 |
KHIDMAT bot penambang di Jeti Bot Penambang, Kuala Terengganu, masih diperlukan oleh penduduk di Seberang Takir untuk ke pusat bandar. – utusan/Fauzi Baharudin
|
KUALA TERENGGANU 29 Julai – Jika di ibu kota Kuala Lumpur, kemudahan bas, teksi, sistem transit aliran ringan (LRT) dan monorel menjadi nadi pengangkutan awam utama dan penting kepada pengguna.
Namun berbeza dengan bandar raya warisan pesisir air, Kuala Terengganu apabila bot penambang menjadi pengangkutan awam yang penting bagi penduduk.
Jika anda baru pertama kali menyusuri sepanjang Sungai Terengganu, pastinya pemandangan deretan bot penambang di jeti berhampiran Pasar Payang menjadi tumpuan mata anda.
Pengangkutan berusia lebih 50 tahun itu masih diminati dan diperlukan oleh penduduk di seberang Sungai Terengganu untuk ke kawasan sekitar bandar.
Bermula dengan harga 20 sen untuk satu perjalanan ketika ia diwujudkan, kini menjadi RM1 namun ia masih tetap menjadi pilihan penduduk yang berada di seberang sungai itu.
Bukan tidak ada bas atau teksi namun kelaziman bagi mereka untuk menggunakan perkhidmatan bot tersebut kerana lebih cepat dan murah.
Bagaimanapun, jika dulu hampir 70 buah bot penambang yang beroperasi di sungai tersebut namun kini hanya tinggal 25 buah sahaja.
Ini kerana sejak Jambatan Sultan Mahmud siap dibina pada tahun 1980-an, penumpang bot penambang semakin berkurangan memandangkan lebih ramai yang menggunakan kemudahan jambatan tersebut.
Wartawan Utusan Malaysia yang sempat menemui seorang pengusaha bot penambang Persatuan Seberang Takir yang masih bergiat aktif menjalankan perusahaan bot tersebut, Ghazali Abdullah, 48, yang telah menjalankan perusahaan bot penambang sejak 20 tahun lalu.
Katanya, perkhidmatan bot penambang sebelum ini hanya menggunakan bot yang menggunakan layar sahaja.
Namun kini semua bot penambang telah menggunakan enjin, tetapi kebanyakannya telah berusia hampir 20 tahun.
Beliau mengakui bahawa perusahaan bot tersebut semakin kurang mendapat sambutan daripada pengguna.
Bagaimanapun perusahaan tersebut masih lagi diperlukan memandangkan permintaan penduduk tempatan yang menggunakan pengangkutan itu sejak dahulu lagi.
”Perkhidmatan bot penambang bermula seawal pukul 6 pagi dan tamat pada 10 malam namun 20 tahun dahulu kami mengusahakan sehingga ke lewat malam kerana masih ada penumpang yang menggunakan bot itu,” jelasnya yang mengakui bahawa hanya enam perjalanan sahaja sehari mampu dilakukan.
Tambahnya, walaupun perusahaan tersebut tidak mendapat keuntungan yang tinggi, namun dia tetap melakukannya kerana ingin mengekalkan identiti bandaraya itu.
”Saya memang menjalankan perusahaan bot penambang sepenuh masa walaupun gajinya tidak seberapa sebulan namun masih cukup untuk menyara keluarga.
”Walaupun membawa bot ini kelihatan senang namun penjagaan tidak mudah memandangkan sekiranya enjin bot rosak saya terpaksa cuti dan membaiki bot tersebut.
”Sepanjang cuti tersebut tiada pendapatan yang diperoleh,” jelasnya yang mempunyai empat orang cahaya mata.
Ghazali berkata, setakat ini anak-anaknya tiada yang menunjukkan minat untuk menyambung kerjaya tersebut.
Katanya, kebanyakan penguasaha bot terdahulu telah ramai yang meninggal dunia dan pekerjaan mereka tidak diwarisi oleh anak-anak menyebabkan tradisi bot penambang kian dipinggirkan.
”Anak-anak kini tidak lagi mahu untuk membawa bot memandangkan kerja ini membosankan dan pendapatan tidak lumayan.
”Kebanyakan anak-anak kini lebih gemar berhijrah ke bandar..namun saya amat berharap tradisi bot penambang ini tidak dihapuskan memandangkan Kuala Terengganu adalah satu-satunya bandar raya yang masih mengekalkan perusahaan ini,” katanya.
Read Full Post »