Feeds:
Posts
Comments

Archive for June 18th, 2009

zuraKetika pulang dari bekerja semalam sekitar jam 6.30 ptg, 17 Jun, Cik Norafarzura binti Khalid (Zura), salah seorang kakitangan kami diragut sekitar beberapa meter dari rumahnya di Kuala Ibai.

Zura yang menunggang motorsikal jatuh apabila peragut cuba menarik beg tangannya yang diletakkan di dalam bakul depan. Zura mengalami kecederaan di bahu, lengan, tangan dan kaki dan diberi cuti sakit. Walau bagaimanapun peragut gagal menarik beg tersebut kerana talinya terputus.

Pengurusan dan seluruh kakitangan mendoakan agar Zura cepat sembuh.

Advertisement

Read Full Post »

FERI yang siap dibina dimuatkan di atas treler untuk dihantar ke Tasik Kenyir bagi kegunaan program ‘Island Hoping’ di limbungan kapal Kaymarine, Bukit Tumbuh, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 17 Jun (Utusan Malaysia)- Para pengunjung Tasik Kenyir, Hulu Terengganu tidak lama lagi akan dapat menikmati keindahan tasik buatan manusia itu dengan menaiki feri.

Feri berkenaan yang dijangka beroperasi dalam tempoh terdekat merupakan sebahagian daripada program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dikenali sebagai ‘Island Hopping’.

Dalam program itu, feri tersebut akan berfungsi sebagai pengangkutan untuk membawa pengunjung ke 10 pulau berkonsepkan taman tema di Tasik Kenyir.

Pengerusi syarikat pembuat kapal tempatan, Kaymarine Sdn. Bhd., Datuk W. Md. Albakri Md. Noor berkata, feri jenis ponton berkenaan dibina menggunakan konsep terbuka di mana penumpang boleh melihat keluar dan menyaksikan pemandangan alam sekitar.

”Pembinaan feri ini juga menggunakan reka bentuk yang dihasilkan oleh syarikat ini sendiri.

”Ia direka seperti sebuah bas dengan pemandunya berada di hadapan feri,” katanya.

Beliau berkata, feri tersebut terdiri daripada dua bahagian iaitu atas dan bawah.

Katanya, bahagian bawah menempatkan tempat duduk untuk 52 orang manakala sembilan orang boleh berada di bahagian atas.

”Bahagian atas ini akan membenarkan penumpang untuk menyaksikan pemandangan Tasik Kenyir,” ujarnya.

Beliau berkata, feri dibina sedemikian di atas permintaan kerajaan negeri yang mahu feri itu menampung kedatangan penumpang sebuah bas pada satu-satu masa.

Beliau menambah, enjin feri dengan kelajuan 15 knot pula akan ditempatkan di luar kerangka feri.

”Enjin yang digunakan mesra alam kerana ia menggunakan minyak petrol dan bukannya diesel selain ia tidak membuang minyak digunakan ke dalam air,” jelasnya.

Tambahnya, jenis enjin yang digunakan oleh feri berkenaan amat bersesuaian untuk membawa penumpang dari pulau ke pulau di Tasik Kenyir tersebut.

”Kelajuan 15 knot tidak laju dan tidak pula perlahan dalam membawa penumpang kerana ia akan memberi peluang untuk penumpangnya menikmati keindahan di Tasik Kenyir dari atas feri,” ujarnya.

Beliau menjangka menyerahkan dua feri jenis ponton untuk kegunaan program ‘Island Hopping’ di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada Khamis ini.

”Kita akan menyerahkan dua buah feri ini kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang akan bertindak sebagai penyelaras operasi program Island Hopping itu,” katanya.

W. Md. Albakri berkata, feri sepanjang 14 meter itu yang mula dibina pada awal tahun ini, telah siap dibina dalam tempoh enam bulan.

Katanya, kos pembinaan dua buah feri tersebut menelan belanja sebanyak RM1.8 juta.

Beliau menambah, ketika ini pihaknya sedang menguji bot tersebut di Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir.

”Antara yang akan diuji ialah kelajuannya sama ada ia mampu mencapai 15 knots dengan membawa muatan penuh,” ujarnya.

********************************************

Berita sebelum ini:


Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 17 Jun (Utusan Malaysia)- Syarikat pembuat kapal tempatan, Kaymarine Sdn. Bhd. kini dikenali di peringkat antarabangsa selepas menerima permintaan membina pelbagai jenis kapal daripada syarikat asing.

Pengarah Urusan syarikat itu, Khamarudin Mansor berkata, pihaknya kini dalam proses membina sebuah kapal untuk sebuah syarikat dari New Zealand.

Katanya, kapal untuk industri minyak dan gas bernilai RM27 juta itu mula dibina tiga bulan lalu.

”Pembinaan kapal sepanjang 48 meter itu dijangka disiapkan awal tahun depan.

”Syarikat Seawork Ltd. New Zealand merupakan syarikat asing ketiga yang membuat tempahan dengan kami selepas syarikat membuka perniagaan di peringkat antarabangsa enam tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, apabila kapal itu disiapkan, ia akan digunakan di pelantar minyak di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu (UAE).

”Penggunaan kapal ini di negara itu juga dijangka menarik perhatian syarikat asing untuk menempah kapal dengan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, syarikat itu juga kini membina sebuah kapal jenis catamaran untuk syarikat tempatan, Penang Port.

”Kapal sepanjang 13 meter itu dan bernilai RM1.8 juta itu dijangka disiapkan dan diserah dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 17 Jun Utusan Malaysia) – Lembaga Muzium Negeri Terengganu akan menganjurkan pertandingan melukis Citra Terengganu 2009 selama tiga hari mulai 4 Julai ini.citraterengganu

Penolong Pengarah (Sumber Alam dan Ekonomi) Lembaga itu, Fairuz Karim, berkata pertandingan terbuka kepada orang ramai dari seluruh negara dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu spontan dan siap.

Bagi kategori spontan, pelukis perlu menyiapkan lukisan mereka dalam pertandingan yang diadakan di kompleks muzium berkenaan, dengan tajuknya berkisar kepada warisan semula jadi dan budaya negeri Terengganu.

“Bagi kategori siap pula, peserta perlu melukis satu gambaran yang mempunyai kaitan dengan peristiwa penting dan bersejarah negeri Terengganu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Fairuz berkata, mereka yang berminat boleh mendapatkan borang dengan melayari laman web museum.terengganu.gov.my.

Katanya, pertandingan itu diadakan bagi menzahir dan mengetengahkan warisan semula jadi, budaya Terengganu serta peristiwa penting dan bersejarah yang berlaku di Terengganu.

Pemenang bagi kategori siap akan menerima hadiah berupa wang tunai RM10,000, kedua (RM7,000) dan ketiga (RM5,000), serta lapan hadiah saguhati dengan setiap satu bernilai RM1,000 disediakan.

Bagi kategori spontan pula, tempat pertama akan menerima RM5,000, kedua (RM3,000) dan ketiga (RM2,000), dengan 10 hadiah saguhati bernilai RM500 setiap satu turut disediakan. – BERNAMA

Read Full Post »