KUALA TERENGGANU (Harian Metro): Dua bot penumpang yang membawa pengunjung dari Jeti Merang, dekat Setiu, ke Pulau Redang, didapati memperjudikan nyawa penumpang apabila membawa muatan secara berlebihan.
Kedua-dua bot berkenaan yang hanya dibenarkan membawa 12 penumpang didapati masing-masing membawa 33 dan 51 penumpang; dan tindakan itu nyata menyalahi syarat lesen seperti ditetapkan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) Negeri, Superintendan K Manoharan, berkata kedua-dua bot berkenaan adalah milik syarikat agensi pelancongan dan mempunyai lesen untuk beroperasi.
Bagaimanapun, katanya, tindakan mereka membawa penumpang melebihi syarat ditetapkan nyata satu kesalahan dan polis menyifatkan ia sebagai kesalahan serius kerana ia membabitkan nyawa.
“Kedua-dua bot berkenaan ditahan sepasukan anggota unit Pasukan Gerakan Marin (PGM) yang melakukan rondaan dekat kawasan perairan Pulau Redang, kira-kira jam 4 petang semalam (kelmarin).
“Kedua-dua bot itu kemudian dibawa ke Pulau Redang sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pulau Redang untuk membolehkan pihak berkuasa merekodkan keterangan pemandu bot itu,” katanya.
Menurutnya, polis akan memanggil pemilik bot itu bagi mendapatkan penjelasan bagaimana perkara itu boleh berlaku dan siasatan kini dijalankan mengikut seksyen 282 Kanun Keseksaan.
“Kita akan cari punca berlakunya kejadian ini… ini adalah kesalahan serius kerana ia membabitkan nyawa, bayangkan bot untuk 12 orang dinaiki lebih 50 penumpang; nampaknya ada pihak mengutamakan keuntungan,” katanya.
Menurutnya, jika didapati bersalah, pihaknya tidak akan teragak-agak mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya membatalkan lesen pengangkutan yang diberi kepada syarikat itu.
“Kita juga akan pantau dan jika ada pihak yang berdegil kita akan kemukakan cadangan.
“Saya mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan diri dan tidak menggunakan kemudahan bot yang melanggar peraturan dengan membawa penumpang berlebihan,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mengetahui perkara itu juga boleh melaporkan kepada mana-mana balai polis berhampiran.