MUAR, 4 Jun (Bernama) — Semua agensi yang terlibat dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu tidak harus menuding jari antara satu sama lain apabila bumbung stadium berharga RM270 juta yang baru siap itu runtuh tiga hari lepas.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim menegaskan sebaliknya mereka harus bertanggungjawab di atas kejadian tersebut dan bukan menyalahkan orang lain.
“Kejadian bumbung stadium runtuh lebih-lebih lagi baru sahaja siap dibina adalah sesuatu yang serius. Seseorang harus dipertanggungjawabkan di atas kejadian ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek menaik taraf Stadium Sultan Ibrahim, di sini, Khamis.
Razali yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata walaupun kejadian runtuhan itu tidak melibatkan kematian tetapi ia tetap satu insiden yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata satu siasatan menyeluruh perlu dijalankan segera bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Mengenai mutu kerja projek membaik pulih Stadium Sultan Ibrahim, Razali berkata beliau sedang meneliti sama ada ia memenuhi aspek yang ditetapkan atau setimpal dengan jumlah peruntukan yang diluluskan.
“Kalau boleh biarlah mutu kerja projek ini yang terbaik kerana kita telah lama menunggu stadium ini dibaik pulih setelah lebih 10 tahun dalam keadaan terbiar,” katanya.
Beliau berkata stadium tersebut amat besar ertinya bagi penduduk setempat kerana pernah digunakan sebagai gelanggang Pesta Bola Merdeka dan kejohanan olahraga kebangsaan satu ketika dahulu.
“Pelari pecut jarak sederhana negara, Nordin Jadi yang berasal dari daerah ini pernah menunjukkan kehebatannya di stadium ini,” katanya.
— BERNAMA
Leave a Reply