Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Abdul Ghani Harun, berkata rampasan itu dibuat kerana syarikat berkenaan iaitu Takashimaya Marketing Sdn Bhd melanggar Akta Jualan Langsung 1993 kerana mengutip deposit daripada orang ramai dan menjalankan kegiatan pada cuti umum.
Abdul Ghani bersama lapan pegawai membuat pemeriksaan di premis terbabit turut merampas lima unit komputer yang mempunyai senarai nama pembeli alat berkenaan.
“Syarikat itu melakukan kesalahan dan aktiviti yang bertentangan dengan Seksyen 25 (4) Akta Jualan Langsung 1993 dan juga Peraturan 10 seksyen yang sama kerana pekerja syarikat itu menjalankan kerja pada cuti umum,” katanya.
Abdul Ghani berkata, berdasarkan rekod KPDNHEP, syarikat terbabit sudah dua kali melakukan kesalahan dan boleh dikenakan denda RM250,000 atau denda tiga tahun penjara.
Katanya, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai sejak seminggu lalu berhubung kegiatan yang dijalankan syarikat terbabit.
Beliau berkata, pihaknya mendapat waran daripada mahkamah untuk melakukan pemeriksaan di syarikat itu dan merampas barangan mereka.
Abdul Ghani berkata, syarikat itu beroperasi sejak tahun 2006 dan berdasarkan rekod jualan syarikat berkenaan yang mencecah RM200,000 sebulan.
Abdul Ghani berkata, syarikat terbabit juga didakwa mengenakan kadar faedah sebanyak RM25 sehari kepada pelanggan yang lewat membayar ansuran bulanan mengikut tarikh yang ditetapkan tanpa kebenaran dan bertindak seperti ceti haram yang mengenakan kadar faedah yang tinggi.