Feeds:
Posts
Comments

Archive for June 11th, 2009

KUALA TERENGGANU 10 Jun (Utusan Malaysia)- Seorang anggota komando yang sedang menjalani latihan penerjunan rutin, nyaris maut apabila terjatuh ketika melakukan pendaratan berhampiran kem Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Seberang Takir di sini semalam.

Mohd. Tarmzi Zainuddin, 25, dari Kem Sungai Udang, Melaka dikatakan gagal mendarat dengan baik ketika membuat latihan penerjunan setinggi kira-kira 8,000 kaki dari sebuah pesawat tentera kira-kira pukul 1 tengah hari.

Mangsa yang dikatakan patah tulang belakang dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk mendapat rawatan lanjut dan keadaannya adalah stabil.

Mohd. Tarmzi ketika ditemui di HSNZ berkata, dia tidak ingat apa-apa ketika kejadian itu berlaku dan apabila sedar sudah berada di hospital.

Menurutnya, payung terjun yang digunakannya gagal berfungsi dengan baik selepas talinya terbelit dan keadaan itu menyebabkan dia terhempas ke tanah.

Bagaimanapun, Mohd. Tarmzi enggan mengulas lanjut berhubung kejadian yang menimpanya.

Sementara itu, Pengurus Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Terengganu, Abu Bakar Ali berkata, pesawat tentera berkenaan menggunakan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) untuk berlepas ketika menjalani latihan penerjunan mulai pukul 8 pagi.

Beliau memberitahu, pesawat itu melakukan beberapa kali penerbangan dan kali terakhir ialah kira-kira pukul 1 tengah hari tetapi beliau tidak dimaklumkan tentang insiden yang berlaku.

Pengarah HSNZ, Dr. Mohd. Jusoh pula ketika dihubungi mengesahkan seorang anggota tentera dimasukkan ke hospital itu kira-kira pukul 3 petang kerana cedera ringan.

Advertisement

Read Full Post »


KLINIK Desa Binjai, Kemaman, sudah berusia 30 tahun.

Kerajaan negeri sudah sedia tapak untuk bina bangunan baru

CHUKAI: “Cukup daif dan boleh membahayakan keselamatan wanita dan kanak-kanak yang mendapatkan rawatan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar ketika membuat lawatan mengejut ke Klinik Desa Binjai yang beroperasi di bangunan kayu sejak 30 tahun lalu.

Katanya, klinik itu perlu diganti dan kerajaan sudah bersetuju menyediakan tapak bagi pembinaan klinik desa baru untuk kemudahan penduduk terutama wanita dan kanak-kanak mendapatkan rawatan.

“Kita sudah menyuarakan rungutan penduduk mengenai isu bangunan kayu yang semakin usang tetapi masih digunakan sebagai klinik desa pada mesyuarat tindakan daerah, Mac lalu,” katanya ketika ditemui selepas hampir dua jam meninjau persekitaran Klinik Desa Binjai, di sini semalam.

Turut menyertai lawatan mengejut itu ialah Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Negeri , Dr Anwa Sulaiman.

Wan Hakim yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, berkata berdasarkan perangkaan, lebih 30,000 penduduk terutama wanita mengandung dan selepas bersalin serta kanak-kanak mendapatkan rawatan di klinik berkenaan setahun.

SILING Klinik Desa Binjai kotor dan masih guna kipas lama.

Katanya, keadaan persekitaran dalam klinik itu juga tidak sesuai dan membahayakan kesihatan pesakit kerana dinding dan siling berhabuk serta masih masih menggunakan kipas siling yang usang.

“Kerajaan negeri sudah mengenal pasti tanah seluas 1.2 hektar di Kampung Binjai untuk memudahkan Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan untuk pembinaan klinik desa baru dan kita difahamkan klinik desa baru akan dibina dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Saya akan menggunakan peruntukan DUN (Dewan Undangan Negeri) untuk kerja-kerja menggantikan siling dan dinding yang reput, selain mengadakan gotong- royong mengecat bangunan serta pagar klinik berkenaan,” katanya.

Wan Abdul Hakim, berkata isu bangunan kayu yang semakin usang dan masih digunakan sebagai klinik desa pernah disuarakan kepada bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan dia pada dasarnya bersetuju meluluskan peruntukan untuk membaikpulih.

Read Full Post »

PERSEDIAAN dan kerja-kerja menenggelamkan bot nelayan dilakukan dengan teliti bagi memastikan bot dapat ditenggelamkan dengan selamat untuk dijadikan tukun di perairan Pulau Kapas, baru-baru ini. – utusan/Fauzi Baharudin


KUALA TERENGGANU 10 Jun – Usaha memulihara kehidupan laut daripada pupus telah lama dimulakan di negeri ini.

Salah satu cara yang dikenal pasti berkesan dalam mencapai tujuan itu ialah dengan menyediakan tukun tiruan untuk pembiakan terumbu karang.

Ini kerana terumbu karang bukan sahaja menjadi ‘tempat tinggal’ hidupan laut malah ia merupakan kawasan sumber makanan mereka.

Justeru, pelbagai pihak terutama pertubuhan pencinta alam membuat tukun tiruan dan menempatkannya di kawasan strategik untuk membantu pembiakan hidupan laut.

Agensi kerajaan turut memainkan peranan dengan menyediakan tukun tiruan melalui pelupusan kapal.

Pada pertengahan tahun ini, Maritim Malaysia melupuskan sebanyak 15 buah bot nelayan asing yang ditahan sejak tahun lepas kerana menangkap ikan secara haram di kawasan perairan negeri ini.

Pemangku Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Kuala Terengganu, Leftenan Maritim Khairulanuar Abd. Majid berkata, bot-bot berkenaan akan dilupuskan secara berperingkat dengan dijadikan sebagai tukun tiruan.

Katanya, dua daripada 15 buah bot berkenaan telah dilupuskan di 25 batu nautika dari Pulau Kapas

”Sebanyak 15 bot akan dilupuskan itu merupakan sebahagian daripada 21 buah bot yang ditahan sejak tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata, tidak semua bot dilupuskan dengan cara demikian kerana terdapat jenis bot tertentu akan dilelong.

”Kebanyakan bot yang akan dilelong merupakan bot seberat lebih daripada 70 tan.

”Bot-bot yang akan dilelong perlu diluluskan terlebih dahulu daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau memberitahu, pemilihan lokasi untuk pelupusan bot sebagai tukun tiruan akan ditentukan oleh Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut.

”Lokasi atau kawasan yang dipilih untuk dilupuskan kapal berkenaan perlu mempunyai kedalaman 30 meter.

”Sebagai contoh, di Terengganu antara lokasi yang dipilih ialah kawasan berdekatan Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah dan Pulau Kapas,” katanya.

Beliau menambah, lokasi yang dipilih akan ditandakan dengan boya dan bendera berwarna merah.

”Bot-bot yang dilupuskan akan diisi dengan guni-guni pasir.

”Lubang-lubang akan ditebuk di bahagian bawah hadapan bot untuk menenggelamkannya,” ujarnya.

Beliau memberitahu, proses menenggelamkan bot itu selalunya memakan masa antara 20 hingga 60 minit.

Dalam pada itu, Khairulanuar berkata, berdasarkan maklum balas Jabatan Perikanan dan para nelayan, penggunaan tukun tiruan dari rampasan bot itu mendatangkan hasil yang diinginkan.

”Para nelayan menyatakan hasil tangkapan mereka banyak apabila menangkap ikan di tempat tukun tiruan berkenaan.

”Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut pula yang membuat kajian ke atas pelupusan bot ini juga memaklumkan bahawa pelbagai hidupan laut menjadikan tukun tiruan dari bot-bot berkenaan sebagai rumah mereka,” ujarnya.

Katanya, hidupan laut seperti ikan didapati akan mula mendiami tukun tiruan tersebut selepas enam bulan ia ditenggelamkan.

”Ikan pada mulanya takut untuk mendekati tukun tiruan itu namun ia makin lama semakin mendekatinya.

”Apabila tukun itu ditumbuhi lumut yang merupakan makanan ikan, hidupan laut itu sudah tentu menjadikan tempat itu sebagai kediaman mereka,” katanya.

Read Full Post »