KUALA TERENGGANU, 25 Jun (Bernama) — Taman Tema Bahasa Inggeris (ETP) yang dibina dengan peruntukan RM350,000 adalah satu pelaburan terbaik dalam melaksanakan program pembinaan modal insan untuk masa depan penduduk Terengganu.
Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata pembinaan ETP dengan kerjasama ExxonMobil merupakan landasan penting kepada generasi muda Terengganu membina diri, berkomunikasi, berkomuniti dan berinovasi dalam menangani isu penguasaan Bahasa Inggeris.
“Kerajaan negeri berkeyakinan pendekatan dan kemudahan yang disediakan oleh ETP dapat merangsang dan meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris di samping memperkukuhkan tahap penggunaannya di peringkat pelajar luar bandar yang penguasaannya masih sederhana,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika merasmikan ETP Kuala Terengganu di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tok Jiring di sini hari ini.
Beliau yakin penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah dapat dipertingkatkan dengan pelbagai aktiviti di ETP tersebut seperti Klinik Bahasa Inggeris, Bercerita, Kelas Drama, Online Pen pal, Art Attack, Book Talk, Klinik IT selain pembangunan dan infrasruktur Bahasa Inggeris yang diwujudkan melalui projek Terowong ETP, ETP Mini Zoo, ETP Kiosk, ETP Bistro dan ETP Memory Lane.
Ketika berucap sebelum itu, Pengurus Perhubungan Awam ExxonMobil Farid Jaafar berkata ETP Tok Jiring merupakan kemudahan kedua dibina dengan peruntukan ExxonMobil selepas ETP di Kemasik, Kemaman pada tahun 2003 yang menelan belanja RM350,000.
Katanya ETP Tok Jiring dijangka memberi kemudahan pembelajaran Bahasa Inggeris kepada lebih 50,000 pelajar dari 59 buah sekolah rendah di sekitar Kuala Terengganu.
Pembinaan ETP kedua itu dilakukan berikutan sambutan baik daripada kalangan pelajar selepas ETP Kemasik memulakan operasi yang digunakan oleh lebih 5,000 pelajar.
— BERNAMA