Feeds:
Posts
Comments

Archive for July 13th, 2009

Jawatan: Jurujual (Wanita)
Kelayakan: minima SPM

Jika anda seorang yang ceria, peramah, bujang, berumur 18 – 25 tahun dan berminat

sila hantar maklumat diri (resume) kepada kami:
Alam Akademik Sdn Bhd
No. 12 Jalan Bandar
20100 Kuala Terengganu
Tel: 09-623-1110 Fax: 09-623-0111
emel: akademik@streamyx.com

Tarikh Tutup: 30hb Jul 2009

HANYA YANG DILAYAK AKAN DIPANGGIL UNTUK TEMUDUGA

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 13 Julai (Bernama) — Polis akan mengambil keterangan lima pelajar perempuan dari dua sekolah menengah di Dungun, berhubung insiden pergaduhan sesama sendiri, di sebuah surau di Kampung Ketengah Jaya, Dungun bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Mohd Fauzi Abduri berkata tiga daripada mereka ialah pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Ketengah Jaya, yang didakwa dalang kejadian itu.

“Kami telah kenalpasti ketiga-tiga pelajar terbabit. Polis juga akan mengambil keterangan dua lagi pelajar termasuk seorang pelajar yang menjadi mangsa dalam kejadian itu,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan.

Semalam, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di Dungun, membuat laporan polis selepas adegan dia bergusti dengan rakan karib secara paksa dalam satu kejadian 18 Jun lepas, disebar melalui internet dan telefon bimbit.

Mangsa membuat laporan polis kerana malu apabila adegan bergusti secara paksa itu dirakam tiga pelajar perempuan lain.

— BERNAMA

***************************************

Posting berkaitan sebelum ini:

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Harian Metro): Tiga pelajar perempuan tingkatan satu layak digelar ‘mafia betina’ ketika membelasah dan mendera dua rakan sebaya, baru-baru ini.

Ini kerana mangsa bukan setakat ditampar dan diterajang, malah dipaksa bergusti sesama sendiri. Lebih mengejutkan, penderaan itu dilakukan di dalam surau di luar sekolah!

Tidak cukup dengan itu, aksi kejam kira-kira 30 minit itu dirakam dan diedarkan di kalangan rakan sebelum dimuat turun ke dalam Internet melalui laman You Tube menyebabkan kedua-dua mangsa kini malu dan trauma untuk berhadapan dengan pelajar lain di sekolah.

Difahamkan, kejadian bermotifkan dendam kira-kira jam 2.30 petang itu bermula apabila seorang mangsa, Azani Jusharmiela Mohd Jaafar, 13, yang belajar di sebuah sekolah menengah di Dungun, dijemput tiga pelajar terbabit dari rumahnya sebelum membonceng motosikal ke sebuah surau kira-kira empat kilometer dari situ.

Sejurus tiba, dia melihat seorang lagi rakannya yang juga pelajar sebuah sekolah di Kerteh berada di situ.

“Sebaik memasuki surau, saya dan rakan ditampar dan dihentak ke pintu menyebabkan kepala saya benjol.

Katanya, selepas ketiga-tiga pelajar perempuan samseng itu puas membelasah, dia dipaksa bergusti dengan rakannya sambil aksi mereka dirakam menggunakan telefon bimbit.

Bimbang terus dibelasah, kedua-dua mangsa terpaksa mengikut ‘skrip’ arahan tiga ‘mafia betina’ terbabit.

“Kami terpaksa bergusti sesama sendiri dan mengikut semua arahan mereka bagi mengelak terus dibelasah. Mereka juga mengugut kami supaya tidak beritahu guru dan ibu bapa.

“Selepas tiga hari kejadian, saya bertemu tiga pelajar samseng terbabit di sekolah dan hanya mendiamkan diri apabila bersua muka.

“Sebelum itu, kami tak tahu rakaman itu disebarkan dalam You Tube sehinggalah saya melihatnya sendiri sebaik mendapat maklumat daripada seorang rakan,” katanya di sini, semalam.

Azani Jusharmiela berkata, dia yang trauma beberapa minggu selepas kejadian, kemudian mengadu kepada seorang kakaknya kerana tidak tahan dengan sikap tiga mafia betina terbabit yang berbangga dengan perbuatan mereka.

Kakaknya, Azani Juhaiza Mohd Jaafar, 23, yang bekerja di ibu negara berkata, dia terperanjat dan marah dengan tindakan tiga pelajar perempuan terbabit yang mengaibkan adiknya di Internet.

Katanya, dia hanya mengetahui perbuatan itu ketika pulang ke rumahnya di Kampung Felda Kerteh untuk bercuti dan naik darah sebaik diceritakan adiknya.

“Sesiapa pun pasti berang dengan perbuatan kurang ajar itu dan tindakan pihak sekolah saja tidak cukup untuk menghukum mereka.

“Mereka baru berusia 13 tahun tapi berani melakukan jenayah seperti ini. Jika besar nanti saya tak tahulah macam mana kejamnya lagi mereka.

“Jika saya sendiri membalas perbuatan mereka, kes ini akan mungkin jadi lebih panjang, oleh itu biarlah pihak polis saja menyelesaikannya,” katanya selepas membuat laporan kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira 9.30 pagi semalam.

Menurutnya, adiknya kini malu bersemuka dengan rakan selepas tersebar rakaman itu di Internet dan menjadi pendiam serta jarang keluar rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan akan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.

Read Full Post »


ANGGOTA bomba mengangkat mayat lelaki yang mati lemas di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Jeram, Manir semalam.


KUALA TERENGGANU (Kosmo) – Baru nampak van polis, tiga lelaki yang dipercayai penagih dadah bertempiaran lari sebelum nekad terjun ke dalam sungai di Kampung Jeram, Manir di sini semalam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki tersebut mengalami nasib berbeza apabila seorang mati lemas, seorang ditahan polis dan seorang lagi berjaya meloloskan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abdul Wahid berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 9.45 pagi semasa anggota polis membuat rondaan rutin.

“Sampai di lorong tepi sungai di kawasan tersebut tiba-tiba anggota kami ternampak tiga lelaki yang berlari ke arah jeti sebelum terjun dan cuba menyeberangi sungai itu,” kata beliau di sini semalam.

Menurut Roslan, dua anggota polis itu memujuk ketiga-tiga lelaki tersebut supaya berpatah semula ke jeti tetapi tidak dipedulikan.

Katanya, dalam usaha melarikan diri itu, salah seorang daripada lelaki tersebut hampir lemas ekoran kekejangan otot ketika berada di tengah sungai.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 12 Julai (Utusan Malaysia)- Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 (SKSSI) di sini yang diarahkan tutup Khamis lalu setelah dua pelajarnya disahkan dijangkiti influenza A (H1N1) akan dibuka semula Rabu ini.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Ariffin Embong memberitahu, sekolah berkenaan akan dibuka semula pada hari tersebut selepas mendapati keadaan terkawal.

”Saya juga ingin menekankan bahawa arahan tutup dan membukanya semula bukan dibuat sewenang-wenang sebaliknya atas faktor kesihatan. Kita mengikut arahan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan SKSSI yang ditutup Khamis lalu selepas dua pelajarnya dijangkiti virus itu.

Dua murid sekolah terbabit dikuarantin di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana dijangkiti selesema babi selepas pulang dari luar negara.

Mengulas lanjut, Ariffin menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik dan bimbang dengan kes tersebut kerana keadaan terkawal.

Katanya, Jabatan Pelajaran sentiasa mengikut arahan Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan penularan jangkitan virus itu.

”Kuarantin merupakan langkah awal bagi mengelak berlakunya jangkitan dan saya rasa keadaan terkawal dan ibu bapa tidak seharusnya bimbang dengan apa yang berlaku,” jelasnya

Read Full Post »


Salah satu aksi pelajar perempuan yang bertumbuk di surau Ketengah Jaya, Dungun baru-baru ini.

Salah seorang pelajar yang
bergaduh.


KUALA TERENGGANU (Kosmo)- Kerana cantik dan bijak, dua pelajar perempuan yang juga sahabat baik dihasut supaya bertumbuk di sebuah surau di Ketengah Jaya, Dungun 18 Jun lalu.

Aksi bergasak pelajar tingkatan satu berpakaian seragam itu dirakam menggunakan kamera telefon bimbit dan bukan sahaja tersebar di kalangan pelajar tetapi boleh ditonton di laman web perkongsian YouTube.

Rakaman 30 minit itu bermula dengan tiga remaja perempuan tingkatan dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketengah Jaya, Dungun di sini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap dua pelajar yang dikatakan menjadi kesukaan ramai.


Inilah surau Ketengah Jaya di Terengganu yang menjadi lokasi kung fu lima pelajar yang bergaduh baru-baru ini.


Dua pelajar cantik dan bijak itu masing-masing pelajar tingkatan satu. Seorang dari SMK Ketengah Jaya manakala seorang lagi dari SMK Rasau Kerteh, Kemaman.

Rakaman seterusnya menunjukkan tiga pelajar senior itu membuli dan memukul pelajar dari Rasau Kerteh kerana dia didakwa bercakap besar.

Tiga pelajar itu turut memaki hamun gadis berkenaan dalam dialek Terengganu. Mereka turut menampar, menarik tudung dan rambut selain menendang pelajar dari Rasau Kerteh itu beberapa kali.

Rakaman kemudian menunjukkan pergaduhan melibatkan dua sahabat baik itu selepas mereka dihasut oleh ketiga-tiga pelajar senior itu.

Aksi tarik rambut dan sepak terajang antara dua sahabat itu bukan sahaja disorak oleh tiga pelajar itu malah dirakam.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 12 Julai (Utusan Malaysia) – Penduduk di negeri ini berpeluang menyaksikan fenomena gerhana matahari pada 22 Julai ini bermula pukul 7.30 hingga 10 pagi, di Pantai Batu Buruk di sini.

Fenomena matahari penuh jarang dapat dilihat di negara ini dan kali terakhir, pada 1998 iaitu sebelas tahun lalu.

Penolong Pegawai Tadbir Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Ahmad Taufan Abdul Rashid berkata, gerhana penuh matahari itu merupakan gerhana yang paling lama untuk abad ke 21.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang berminat, digalakkan datang beramai-ramai untuk menyaksikan fenomena astronomi yang menakjubkan pada hari tersebut.

”Kita menyediakan teleskop dan peralatan khas supaya mereka berminat dapat menyaksikan simulasi fenomena gerhana matahari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Taufan menambah, gerhana matahari adalah suatu fenomena yang jarang-jarang berlaku iaitu sekali atau dua kali dalam satu tahun kalendar.

Katanya, gerhana matahari terbahagi kepada empat jenis, iaitu gerhana penuh, gerhana annulus (cincin), gerhana hibrid (penuh+cincin) dan gerhana separa (sebahagian).

” Gerhana separa merujuk peringkat awal atau akhir suatu gerhana matahari, atau bahagian bumi yang masih dapat melihat gerhana, tetapi tidak akan dapat melihat gerhana matahari fasa penuh atau cincin,

”Bagi penduduk Malaysia, mereka hanya berpeluang menyaksikan gerhana tersebut dalam fasa separa dalam peratus maksimum yang kecil antara 3% hingga 18% sahaja dari kebanyakan bandar-bandar utama,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menyaksikan fenomena gerhana matahari dengan menggunakan cara yang selamat.

Antaranya menggunakan penebat (penapis) alpha-hydrogen, penebat aluminium mylar dan filem hitam putih (monokrom) yang telah didedahkan kepada cahaya dan telah diproses.

Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh menggunakan kaca penebat yang khusus untuk matahari

Lain-lain kaedah menggunakan teleskop atau binokular dengan tripod lebih sesuai.

Paling tidak, katanya, anda boleh memerhatikan bayang matahari pada tanah yang melalui celah celah dahan pokok.

**************************************

Laporan pada 23hb Julai 2009:

eclipseStar-n_03ahmadaliUtusan Malaysia: 1,000 penduduk saksi fenomena gerhana matahari

The Star: Stargazer gets a shot at moment in history

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) — Kolej Islam Sains dan Teknologi(Kist) cawangan Terengganu akan memilih 16 pelatih bagi mengikuti pengajian sulung di Akademi Penerbangan KIST di sini yang akan dibuka September ini.

Pengerusi Lembaga Penasihat Kist, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata akademi itu yang pertama seumpamanya di Terengganu dan kelapan dalam negara akan beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Beliau berkata pihaknya yang melabur RM20 juta bagi membuka akademi itu, menyediakan tiga pesawat latihan buatan Itali kepada pelatih-pelatih yang mengikuti pengajian itu.

“Kami akan ambil pelatih dua kali setahun. Pada peringkat permulaan, 16 pelatih yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kepujian dalam Bahasa Inggeris, Matematik serta Sains akan mengikuti latihan selama 18 bulan sebelum mendapat sijil.

“Bagi melatih pelajar, kami menyediakan lapan tenaga pengajar yang mahir dalam bidang penerbangan,” katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Tengku Putera berkata penubuhan akademi itu antara lain bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam industri penerbangan yang kini semakin diperlukan oleh syarikat-syarikat penerbangan sama ada di dalam atau luar negara.

KIST mula bertapak di Bachok, Kelantan sejak 2005, sebelum membuka cawangan Terengganu di Kuala Berang pada awal tahun ini dan menyediakan kursus-kursus berkaitan Sains Kesihatan.

Sebanyak 12 kursus yang ditawarkan di KIST iaitu Kejururawatan, Pembantu Perubatan, X-Ray, Sains Senaman dan Sukan, Teknologi Makmal Perubatan, Kesihatan Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Terapi Cara Kerja, Pembantu Farmasi, Fisioterapi, Pengajian Syariah dan Psykologi serta terbaru bidang Penerbangan.

— BERNAMA

Read Full Post »