Feeds:
Posts
Comments

Archive for July 8th, 2009

PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuatkuasa pada 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

“Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003,” katanya ketika mengumumkan perkata itu di Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Muhyiddin berkata pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkat Empat di sekolah menengah yang bermula 2012.

Bagaimanapun, katanya, perubahan itu tidak melibatkan Tingkatan Enam dan matrikulasi.

Beliau berkata untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

Beliau berkata kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang dihasratkan.

“Apa ysng dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia,” katanya.

Muhyiddin berkata pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.

“Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik,” katanya.

Selain itu, katanya, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap profisiensi.

Katanya peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus,” katanya.

Beliau berkata jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 7 Julai (Utusan Malaysia)- Polis cawangan Narkotik tidak menyangka intipan selama sebulan sebelum menyerbu sebuah rumah kedai yang disyaki dijadikan pusat pengedaran dadah di Kampung Wakaf Tengah di sini kelmarin telah menemui sejumlah mercun pelbagai jenis yang diisi di dalam 10 karung guni.

Sebanyak 90,078 pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM10,000 itu ditemui di tingkat dua rumah kedai berkenaan dalam serbuan pukul 8.25 malam, dipercayai rampasan terbesar mercun di negeri ini setakat ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abdul Wahid berkata, kesemua mercun itu dipercayai bakal diedarkan di negeri ini ketika Ramadan dan perayaan Aidilfitri nanti.

Menurutnya, dalam serbuan itu, seorang wanita berusia 43 tahun berasal dari Kampung Besut bersama dua lelaki berumur 35 dan 24 tahun turut ditahan.

“Wanita itu dipercayai menjadi perancang utama kegiatan itu manakala lelaki berusia 35 tahun yang juga dari kampung yang sama pernah terbabit dalam kes curi,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Roslan berkata, kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 untuk tindakan lanjut.

Read Full Post »

KUALA BERANG (Harian Metro): Walaupun suaminya ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah jenis heroin, kasih sayang wanita berusia 106 tahun, Mek Wook Kundor terhadap suaminya, Mat Noor Che Musa, 37, tidak pernah luntur.

Perasaan itu jelas dilihat pada wajahnya yang sebak walaupun merelakan suaminya menjalani rawatan pemulihan bagi membolehkan mereka kembali melayari bahtera rumah tangga seperti pasangan lain kelak.

Seperti Wook, cinta Mat Noor terhadap isterinya juga tidak dapat disangkal apabila dilihat mencium wajah wanita itu sambil memohon maaf terhadap segala kesalahannya.

Wook berkata, dia reda dengan ketentuan Tuhan dan menganggap kejadian itu sebagai ujian dalam rumah tangga.

Katanya, dia masih sayang dan sentiasa memberi nasihat kepada suaminya supaya kembali ke pangkal jalan.

“Saya beri tasbih dan kopiah ini dengan harapan dia berzikir dan berdoa banyak-banyak memohon keampunaan Tuhan. Saya harap dia akan insaf serta jangan lupa sembahyang dan mengaji,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mat Noor ditahan sepasukan lima pegawai AADK Hulu Terengganu di pekarangan rumahnya di Kampung Tok Bak di sini, jam 2.20 petang semalam sebelum dibawa ke sebuah klinik untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan ke pejabat agensi berkenaan untuk diambil keterangan.

Seperti pasangan bahagia lain, kasih dan sayang Mat Noor nyata tidak pernah luntur terhadap wanita berkenaan apabila dia membuat permintaan terakhir mahu menemui isterinya sebelum dibawa ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi, Kuala Lumpur, jam 8 malam tadi.

Pertemuan penuh syahdu itu memberi kesempatan kepada Mat Noor menyuapkan makanan kepada Wook dan suapan penuh mesra itu mungkin suapan terakhir kepada isterinya berikutan dia akan dirawat selama dua tahun.

Wook yang mengetahui Mat Noor akan berjauhan dengannya turut membekalkan peralatan ibadah seperti tasbih, kopiah dan kain pelikat dengan harapan suaminya berzikir dan berdoa memohon ampun.

Melihatkan kasih sayang mendalam Wook terhadapnya, Mat Noor akhir berlembut hati dan sedia ditemu bual wartawan yang sudah lama menunggu untuk merakamkan gambar mereka.

“Saya rasa lebih baik saya pergi menjalani rawatan (pemulihan) ini…Tiada jalan lain lagi hendak pulih dan lebih baik saya pergi dengan sukarela.

“Saya harap isteri saya (Wook) duduk baik-baik dan pandai jaga diri sepanjang ketiadaan saya. Tidak tahulah macam mana keadaannya selepas ini kerana sebelum ini pun dia banyak bergantung harap pada saya,” katanya mengakui terbabit dengan dadah akibat pengaruh rakan dan perasaan ingin mencuba.

Pada akhir pertemuan mereka, suasana penuh syahdu dan sebak apabila Mat Noor mencium Wook dan memohon maaf terhadap segala kesalahannya.

Wook berkata, dia pernah mendengar orang memberitahu suaminya menagih dadah sejak awal tahun ini, tetapi tidak pernah melihat dengan mata sendiri sehinggalah seorang rakan Mat Noor memperli dengan memberitahu ‘tauke dadah’ sudah sampai, beberapa hari lalu.

“Malam semalam (kelmarin) saya nasihat Mat Noor jangan hisap dadah, tapi dia buat tidak dengar sehinggalah dia ditangkap hari ini (semalam),” katanya.

Menurutnya lagi, banyak barangan kemas miliknya digadai Mat Noor termasuk sebuah kereta terpakai yang dibeli dengan harga RM3,500 untuk suaminya turut dijual tiga bulan lalu.

Katanya, dia sedih dengan keadaan itu dan tidak putus berdoa sehinggalah empat hari lalu hatinya tergerak untuk membuka sebuah beg lama yang masih tersimpan seutas gelang emas.

Mengimbas kisah awal perkahwinan unik mereka yang pernah disiarkan Harian Metro secara eksklusif pada 1 Mei 2006, Mat Noor berkata, seboleh-bolehnya dia tidak mahu perkahwinan mereka dihebohkan kerana dia berkahwin atas dasar kasih sayang dan kasihan.

Sebelum bertemu jodoh dengan Mat Noor pada Februari 2006, Wook pernah berkahwin dengan 20 lelaki, tetapi tidak pernah dikurniakan zuriat.

Wook ketika itu dilaporkan berkata, dia berharap sangat perkahwinannya kali ini kekal hingga ke akhir hayat.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Hulu Terengganu, Rohana Hitam, berkata kebiasaannya pihaknya hanya mengambil masa dua minggu untuk menahan suspek selepas risikan dibuat, tetapi dalam kes Mat Noor pihaknya mengambil masa dua bulan untuk menentukan kesahihan kerana tidak mahu menyusahkan Wook yang kini dijaga Mat Noor.

“Sepatutnya Mat Noor ditahan mengikut Seksyen (3)(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) Pindaan 1998 atas tuduhan memiliki dadah, tetapi dia meminta untuk menyerah diri secara sukarela dan kini ditahan mengikut Seksyen 8(3)(a) akta sama.

“Mat Noor akan dibawa ke Puspen Sungai Besi untuk menjalani pemulihan selama dua tahun dan akan dibebaskan lebih awal jika berkelakuan baik,” katanya.

Menurutnya, selepas sesi kaunseling dijalankan, Mat Noor mengakui dia pernah terjebak dengan penagihan dadah dan dimasukkan ke pusat pemulihan sebelum berkahwin dengan Wook.

Read Full Post »

HULU TERENGGANU 7 Julai (Utusan Malaysia)- Kisah unik wanita tertua di Terengganu, Wook Kundur yang berusia 107 tahun selain mempunyai seorang suami yang jauh lebih muda, pernah menggemparkan negara.

Namun, saat manis mereka seolah-olah tidak bertahan lama apabila suaminya itu, Mohd. Nor Musa ditangkap oleh sepasukan anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana disyaki menagih heroin.

Mohd. Nor, 38, ditangkap di pekarangan rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang kira-kira pukul 2.20 petang ini.

Dia didapati positif mengambil dadah jenis heroin kemudian dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sungai Besi, Kuala Lumpur untuk rawatan selama dua tahun.

Penahanan itu dibuat di bawah Seksyen 8(3)(a) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan Pindaan 1998.

Ketua Pegawai AADK Hulu Terengganu, Rohana Hitam berkata, ketika Mohd. Nor ditahan, isterinya, Wook tiada di rumah.

“AADK menjalankan siasatan terhadap Mohd. Nor selama dua bulan selepas mendapat maklumat orang ramai mengenai penglibatannya dengan dadah.

“Malah, dia mengaku pernah dimasukkan ke Pusat Serenti Tampin, Negeri Sembilan,” katanya di sini hari ini.

Pasangan suami isteri itu pernah mendapat liputan meluas apabila berkahwin pada tahun 2005 dan hidup bahagia walaupun berbeza jarak usia hampir 69 tahun.

Ia adalah perkahwinan pertama Mohd. Nor manakala yang ke-22 buat Wook. Bagaimanapun hasil perkahwinan pasangan itu, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Menurut Rohana, Mohd. Nor dihantar ke Puspen selepas dia sendiri sanggup untuk menjalani rawatan di pusat pemulihan itu.

Katanya, sekiranya berkelakuan baik dan menunjukkan pemulihan, Mohd. Nor boleh dibebaskan lebih awal.

Sementara itu, Wook berkata, dia berharap suaminya cepat berubah untuk kembali pulih selain bertaubat serta sentiasa mengingati tuhan.

“Dulu memang dia kerap keluar malam jumpa kawan-kawan. Dia juga jual kereta dan cincin saya, tapi saya tak syak apa-apa. Tapi hari ni, ada orang datang beritahu dia kena tangkap, kena gari.

“Saya memang sedih tapi nak buat macam mana, eloklah dia berubat dulu,” katanya ketika ditemui di pejabat AADK di Ajil.

Walaupun Mohd. Nor ditangkap, Wook tetap memaafkan suaminya dan bersedia menerimanya kembali.

Menurutnya, dia sempat mengirimkan tasbih, kain pelikat dan kopiah kepada suaminya itu.

Read Full Post »


Za’abar Mohd. Adib (berdiri, empat dari kiri) bersama pemenang pertandingan melukis Citra Terengganu 2009 di Kompleks Muzium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 7 Julai (Utusan Malaysia)- Dua peserta dipilih menerima hadiah kedua (kategori 1 karya spontan) dalam pertandingan melukis Citra Terengganu 2009 anjuran Lembaga Muzium Negeri.

Bagaimanapun tiada pemenang pertama dalam pertandingan tersebut.

Mereka ialah Nazli Hamzah dengan karya bertajuk Pembunuhan Megat Panji Alam Adaptasi Dari Versi Hikayat Hang Tuah manakala seorang lagi Suhaidi Razi dengan karya The Rising Of The Black Empire 11.

Dengan kemenangan itu mereka berdua menggondol wang tunai RM7,000 dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga disandang Noraziah Mohamad dengan karya bertajuk Kronologi Batu Bersurat menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penyertaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib menyampaikan hadiah kepada pemenang di Muzium Negeri, di sini, petang semalam.

Bagi anugerah juri khas pula Nasibah Muhamad mengondol wang tunai sebanyak RM3,000 dengan karya Memahat Sejarah Mencipta Tamadun.

Sementara itu bagi kagetori karya spontan pula Ismail Awi dengan tajukEvening In Seberang Takir menerima wang tunai RM5,000.

Tempat kedua Ahmad Abdul Ghawi dengan tajuk Galeri 3 menerima wang tunai RM3,000 manakala ketiga oleh Syahiezuan Ahmad Rosli dengan tajuk Menyulam Warisan menerima wang tunai RM2,000.

Sementara itu Pengarah Muzium Negeri, Mohd Yusof Abdullah berkata, kesemua karya pelukis melahirkan idea-idea berani dengan mengenengahkan karya baru dalam menceritakan sesuatu peristiwa yang berlaku di dalam persejarahan Negeri Terengganu.

Katanya, hasil karya menghadirkan lontaran sejarah yang menarik.

Setiap pelukis berjaya merakamkan sesuatu peristiwa dengan baik, namun begitu ada karya yang tidak menepati fakta sejarah.

”Pemilihan hasil karya dilakukan secara terperinci dengan melihat daripada pelbagai sudut termasuk penggunaan warna, pencahayaan, ketepatan fakta sejarah yang dikemukakan dan sebagainya,” katanya.

Read Full Post »