Feeds:
Posts
Comments

Archive for June 13th, 2009

KUALA TERENGGANU, 12 Jun (Bernama) — Seorang guru tidak menyangka hobi memancing di lautan di waktu lapang menyebabkan beliau terpaksa bertarung dengan maut hampir 21 jam setelah bot yang dinaiki kehabisan minyak sebelum ia dilanda ribut dan dihanyutkan arus petang Rabu.

Abd Karim Salam, 51, guru Sekolah Kebangsaan Merang Setiu yang menaiki bot kecil dihanyutkan kira-kira 60 batu nautika dari Pantai Pengkalan Maras, Batu Rakit, sehingga ke perairan Pulau Kapas sebelum diselamatkan oleh sekumpulan nelayan yang juga merupakan rakan-rakannya.

Katanya beliau pada mulanya keluar memancing bersama dua rakannya yang lain menaiki bot berasingan di persekitaran Pulau Yu pada pukul 7.30 pagi, namun kira-kira pukul 3 petang bot yang dinaikinya dilanda ribut dan kehabisan minyak.

“Saya hubungi rakan melalui telefon bimbit untuk meminta tolong. Rakan saya yang keluar bersama memancing ketika itu sudah selamat kembali ke Pengkalan Maras,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Maras di sini Jumaat.

“Namun akibat ribut dan ombak yang kuat, bot saya dihanyutkan arus dan apabila mereka menghubung mereka saya sekali lagi, saya gagal memberikan maklumat tepat mengenai kedudukan saya kerana kabus tebal,” katanya.

Abdul Karim yang kelihatan masih keletihan dan trauma akibat kejadian itu dengan pakaian yang masih basah di badan berkata, sepanjang tempoh hanyut dilaut itu, beliau hanya berbekalkan lima keping biskut dan sebotol air sahaja.

Katanya beliau ditemui oleh rakan-rakannya di kawasan perairan Pulau Kapas kira-kira pukul 11 pagi ini.

Sementara itu rakannya Abdul Karim Ali Saleh, 60, berkata beliau mula risau selepas menyedari Abdul Karim masih tidak sampai ke pantai sedangkan ketika itu ribut sudah mulai melanda.

“Saya keluar bersama Abdul Karim memancing dan tiba di pantai (Pengkalan Maras) pukul 1 petang sebelum ribut. Kira-kira pukul 4 petang beliau menghubungi telefon bimbit saya untuk memberitahu botnya kehabisan minyak. Selepas itu saya hubungi rakan-rakan yang lain dan beberapa buah bot keluar mencarinya sehingga pukul 2 pagi namun gagal kerana dia tidak dapat memberikan lokasi yang tepat,” katanya.

Katanya tiga bot meneruskan usaha mencari kira-kira pukul 7 pagi ini dan mereka berjaya menemui bot Abdul Karim berhampiran perairan Pulau Kapas dengan Abdul Karim terbaring lesu keletihan dan kelaparan di dalam bot.

— BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »

MELAKA, 12 Jun (Bernama) — Kerajaan Terengganu berminat untuk mempelajari usaha Melaka yang berjaya membangunkan sektor pelancongan negeri ini dengan pesat, kata Menteri Besarnya Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata langkah itu penting kerana Terengganu akan menjadikan pelancongan sebagai tulang belakang ekonominya pada masa depan.

“Kita lihat berlaku anjakan yang hebat dalam industri pelancongan di Melaka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembangunan negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, Jumaat.

Ahmad mengetuai 130 delegasi dari Terengganu melawat Melaka selama empat hari bermula semalam.

Beliau berkata Terengganu mempunyai sungai, tasik, pulau dan pantai yang boleh dieksploitasi untuk pelancongan pada masa depan.

Katanya pada tahun lepas, sebanyak 3.5 juta pelancong melawat Terengganu berbanding Melaka sebanyak 7.2 juta orang.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang turut hadir pada taklimat itu berkata Melaka akan mengambil beruk dari Terengganu untuk memetik buah kelapa sebagai produk pelancongan baru.

“Kita akan membuka sekolah beruk untuk ajar beruk panjat pokok kelapa dan petik kelapa supaya pelancong terhibur,” katanya.

Beliau berkata Melaka akan mempelajari kemahiran pertukangan emas dan perak dari Terengganu supaya dapat menghasilkan produk kraf itu di negeri ini.

— BERNAMA

Read Full Post »

HULU TERENGGANU 12 Jun (Bernama) – Lebih 3,000 penduduk dari tiga buah kampung berhampiran Sungai Pueh dekat sini dihimpit kebimbangan apabila sungai yang selama ini menjadi sumber air mereka kini diancam masalah pencemaran dipercayai berpunca dari sebuah kilang memproses kelapa sawit tidak jauh dari situ.

Pencemaran itu dipercayai berpunca daripada limpahan sisa kilang yang memasuki sungai itu menyebabkan airnya yang dahulu jernih bertukar menjadi gelap dan kotor.

Menurut seorang penduduk, Mohamad Fauzi Abdullah, 29, dari Kampung Kuala Pueh, pencemaran itu telah menyebabkan banyak ikan dan udang yang mati sejak dua hari lepas sehingga menimbulkan bau busuk.

“Sungai Pueh selama ini menjadi punca air kepada penduduk dari tiga buah kampung berhampiran iaitu Kampung Kuala Pueh, Kampung Tapah, Kampung Rancangan Felcra Bukit Kepah, malah turut menjadi tumpuan kaki pancing kerana mempunyai banyak ikan dan udang.

“Namun sejak pencemaran itu berlaku, ramai pemancing terpaksa mencari kawasan baru dan sehubungan itu saya memohon pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini untuk mengelakkannya daripada menjadi lebih serius,” katanya di sini hari ini.

Katanya, beliau telah pun menghubungi Jabatan Alam Sekitar Daerah untuk memaklumkan tentang masalah itu, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan yang diambil.

Mohamad Fauzi yang bertugas sebagai seorang guru di Selangor berkata, beliau juga menghubungi Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong Rozi Mamat berhubung masalah itu namun gagal dan diberitahu oleh pembantunya bahawa perkara itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat esok.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Rusli Che Husin ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada penduduk berhubung masalah itu dua hari lepas.

-BERNAMA

Read Full Post »

BESUT 12 Jun (Utusan Malaysia) – Pasangan guru bersama enam anak mereka diikat sebelum rumah mereka digeledah oleh sekumpulan tiga perompak dalam satu kejadian di Kampung Limbongan dekat sini awal pagi semalam menyebabkan kerugian kira-kira RM13,000.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, pasangan, Zulkifly Yusof, 44, dan isterinya Nor Khairiyah Abdullah, 46, dikejutkan oleh dua orang suspek yang memasuki bilik tidur mereka yang tidak berkunci.

Zulkifly ketika ditemui berkata, dia terjaga setelah dua orang yang menutup kepala menggunakan baju T yang hanya menampakkan mata dan hidung mengacukan pisau pemotong daging ke lehernya.

Menurutnya, salah seorang suspek mengarahkannya supaya tidak berbuat bising dan bertanyakan guru itu tempat simpanan wang sambil mengikat tangan dan isterinya menggunakan kabel pengecas telefon.

Menurutnya, ketika itu anak bungsunya, Nor Farah Hanani, 5, yang tidur bersama dalam bilik itu lena dan tidak diapa-apakan oleh suspek.

”Salah seorang suspek menggeledah semua bilik di tingkat bawah manakala seorang lagi berkawal dalam bilik tidur,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi suspek naik ke tingkat atas dan mengejutkan anak kedua mangsa, Mohd. Fauzo Tajuddin, 20, dan mengikat tangannya.

Zulkifly juga dibawa ke tingkat atas untuk mengejutkan anak sulungnya, Nor Farah Nadiah, 21, dalam sebuah bilik yang berkunci dan pencuri merentap rantai serta gelang yang dipakainya.

Menurutnya, tiga lagi anaknya yang berumur antara 11 hingga 15 tahun yang tidur di sebuah lagi bilik tidak dapat dikejutkan kerana berkunci.

Dia sekeluarga kemudian dibawa ke sebuah bilik di belakang rumah itu dan dibiarkan kira-kira 15 minit sebelum keluar untuk menelefon rakan di sebuah pondok telefon berhampiran selepas yakin suspek telah beredar.

Menurut Zulkifly, suspek melarikan wang tunai kira-kira RM4,000, barang kemas bernilai RM4,000 dan tujuh telefon bimbit serta barangan lain yang kesemuanya berjumlah RM13,000.

Read Full Post »

wifi zoneSyukur, Alhamdulillah, kini Alam Akademik menyediakan kemudahan Wi-Fi kepada pelanggan kami yang amat dihargai.

.

We provide free Wi-Fi internet access to our valuable customers

Read Full Post »

BESUT (Sinar Harian)– Sepasang suami isteri yang bekerja sebagai guru mengalami kerugian kira-kira RM13,000 apabila barang kemas dan wang tunai milik mereka disamun tiga lelaki bersenjata tajam dalam kejadian pecah rumah di Pesiaran Limbongan, Jalan Pantai Bukit Keluang, awal pagi kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika mangsa, Zulkifly Yusof, 44; dan isterinya, Norkhairiah Abdullah, 46; bersama anak bongsu mereka, Nurfarah Hanani, 8; sedang berada dalam bilik tidur di tingkat bawah rumah dua tingkat itu sebelum dikejutkan salah seorang lelaki tidak dikenali bertindak mengacukan sebilah pisau pada muka Zulkifly.

Menurut Zulkifly, sebaik sedar dari tidur, dia mendapati lampu biliknya menyala dan dua lelaki yang bertutup muka mengarahkannya dan isteri diam serta meminta dia menunjukkan tempat barang berharga disimpan.

“Saya dan isteri diikat dengan wayar pengecas telefon bimbit manakala tiga lagi anak saya yang tidur di bilik tingkat atas rumah turut diikat termasuk anak kedua saya Mohd Faiz, 20, diikat dengan tali pinggang,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Beliau berkata, suspek dipercayai seramai tiga orang itu turut menggeledah bilik tidur di rumahnya sebelum bertindak melarikan diri setengah jam kemudian.

Menurutnya, salah seorang suspek terbabit yang membawa senjata tajam sentiasa mengawalnya manakala dua lagi rakan mereka menyelongkar setiap penjuru rumah.

“Mereka masuk ke dalam rumah saya melalui pintu depan rumah kerana pintu itu terbuka dan terdapat kesan umpil pada pintu jeriji,” katanya.

Ketika kejadian, kesemua enam anaknya berada dalam rumah.

Menurut beliau, anak sulungnya Norfarah Nadiah, 21, yang sedang cuti belajar turut diikat manakala rantai leher dan gelang tangannya direntap salah seorang suspek.

“Saya menurut sahaja kehendak mereka kerana bimbangkan keselamatan ahli keluarga memandangkan lelaki tersebut mem-punyai senjata. Antara ba-rang yang turut dicuri ialah tujuh unit telefon bimbit milik saya dan ahli keluarga lain termasuk wang tunai berjumlah RM4,000,” katanya yang mengalami masalah jantung.

Kata Zulkfily, suspek berbadan kecil, tegap dan dipercayai bukan rakyat Indonesia walaupun mereka cuba bertutur dialek Indonesia, berkemungkinan untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan polis telah melancarkan gerakan memburu suspek.

Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengetahui mengenai kejadian itu supaya tampil memaklumkan kepada pihak polis atau menghubungi menerusi talian 09-6956222.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian)Peniaga di premis Kompleks Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menggesa pihak bertanggungjawab membuat rondaan dan pemantauan lebih kerap pada waktu malam, kerana didapati terlalu banyak gejala tidak sihat terutama membabitkan remaja, berlaku di sini.

Peniaga, Sharif Mamat, 56, berkata, kompleks itu dijadikan lokasi tumpuan golongan remaja berkumpul pada waktu malam dan melakukan aktiviti tidak sihat yang amat memalukan.

“Saya berniaga di sini sehingga malam dan sentiasa melihat gelagat remaja ini yang tanpa segan silu menjalankan aktiviti tidak bermoral. Ramai dalam kalangan mereka terutama remaja Islam, menjadikan premis ini sebagai pusat minum arak pada waktu malam.

“Di sini juga dijadikan lokasi pengedar dadah menghantar bekalan dan penagih dadah melepaskan gian secara terbuka. Keadaan premis yang agak suram pada waktu malam menjadi faktor utama mereka melakukan aktiviti ini tanpa rasa takut.

“Selain itu, premis ini turut dijadikan tempat pasangan bercinta bermadu asmara. Peniaga di sini sentiasa terserempak dengan pasangan yang sedang melakukan aktiviti tidak bermoral di belakang tiang dan di tempat yang agak sunyi dan gelap,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Sharif, aktiviti yang tidak sihat ini jika tidak dibendung boleh menggugat keselamatan orang awam terutama mereka yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres pada waktu malam.

“Di sini juga sering berlaku kes jenayah yang melibatkan orang awam yang sedang menunggu bas seperti ragut dan juga peras ugut wang terutama membabitkan kaki penagih dan pemabuk.

“Jadi, saya mewakili peniaga dan orang ramai yang sentiasa berada di sini berharap pihak bertanggungjawab tidak memandang remeh masalah ini kerana ia melibatkan keselamatan orang awam.

“Pihak bertanggungjawab juga diharapkan dapat meletakkan senarai nombor telefon pihak Jabatan Agama Islam dan pegawai polis yang boleh dihubungi pada bila-bila masa, di setiap kawasan yang mudah dilihat supaya memudahkan kami membuat laporan dan aduan jika berlaku kejadian seperti ini,” katanya.

Read Full Post »