BESUT 7 April (Utusan Malaysia)- Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu memperuntukkan RM2.1 juta untuk membantu petani di negeri ini membeli pelbagai peralatan dan jentera kecil sepanjang tahun ini.
Pengarahnya, Shamsuddin Mat Rani berkata, menerusi kaedah pinjaman geran sepadan daripada peruntukan Kerajaan Pusat itu, lebih 400 petani di negeri ini terutama pesawah akan menikmati faedahnya.
Katanya, menerusi kaedah itu petani mampu memiliki pelbagai peralatan dan jentera kecil dengan hanya membayar separuh daripada harga sebenar manakala separuh lagi dibiayai oleh kerajaan.
“Sehingga kini kami menerima permohonan berjumlah RM1.2 juta daripada petani dan baki kira-kira RM1 juta lagi boleh dimohon oleh petani yang berminat menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berdekatan,” ujarnya.
Menurut Shamsuddin, peruntukan di bawah geran itu tahun ini meningkat tiga kali ganda berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM500,000 sahaja.
Selain itu beliau berkata, LPP Terengganu juga menyediakan peruntukan berjumlah RM1.5 juta kepada dua PPK kawasan sebagai modal pusingan pembelian hasil padi daripada petani.
Jelasnya, daripada jumlah itu sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada PPK Gerai manakala RM500,000 lagi kepada PPK Kerandang.
Usaha itu menurutnya, akan membolehkan PPK berkenaan yang menjalankan urusan membeli hasil padi daripada petani menjelaskan bayaran lebih awal kepada petani yang menjual hasil padi mereka.
Beliau menasihatkan petani di dua kawasan itu supaya menjual hasil padi mereka menerusi PPK masing-masing bagi membolehkan keuntungan yang diperolehi disalurkan semula kepada petani.
Leave a Reply