disediakan. Harus diingat bukan mereka sahaja – mereka juga ada saudara mara dan sahabat handai yang turut bersimpati.

Di antara janji yang masih terpahat dalam ingatan Uncle How, koordinator bersama saya, ialah projek pembangunan Kg Tiong yang terlebih dulu akan dilaksanakan barulah di Jalan Bandar. Namun kini itu semua tinggal janji politik pilihanraya sahaja. Janji-janji manis yang dibiasa ditabur setiap kali ada pilihanraya.

hmmm … kalaulah begitu … agaknya itulah sahaja cara para peniaga boleh diselamatkan. Ada siapa lagi nak mengaminkan?

“Mungkin satu lagi pilihan ialah untuk para peniaga mengadu nasib mereka kepada Tuanku Sultan (Agong)”, kata seorang lagi peniaga yang telah berniaga di sekitar itu semenjak 20 tahun. Tetapi disapuk seorang lagi, “takkan Agong nak bantah kot – ini projek dapat kepada adiknya”. Wow! Itu berita baru bagi saya. Apakah benar begitu?

Lantas saya menjawab, “setakat saya berkawan dengannya secara sikit-sikit lama-lama dulu dan setakat membaca watak dan pemikirannya dari jauh-jauh, saya tidak merasakan Tuanku seorang yang tidak prihatin rakyat.” Malah mungkin inilah peluang terakhir untuk mendapat perhatian dan prihatin Tuanku agar menitah kerajaan negeri memberi ruang masa yang sewajarnya kepada para peniaga.

Masalahnya dengan projek yang dikatakan hendak dibangunkan di situ ialah tidak siapa yang benar-benar tahu apakah bentuk projeknya, siapa kontraktornya dan sebagainya. Tidak seperti biasa, apabila sesuatu tapak hendak dibangunkan, pemaju diarah meletakkan papan tanda maklumat projek. Tetapi dalam kes ini ianya agak istimewa. Tiada papan tanda.

Kalau tiada papan tanda apakah bermakna projek belum diluluskan? Mungkin benar belum ada kelulusan (seperti mana kata Dato Mazlan Ngah – ahli lembaga LTAWNT). Kalau tiada kelulusan lagi – kenapa tidak sabar-sabar nak halau peniaga hinggakan menganggu habis perancangan perniagaan mereka untuk mengambil kesempatan musim perayaan.

Memang pelik. Projek pembangunan atas tapak deretan kedai yang bersejarah ini memang pelik. Laporan dan ulasan seterusnya akan disusuli. Yang penting, kepada para peniaga – harap bersabar dan teruskan perniagaan anda. Kepada semua dan yang bersimpati – tadahlah doa agar projek ini ditangguh sehingga suatu perbincangan yang menyeluruh dapat diadakan.

Sebagai rasa simpati kepada para peniaga – kita panjangkanlah lagi rintihan nasib mereka ini dengan memperluaskan sebaran keluhan mereka.

Dan bagi pencinta warisan yang menghargai tinggalan sejarah – usahakanlah dengan apa-apa cara sekalipun untuk menyuarakan bantahan anda terhadap usaha merobohkan warisan sejarah yang tersegam tegap di sebelah Pasar Kedai Payang.

.

.

** jawatan koordinator ini adalah yang saya sendiri lantik dalam usaha membela nasib para peniaga setelah memikirkan kepiluan dan titisan air mata mereka yang tiada hala tuju untuk meminta nasihat dan panduan selepas menerima notis tersebut – wakil rakyat tidak jenguk-jenguk …

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said percaya bahawa UMNO Terengganu sekarang tidak mempunyai sebarang masalah sebagaimana pernah dibangkitkan pihak tertentu sebelum ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu berkata, setakat ini beliau tidak merasakan apa-apa gelora yang sedang berlaku dan menyifatkan ia sebagai biasa.

Malah katanya, beliau tidak mengetahui apa-apa sekiranya ada pihak mengatakan berlakunya masalah dalaman parti di bawah pentadbiran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang baru, Datuk Seri Hishammuddin Husein.

“Saya biasa. Saya tidak tahulah, kalau awak (pemberita) ada apa-apa, awak tahulah, saya tiada (masalah) apa-apa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis makan tengah hari di Restoran Seri Wangsa di Gong Badak, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik pernah menyatakan bahawa UMNO negeri ini berkemungkinan berpecah kepada tiga dengan pelantikan baru melibatkan jawatan Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari Perhubungan UMNO negeri yang diumumkan Hishammuddin, baru-baru ini.

Pada majlis sama, Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri bersetuju melantik satu pasukan penyiasat konsultan bagi membuat kajian berhubung punca runtuhan bumbung bangunan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebulan lalu.

Menurut Ahmad, kepu- tusan dibuat Mesyuarat Exco Rabu lalu, memilih firma milik konsultan dari United Kingdom yang mempunyai cawangan di Kuala Lumpur bagi mengendalikan kerja-kerja siasatan de-ngan seberapa segera.

Kerajaan negeri, katanya, akan menyerahkan kepada pejabat kewangan untuk membuat rundingan berhubung beberapa terma dan syarat-syarat tertentu termasuk bayaran dalam tempoh tiga bulan sebelum membuat lantikan rasmi.

“Kita fikirkan perlunya dua pihak untuk menyiasat iaitu kerajaan Pusat yang bertanggungjawab kepada Kabinet, dan kita (kerajaan negeri) kerana ini melibatkan peruntukan kita,” katanya.

Read Full Post »


HISHAMMUDDIN bersama Ahmad (kiri) ketika sidang media selepas menghadiri mesyuarat perhubungan Umno negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Tengku Putera, Shabery, Rahin isi jawatan utama

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam mengumumkan tiga pelantikan baru bagi mengisi tiga jawatan utama Badan Perhubungan Umno negeri ini yang sebelum ini dilanda pelbagai konflik dalaman.

Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan Umno negeri yang baru menggantikan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang digugurkan.

Tengku Putera sebelum ini adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan digugurkan selepas kepemimpinan Umno Terengganu dirombak yang menyaksikan Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno mengetuainya manakala Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dilantik sebagai timbalan.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula dilantik semula sebagai Ketua Penerangan Umno negeri menggantikan Datuk Mohd Zuber Embong yang digugurkan. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sama ketika bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh mengetuai Umno Terengganu.

Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus pula dilantik sebagai Bendahari Perhubungan Umno Terengganu menggantikan Datuk Roslan Awang Chik yang turut digugurkan.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan Umno berkenaan, Hishammuddin berkata, pengumuman tiga jawatan utama perhubungan itu adalah titik permulaan kepemimpinannya di Terengganu.

Beliau berkata, pemilihan tiga individu itu dalam menjawat jawatan berkenaan juga jelas membuktikan bahawa beliau tidak terikat atau pro kepada mana-mana kumpulan kerana matlamat utama lantikan untuk memulihkan Umno Terengganu.

Ditanya sama ada pengguguran tiga pemimpin Umno negeri itu ada hubung kait dengan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah sebagaimana dilaporkan media, Hishammuddin berkata perkara itu tidak berkaitan.

“Perubahan pimpinan tak ada kaitan.. bagi saya yang paling penting adalah usaha kita untuk memikul tanggungjawab. Bagi yang melepaskan jawatan atau tak diberikan jawatan tak semestinya tugas dan tanggungjawab mereka lebih mudah. Ini bermakna tanggungjawab atau tugasan lain yang perlu dipikul akan terus dipikul,” katanya.

Read Full Post »

Terengganu state Umno chief Datuk Seri Hishammuddin Hussein (right) at the press conference after chairing his  first meeting of the state Umno liaison committee yesterday. With him is  Menteri Besar Datuk Ahmad Sa
Terengganu state Umno chief Datuk Seri Hishammuddin Hussein (right) at the press conference after chairing his first meeting of the state Umno liaison committee yesterday. With him is Menteri Besar Datuk Ahmad Sa

KUALA TERENGGANU: The change in the top three positions of the state Umno liaison committee yesterday has nothing to do with the on-going investigations by the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) of two of its executives.

The MACC is investigating politicians believed to be involved in graft in the construction of the Middle Ring Road Two in Kuala Lumpur.

State Umno chief Datuk Seri Hishammuddin Hussein named state assembly speaker Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Kemaman Umno deputy division chief Datuk Ahmad Shabery Cheek (who is also youth and sports minister) and Kuala Nerus deputy division chief Datuk Abdul Rahin Mohd Said (who is also state Youth and Sports Committee chairman) as the liaison secretary, information chief and treasurer respectively.

They replaced former Dungun member of parliament and division chief Datuk Rosli Mat Hassan, who was the secretary, Datuk Zuber Embong (information chief) and Datuk Ruslan Awang Chik (treasurer).

Hishammuddin, who chaired his first meeting since being appointed to the post in April, stressed that the selection was made because they were able to help the party with their capabilities.
“Some people are suited for other things. One can see a new line-up in the cabinet, component parties and in other states,” he said, adding it was time for the party to move forward. Also present was Menteri Besar Datuk Ahmad Said, who is the state Umno deputy liaison chief.

Hishammuddin said he had the full backing of the state Umno, adding that he had met with the assemblymen and division chiefs.

He also said that the state Umno meeting also focused on strengthening the party’s ties as there were cracks which could not be seen if one was “blind and deaf”.

“There is always an urgency to mend the cracks which also depends on the timing. For Terengganu, the time is now.”

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU: Sekumpulan pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan pemeriksaan ke atas rekod kewangan pejabat Umno Bahagian Dungun, kelmarin, selain menemu ramah beberapa kakitangan dan jawatankuasa Umno bahagian.

Sumber memberitahu, pemeriksaan yang dilakukan sejak jam 12 tengah hari dan berlarutan hingga 9 malam itu, bertujuan melengkapkan siasatan SPRM Selangor terhadap dua ahli Umno negeri ini bergelar Datuk yang disyaki terbabit kegiatan rasuah RM3 juta dalam projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah (MRR2).

Pada 10 Jun lalu, SPRM Selangor menahan seorang Senator dan seorang bekas Ahli Parlimen di Terengganu kerana disyaki terbabit dalam rasuah RM3 juta, membabitkan kejadian pada 1999 ketika kedua-dua mereka menjadi ahli lembaga pengarah sebuah syarikat yang menjadi kontraktor utama MRR2.

Read Full Post »


KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Parlimen Kuala Terengganu tidak bersetuju dengan syarat proses pelantikan JKKK 2009 yang menetapkan pengerusi JKKK haruslah Ketua UMNO Cawangan.

Pengerusi Bertindak Kebajikan JKKK Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Ali, berkata, proses pelantikan JKKK 2009 perlu mendahulukan imej ‘mesra rakyat’ tetapi apa yang dilihat hari ini, dasar pelantikan yang baru terlalu dipolitikkan.

“Saya sebagai Pengerusi Bertindak Kebajikan JKKK Parlimen Kuala Terengganu iaitu satu badan yang diasaskan Allahyarham Da­tuk Razali Ismail tidak berpuas hati dengan dasar pelantikan baru yang di-perkenalkan tahun ini. Ini kerana, dasar sebegini tidak dapat memberi keyakinan dan kebaikan kepada rakyat serta penduduk setempat.

“Seorang pengerusi JKKK perlu neutral dan tidak berpihak kepada sesiapa. Seorang pengerusi JKKK tidak harus terikat dengan parti politik kerana jika keadaan seperti ini berlaku, saya yakin penduduk tidak akan mempercayai dan memberi kerjasama sewajarnya. Selain itu, saya yakin seandainya pengerusi JKKK terikat dengan sesebuah parti politik, dia tidak mampu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat kerana akan wujud sikap pilih kasih antara mereka” katanya .

Menurut Mohd, dasar pelantikan baru ini lebih menyukarkan kerajaan Ba­risan Nasional (BN) dalam usaha mendekati dan meraih undi pada pilihan raya akan datang.

Ini kerana, penduduk pasti memandang negatif terhadap pentadbiran BN berikutan pemimpin JKKK yang dilantik tidak memenuhi kehendak mereka.

Katanya, pelantikan pengerusi JKKK juga harus mementingkan kehendak setempat kerana tanggungjawab yang dipikul meliputi seluruh kawasan di bawah pemantauannya.

“Bagi saya, seorang pengerusi JKKK tidak boleh dipengaruhi parti politik tertentu berikutan tanggungjawab yang dipikulnya sangat besar. Oleh itu, biarlah pengerusi itu diterima penduduk supaya dapat memudahkan setiap urusan dirancang.

“Saya juga tidak bersetuju dasar pelantikan yang baru ini. Bagi saya, dasar ini mewujudkan masalah dalam perkhid­matan yang akan diberikan terutama membasmi kemiskinan dan menjayakan aktiviti membabitkan penduduk. Saya risau sekiranya wujud pembahagian dana tidak adil atas dasar kepentingan politik semata-mata dan ia pernah wujud sebelum ini,” katanya.

Menurut Mohd, jika dilihat dari segi tradisi, individu yang mahu menjadi pemimpin perlu serba boleh bukan hanya dari segi politik tetapi juga agama, pergaulan dan sebagainya.

Justeru, dia berharap pelantikan pemimpin harus telus dan tidak wujud kepentingan politik.
“Pemimpin baik adalah pemimpin yang disukai rakyat,” katanya.

Wakil Pengerusi JKKK Kampung Kolam, Kuala Ibai, Mustafa Ismail pula berkata, dasar baru yang mengehadkan umur pengerusi JKKK iaitu sehingga 65 tahun sahaja tidak relevan kerana mereka harus menekankan kesihatan bukan umur pemimpin.

“Dasar mengehadkan umur ini tidak relevan kerana tidak semestinya individu melebihi 65 tahun tidak boleh memimpin dan berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Read Full Post »

Penduduk tuntut janji

KUALA TERENGGANU – Seramai 89 penghuni rumah setinggan di Pantai Kuala Ibai, di sini, menuntut pihak kerajaan negeri menunaikan janji memindahkan mereka ke kawasan penempatan baru di Lot Perpindahan Tok Adis yang sepatutnya didiami pada Februari lalu.

Bagaimanapun, penduduk terbabit yang rata-rata menjadi mangsa kejadian banjir air laut dan ancaman ombak besar sejak beberapa tahun lalu melahirkan rasa kesal kerana sehingga ini kerajaan masih gagal mengotakan janji.

Penduduk, Wook Salleh, 63, berasa hairan memandangkan kediaman di Lot Perpindahan Tok Adis telah siap dibina pada tahun lalu, namun sehingga hari ini pihak terbabit belum mengambil tindakan sewajarnya.

“Sebelum pilihan raya, kami pernah dipanggil mengadakan mesyuarat dan penduduk dijemput menyertai cabutan nombor rumah. Kami dijanjikan untuk berpindah ke kawasan penempatan baru pada Febuari dan dibenarkan tinggal selama enam bulan “Malangnya, kami mendapat nombor rumah sahaja sedangkan sehingga sekarang pihak berkenaan langsung tidak memberi apa-apa maklumat dan mengambil tindakan untuk membenarkan kami tinggal di situ,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Wook, penduduk memerlukan kunci rumah secepat mungkin, walaupun rumah tersebut masih belum dilengkapi kemudahan fasiliti seperti elektrik dan air, namun mereka bersedia untuk membiayai sendiri kemudahan itu.

Katanya, penduduk memerlukan kediaman lebih selesa untuk didiami memandangkan rumah setinggan yang diduduki sekarang sudah tidak selamat kerana terlalu uzur dan boleh mengancam keselamatan mereka sekeluarga.

“Ramai penduduk di sini terpaksa mencari inisiatif untuk berpindah ke kawasan lain. Ada di antara mereka menyewa dan ada juga terpaksa menumpang di rumah keluarga lain sementara menunggu kebenaran untuk tinggal di Lot Perpindahan Tok Adis.

“Jadi, sampai bila kami harus hidup berpindah randah dan menumpang? Kerajaan sepatutnya melaksanakan agenda di mana ‘rakyat didahulukan’. Mengapa perkara itu tidak dibuktikan?” Katanya.

Seorang lagi penduduk, Midah Musa, 40, berkata, dia terlalu mengharapkan pihak kerajaan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin kerana sehingga hari ini, dia sekeluarga terpaksa bergadai nyawa tinggal di rumah uzur dan hampir roboh.

“Saya merayu agar kerajaan selesaikan masalah ini. Saya adalah ibu tunggal yang mempunyai lapan orang anak. Cuba bayangkan kami sekeluarga hidup dalam ketakutan setiap hari. Jika angin kencang, kami hanya mampu berdoa semoga diselamatkan. Jika hujan, rumah kami dipenuhi air kerana atap semua sudah bocor,” katanya tidak mampu menanggung kos berkaitan.

Read Full Post »


INILAH SMS yang diterima oleh tiga ADUN di Terengganu pada April lalu.

Ahmad Ramzi


KUALA TERENGGANU (Kosmo)- Ahli politik, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohd. Zubir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) dua bulan lepas.

Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh itu kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Khalid Abdul Karim.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Ramzi dituduh melakukan ugutan jenayah dengan mengancam mendatangkan kematian kepada ADUN Paka, Mohd. Ariffin Abdullah kira-kira pukul 11.21 malam di E726 Kampung Kubang Parit pada 13 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh melakukan perkara yang sama kepada dua lagi ADUN, Abd. Halim Jusoh (Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil) pada pukul 11.21 malam dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut berdepan tuduhan pilihan iaitu menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS, ‘Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?’ kepada tiga ADUN tersebut.

Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

***************************************

Related posting before this/Laporan berkaitan sebelum ini:

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Pas Terengganu menyifatkan kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa lalu disebabkan sikap angkuh pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang enggan mengambil perhatian terhadap pandangan dan idea pembangkang meskipun ia berasas.

:Timbalan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Dr Alias Razak yang meluahkan rasa kesal berhubung kejadian itu berkata, beliau sendiri pernah membangkitkan isu tahap keselamatan stadium berkenaan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mei tahun lalu.

:Menurut beliau, pembangkang mempersoalkan perkara itu apabila melihat masih ada pekerja berada di atas bumbung stadium pada saat-saat akhir, sehari sebelum majlis perasmian dilakukan.

:Bagaimanapun katanya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Yahya Khatib Mohamad ketika memberi jawapan kepada pertanyaannya, yakin bahawa ia selamat digunakan.:

:“Selain melihat pekerja masih lagi bekerja pada saat-saat akhir, keadaan bumbung juga nampak ‘lendik’ (kurang kukuh) menyebabkan saya bertanyakan keadaan stadium ini kepada kerajaan pada sidang DUN tahun lalu.

:“Stadium ini berada di dalam kawasan saya, jadi saya memang tahu keadaannya namun kerajaan langsung tidak peduli teguran saya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal kepada Sinar Harian, semalam.

:Selasa lalu, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak runtuh menyebabkan 60 peratus strukturnya musnah.

:Stadium yang menjadi lokasi utama temasya Sukan Malaysia (Sukma) baru disiapkan setahun lalu mampu memuatkan 50,000 penonton dan merupakan stadium terbesar di Pantai Timur.

:Menurut Dr Alias, kerajaan se-lalu mengambil mudah apa yang pihak pembangkang suarakan di dalam sidang DUN, padahal ia demi kepentingan bersama terutama rakyat.

:“Bagaimana sekiranya ketika kejadian itu berlaku ada aktiviti dijalankan di dalam stadium itu,” katanya.

:Beliau berkata, kejadian malang itu juga menjadi pengajaran terbaik kepada kerajaan BN pada masa akan datang agar tidak sekali-kali membuat kerja sambil lewa demi mengejar nama dan kemasyhuran hingga sanggup memperjudikan nyawa rakyat.

:“Jika tidak sempat siap, kita kena terima hakikat jangan paksa siapkan dengan ala kadar tanpa kelulusan selain tidak ada Sijil Layak Menduduki (CF) sebab banyak nyawa akan terkorban nanti dan sekarang ia sudah berlaku,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 4 Jun (Bernama) — Ahli politik Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu dua bulan lepas.

Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh itu, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Khalid Abdul Karim.

Mahkamah membenarkan Ahmad Ramzi, 37, diikat jamin sebanyak RM8,000 dan diarah menyerahkan pasport. Hakim Mohamad Khalid menetapkan 19 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Untuk ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yussof dan Andi Razalijaya manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam, Rosli Abdul Rahman.

— BERNAMA

***************************************

Related posting before this/Laporan berkaitan sebelum ini:

Read Full Post »

Older Posts »