
KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memberi peluang kepada peniaga emas meluaskan perniagaan masing-masing dengan membuka ruang bangunan bazar dikenali sebagai Pusat Perniagaan Emas (Maidam Golden Square) yang akan beroperasi Ogos depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkata, bazar setinggi lima tingkat yang dibina atas sebahagian Lot 4060 di daerah ini berkonsepkan ‘Perniagaan dalam bangunan’ iaitu dengan mengumpulkan semua pengusaha dan peniaga emas dalam satu tempat.
“Maidam Golden Square didirikan di atas tanah seluas 3,678 kaki persegi (341 meter persegi) dan pembinaan bazar ini menggunakan wang peruntukan Kumpulan Wang Pentadbiran Maidam sebanyak RM3.8 juta.
“Reka bentuk bangunan bazar ini bercirikan binaan Islam dengan mengambil kira reka bentuk bangunan sekitarnya (Kompleks Paya Keladi) dan kedudukan Masjid Zainal Abidin (Masjid Putih) yang berhampiran dengannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Wan Harujan, seperti mana telah dipersetujui dalam mesyuarat pada 18 Mei lalu, pihaknya mencadangkan supaya tujuh unit ataupun lot kedai di tingkat bawah dijadikan sebagai ruang jualan emas.
“Tingkat satu pula iaitu sebanyak lima unit ataupun lot kedai dicadangkan sebagai ruang pameran.
“Maidam juga bersetuju mencadangkan supaya tingkat dua bangunan ini yang mempunyai lima unit ataupun lot kedai dijadikan sebagai ruang pertukangan emas, sementara tingkat tiga dan empat iaitu masing-masing memilik lima unit ataupun lot kedai dicadangkan dijadikan ruang pejabat,” katanya.
Menurut Wan Harujan, bangunan bazar setinggi lima tingkat itu turut dilengkapi sebuah lif dan tandas awam bagi kemudahan penyewa serta pelanggan.
“Diharapkan dengan usaha ini dapat membantu peniaga terutama rakyat negeri ini mengembangkan lagi perniagaan emas mereka dan mampu menarik lebih ramai pelancong ke sini berikutan lokasi bazar yang strategik iaitu berada di tengah-tengah bandar raya serta berdekatan terminal bas Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu.
“Justeru, saya juga mengharapkan supaya orang ramai khususnya peniaga emas di sini tidak melepaskan peluang diberikan dan kepada sesiapa masih berminat menyewa ruang bazar ini, boleh menghubungi pihak Maidam,” katanya.