Feeds:
Posts
Comments

Archive for June 29th, 2009

sebahagian Kerja-kerja menenun songket giat dilakukan di Yayasan Tuanku Nur Zahirah di Kawasan Perindustrian Cendering, Kuala Terengganu. – utusan/Azlan Bahru


KUALA TERENGGANU 28 Jun (Utusan Malaysia)- Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) akan terus menjalankan pelbagai aktiviti secara berterusan dalam usahanya memastikan industri songket di negeri ini dipertahan sejajar dengan kedudukannya sebagai seni warisan agung sepanjang zaman.

Antara langkah diperkenalkan ialah membantu golongan terbabit khususnya ibu tunggal dalam usaha meningkatkan pendapatan dan kehidupan.

Yayasan juga bersedia menjual produk yang dihasilkan bagi membolehkan ia berada di pasaran.

Pengurus Besar YTNZ, Tengku Ahmad Shabirin Awaludin berkata, pihaknya mengesan 2,000 penenun songket yang bertaburan di sekitar negeri ini setakat ini.

Katanya, buat permulaan 20 penenun ibu tunggal akan dibantu di bawah program khidmat masyarakat di Jalan Pasir Panjang di sini esok.

“Peruntukan RM40,000 disediakan untuk program ini dan ia akan ditambah jika ada peruntukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tengku Ahmad Shabirin berkata, selain program pembangunan, pihaknya giat memperkenalkan pelbagai reka bentuk songket sejajar dengan hasrat mengangkat martabat seni warisan agung zaman berzaman.

Katanya, pelbagai jenis rekaan kontemporari yang diperkenalkan sesuai dengan selera terkini selain terus mengekalkan keaslian serta keindahan corak dan tenunannya.

YTNZ yang beralamat di Lot D4-D6, Kompleks Kilang SME Bank Bhd, Kawasan Perindustrian Chendering di sini, mula beroperasi di Terengganu sejak Mei tahun lepas.

Pusat tersebut bukan saja berfungsi sebagai pusat latihan tenunan songket malah turut mengenal pasti bidang baru yang boleh diteroka oleh industri songket.

Tengku Ahmad Shabirin menambah, yayasan tidak semata-mata memfokuskan penghasilan songket untuk kain samping dan busana pengantin sebaliknya ia menghasilkan songket kontemporari untuk keperluan pereka fesyen dan penghasilan selendang bahu.

Katanya, songket yang dihasilkan yayasan itu juga adalah untuk pembuatan hiasan rumah dan kraf tangan.

“Setakat ini, tempahan cenderamata daripada songket yang kita pernah terima adalah daripada syarikat-syarikat korporat, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Istana Negara,” katanya.

Setiap corak yang dihasilkan adalah eksklusif yang direka oleh dua pereka tetap, tiga pereka sambilan dan dua pereka dari Sarawak dengan 25 hingga 30 rekaan dihasilkan sebulan.

Apa yang dilakukan oleh YTNZ ialah memberi pendedahan kepada masyarakat tentang nilai artistik songket supaya industri ini dapat diperkembangkan.

YTNZ berupaya menghasilkan 20 hingga 26 helai selendang songket dalam tempoh sebulan setengah bergantung kepada corak dan bahan yang digunakan.

YTNZ juga membekalkan selendang songket sempena promosi kraf tangan Malaysia di gedung ternama Harrods di London dan bagi projek seterusnya yayasan sedang berusaha meneroka pasaran Asia Barat dalam segmen busana muslimah.

Pada masa ini, terdapat 40 pelatih menerima latihan di YTNZ dan mereka didedahkan dengan kemahiran menenun songket dari peringkat pratenunan hingga peringkat akhir menenun.

Antara proses yang diajar ialah menerai, mengarak dan menyampak selama tiga bulan pertama sebelum disambung lagi tiga bulan sehingga pelatih mahir menenun songket.

Apabila sudah mahir, mereka dikekalkan sementara waktu di yayasan itu sebagai tenaga pengajar sebelum diberi pilihan untuk kekal atau menjadi usahawan songket.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 28 Jun (Utusan Malaysia)- Benarkah songket warisan agung Terengganu berasal dari Palembang?

Persoalan ini diutarakan kerana berdasarkan konsep dan reka corak songket Terengganu tradisional ia dikatakan mempunyai persamaan dengan songket dari kawasan terbabit.

Kenyataan itu mungkin ada kebenarannya kerana dari segi sejarah, Terengganu dan Kelantan adalah sebahagian jajahan kerajaan Sriwijaya yang bertapak di Palembang.

Bermula pada abad kesembilan kerajaan ini telah merebak ke Langkasuka (kerajaan terawal di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang).

Berdasarkan kenyataan beberapa pengkaji di Palembang, bentuk-bentuk tenunan yang dihasilkan mempunyai kesan pengaruh dari China iaitu dengan menggunakan bahan asas dari sutera dan labuci (untuk tekat).

Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah berkata, tenunan di negeri ini berasal dari beberapa kawasan termasuk Lampung atau Palembang, Indonesia.

Katanya, ini disebabkan perkembangan tenunan di Malaysia dipercayai berkaitan dengan pendatang yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang-pedagang.

Katanya, pendatang dari Jawa, Kepulauan Maluku, Borneo dan Bugis telah mengenalkan beberapa jenis kain tenunan.

“Beberapa corak tenunan yang dihasilkan di Terengganu dan di Kelantan misalnya diberi nama seperti tempat asal pedagang-pedagang tersebut.

“Dengan ini terdapat tenunan corak Samarenda (Borneo Timur), corak Bugis dan corak Palembang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Hasil tinjauan rambang Utusan Malaysia mendapati songket di Terengganu diusahakan di beberapa kawasan khususnya sekitar Kuala Terengganu.

Kawasan yang terlibat terutamanya di Mukim Losong, iaitu Kampung Losong, Panglima Perang, Kampung Losong Datuk Amar, Kampung Losong Sekolah dan Kampung Losong Masjid.

Terdapat juga di Mukim Cabang Tiga iaitu Kampung Hilir, Kampung Tok Nasek dan Kampung Pasir Panjang.

Perusahaan tenunan juga terdapat di kawasan berhampiran pantai misalnya di Kampung Banggol, Kuala Ibai dan Cendering.

Seterusnya, beberapa perusahaan ini terdapat di beberapa kampung yang berhampiran jalan menuju ke Kota Bharu misalnya Kampung Pulau Rusa dan Kampung Paloh.

Terdapat juga pengusaha tenunan di beberapa daerah di negeri selatan Semenanjung iaitu Johor (Johor Baharu, Muar dan Kulai) dan utara seperti Perlis dan Kedah.

Di samping itu terdapat juga tenunan yang dihasilkan oleh beberapa istana misalnya di Klang (Istana Selangor dan Pekan Istana Pahang).

Mengenai bahan asas dan proses pembuatan songket, Mohd. Yusof berkata, benang ialah bahan asas yang digunakan untuk membuat tenunan iaitu benang kapas, sutera, benang emas dan benang perak.

Katanya, benang emas dan perak ialah bahan asli yang tidak perlu dicelup warna.

“Ia mengandungi warna asal iaitu warna kuning dari benang emas dan warna putih kilat dari benang perak. Benang kapas dan sutera mentah berwarna putih kekuningan.

“Pada awalnya, kain songket hanya ditenun daripada benang sutera halus dan benang emas.

“Apabila ia mula dipakai oleh rakyat biasa, maka ditenun pula songket kapas agar mampu dibeli oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Selain warna asli, benang-benang mentah untuk tenunan perlu diwarnakan.

Bagaimanapun terdapat juga benang-benang yang telah dicelup biru, merah dan hitam.

Penenun-penenun lebih menggemari mencelup sendiri dengan warna-warna kesukaan Melayu iaitu merah buah kesumba dan biji celagi (asam jawa).

Warna lain ialah merah tua cerah dari getah pohon mala yang dicampuri dengan kapur dan kunyit; merah telur dari batang sepang campur kapur.

Bahan-bahan tersebut merupakan bahan pencelup yang digunakan sebelum pencelup luar dari China dan Jepun dibawa masuk.

Bahan pencelup yang dibawa dari luar berbentuk serbuk dan hablur, dengan tiga warna asas iaitu kuning, biru dan merah.

Hablur atau serbuk pencelup dihancurkan dengan air panas.

Sukatan serbuk pencelup umum ialah satu cawan (serbuk) dihancurkan dengan satu gantang air. Satu campuran dapat mencelup benang yang boleh menghasilkan 80 helai.

Gumpalan benang dicelup dan direndam selama setengah jam untuk warna-warna sederhana dan satu hari untuk warna-warna tua atau pekat.

Kemudian benang dijemur hingga kering sekurang-kurangnya selama dua hingga tiga jam kalau cuaca panas.

Sukatan hablur atau serbuk pencelup serta lamanya ia direndam dapat menentukan cerah atau gelapnya warna.

Penenun-penenun juga menggunakan garam atau asam jawa atau kepingan asam gelugur sebagai asid untuk mengelakkan benang dari luntur.

Campuran dari dua warna akan menerbitkan warna-warna tertentu.

Terdapat ciri-ciri penting warna yang menjadi kegemaran penenun dan masyarakat Melayu iaitu dengan membuat atau meniru warna-warna alam.

Benang-benang yang dicelup dibahagi kepada dua ‘hue’ atau cahaya iaitu cahaya tua dan cahaya muda.

Mengenai motif songket, Mohd. Yusof berkata, bentuknya dibuat dengan menggunakan benang emas yang diisikan ke dalam cuban.

Katanya, proses pelancaran cuban disebut sebagai menyulam atau menekat benang emas.

Setelah songketan lidi dibuat, benang-benang songketan diikat dan lidi-lidi ini kemudiannya dikeluarkan dari celah-celah benang.

Mengenai motif dan corak songket Terengganu, Mohd. Yusof berkata, ia dihasilkan bergantung kesesuaian dan jenis songket.

Katanya, ia merupakan kombinasi perhiasan di bahagian tengah atau badan songket tradisional dan kebanyakan corak-corak ini dipengaruhi oleh suasana atau keadaan sekeliling di mana penenun-penenun bekerja.

Kesemua bentuk motif dilahirkan dalam bentuk geometri disebabkan oleh cara menenun itu sendiri.

Tumbuhan dan binatang merupakan unsur alam yang penting.

Benda-benda yang digunakan seharian juga dijadikan ilham tukang-tukang Melayu yang dikenali sebagai alam benda.

Di samping itu digunakan juga bentuk dari motif geometri asli.

Motif tumbuhan yang dimaksudkan sebagai motif penting songket meliputi bentuk-bentuk bunga, daun atau pucuk dan bahagian buah yang disebut sebagai tampuk.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Menyedari potensi Terengganu untuk menjadi pengeluar madu lebah utama dalam negara, kerajaan negeri merancang membina Santuari Lebah tidak lama lagi bagi meningkatkan jumlah keluaran pada masa depan untuk memenuhi pasaran dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Rozi Mamat, berkata dengan purata jumlah pengeluaran madu lebah lebih tujuh tan setahun daripada pengusaha di negeri ini, kerajaan negeri mahu mengkomersialkan secara lebih meluas manisan itu yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Tanpa mahu mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini, kerajaan negeri sudah di peringkat akhir cadangan pembinaan Santuari Lebah di kawasan hutan gelang (hutan paya bakau) yang sudah dikenal pasti dan pelancarannya akan diadakan tidak lama lagi.

“Terengganu berpotensi besar sebagai negeri pengeluar madu lebah, malah permintaan pasaran madu lebah juga tinggi kerana khasiatnya yang pelbagai sebagai manisan dan boleh dijadikan ubatan.

“Kita tahu bahawa lebah ini suka hutan gelang dan mudah membiak di sini. Jadi, kita akan buka Santuari Lebah di kawasan hutan gelang dan membiakkannya secara lebih serius.

“Kita akan biarkan lebah di hutan ini hidup liar dan mewartakan kawasan hutan ini supaya tidak diceroboh oleh mana-mana pihak,” katanya selepas merasmikan Ekspo Industri Asas Tani (IAT) Terengganu 2009 di Dataran Shahbandar, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri, Hasan Jusoh dan Pengarah IAT Ibu Pejabat Fama, Alwi Anang.

Seramai 125 usahawan IAT yang mengeluarkan sebanyak 10 jenis produk antaranya kerepek, produk sejuk beku, herba, nurseri, makanan tradisional, sos, bakeri, minuman dan jeruk menyertai ekspo berlangsung sejak Jumaat lalu.

Read Full Post »

MARANG 28 Jun (Utusan Malaysia)- Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (Tesdec) di sini kini melancarkan pelan pembangunan 10 tahun dalam usaha mencapai taraf sebagai sebuah kolej universiti.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, ketika ini, pembangunan kolej itu di tahap fasa kedua yang menyaksikan pembinaan bangunan baru untuk penambahan bilik pembelajaran.

Menurut beliau, fasa ketiga dijangka dimulakan pada akhir tahun ini selepas kolej itu menerima peruntukan berjumlah RM15 juta daripada kerajaan negeri.

Katanya, pembangunan fasa ketiga melibatkan pembinaan bengkel-bengkel dan asrama.

“Pelan pembangunan kolej ini adalah mengikut konsep taman industri yang mana pelbagai kursus berbentuk kemahiran dan skil akan diperkenalkan.

“Ini usaha mengantarabangsakan kolej ini selain mengikis persepsi masyarakat bahawa Kolej Tesdec adalah pilihan terakhir untuk melanjutkan pelajaran selepas gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi lain,” katanya ketika ditemui selepas melawat Kolej Tesdec.

Beliau berkata, buat permulaan, Kolej Tesdec akan memperkenalkan program diploma pertama iaitu Diploma Teknologi Kejuruteraan (Penyelenggaraan Automotif) yang ditawarkan dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Pengambilan sesi pertama iaitu seramai 50 pelajar akan bermula pada 12 Julai ini.

“Pengambilan pelajar untuk kursus yang memakan masa selama tiga tahun itu dilakukan sebanyak dua kali setahun,” ujarnya.

Beliau menambah, Kolej Tesdec juga menawarkan program persijilan dalam bidang kimpalan dan teknologi sambungan bahan serta kejuruteraan lain pada masa akan datang.

“Kita telah memeterai MoU (memorandum persefahaman) dengan The Welding Institute, United Kingdom untuk menawarkan sijil bertaraf antarabangsa itu.

“Kita juga akan memberikan perkhidmatan berasaskan kejuruteraan dalam sektor minyak dan gas melalui MoU itu,” jelasnya,

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 28 Jun (Utusan Malaysia) – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengutip zakat sebanyak RM18.3 juta daripada penduduk dan agensi perniagaan di negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Senara Muda Datuk Mazlan Hashim berkata, kutipan zakat tersebut berkurangan sebanyak RM27,265 berbanding kutipan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

”Penurunan kutipan zakat ini mungkin berlaku ekoran kemelesetan ekonomi,” katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu di sini hari ini.

Naib Presiden (Pembahagian) TNB, Azman Mohd. menyampaikan cek berjumlah RM1,313,452.98 kepada Mazlan dalam majlis tersebut.

Mazlan berkata, Maidam berjaya mengutip sebanyak RM66.2 juta pelbagai jenis zakat pada tahun lepas.

”Sebanyak RM35,808,578.88 telah diagihkan kepada asnaf-asnaf yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, Terengganu merupakan negeri ke-12 menerima zakat perniagaan yang dijelaskan oleh TNB bagi tahun kewangan 2007/2008.

”Penyerahan zakat perniagaan kepada Terengganu itu merupakan sebahagian daripada RM13,431,888 zakat perniagaan TNB,” ujarnya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Selepas memperoleh kemenangan dua kali berturut-turut di tempat sendiri, pasukan T-Team terus mencipta kecemerlangan di tempat lawan dengan membenam pasukan Johor, 1-0, pada saingan Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Johor.

Gol tunggal pasukan T-Team dijaringkan pemain muda, Asrul Hasran pada minit ke-43.

Perlawanan babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun kemenangan memihak kepada T-Team berikutan kelicikan Asrul yang bijak menggunakan peluang di depan mata untuk menjaringkan gol.

Jurulatih pasukan, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor berkata, kemenangan berturut-turut yang diraih anak buahnya itu membangkitkan semangat pemain.

“Mereka kini semakin yakin berdepan pasukan lawan walaupun bukan beraksi di laman sendiri.

“Saya lihat pemain juga menunjukkan keyakinan tinggi dalam setiap perlawanan, justeru, saya harap pemain dapat mengekalkan corak permainan seperti ini bagi memastikan T-team terus mengekalkan kedudukan ini, sekali gus layak beraksi pada saingan Liga Super tahun depan,” katanya.

Menurut Che Ku Marzuki, pasukannya akan berdepan Sarawak di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, di sini, esok.

“Semua pemain harus beraksi bersungguh-sungguh supaya terus berada di tangga kedua dan pada masa sama mencari mata untuk berada di tangga pertama liga.

“Jika pasukan kami terus menang pada perlawanan akan datang, peluang T-Team sememangnya cerah,” katanya.

Menurut Che Ku Marzuki, walaupun jarak perlawanan akan datang terlalu singkat tetapi itu bukan halangan buat pasukannya mencipta kejayaan kerana apa yang penting adalah semangat juang tinggi.

Read Full Post »