PULAU PERHENTIAN (Berita Harian): Pengalaman meneroka keindahan dasar laut menjadi kenangan manis bagi sembilan peserta apabila menang dalam dua daripada empat acara yang dipertandingkan dalam Cabaran Dasar Laut Pulau Perhentian yang berlangsung selama tiga hari bermula, Jumaat lalu.
Dua acara yang dipertandingkan ialah Pertandingan Melukis Pemandangan Dasar Laut Dalam Air dan Mencari Harta Karun di Dasar Laut yang menawarkan wang tunai sebanyak RM3,300 serta sijil penyertaan.
Tempat pertama bagi Pertandingan Melukis Pemandangan Dasar Laut dimenangi oleh Sham Hosni dari Coral Malaysia, kedua, Mohd Rashid Rahim dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan ketiga, Mohd Syaidi Hafiz Zulkifli dari UMT. Masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM500, RM300 dan RM100 serta sijil penyertaan.
Pertandingan Mencari Harta Karun di Dasar Laut yang disertai secara berpasangan pula dimenangi oleh pasangan penyelam James Ong dan Derrick Lim, kedua, Baharim Mustaffa dan Kamaruzzaman Mohd Ariffin dari UMT, manakala ketiga oleh Ismadi Ismail dan Syed Ahmad Rizal Tn Nek juga dari UMT.
Masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM1000, RM800 dan RM600 serta sijil penyertaan.
Hadiah disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Pelancongan, Kementerian Pelancongan, Norsiah Patah pada Majlis Penyampaian Hadiah yang berlangsung di Perhentian Island Resort, malam kelmarin.
Turut hadir, Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPTN), Ahmad Fathil Ghani.
[…] Pengalaman teroka dasar laut beri pulangan […]