Feeds:
Posts
Comments

Archive for June 24th, 2009

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian)– Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ahli politik boleh diumpamakan sebagai ‘tong sampah’ kerana segala keburukan dan perasaan tidak puas hati rakyat akan terus dilemparkan kepada golongan berkenaan.

Menurut Ahmad, kegagalan seseorang individu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik akan menimbulkan kemarahan rakyat dan kesannya, rakyat melunaskan rasa dendam mereka apabila menjelangnya pilihan raya kecil atau umum.

Beliau berkata, walau apa juga perlakuan atau pendekatan yang diambil terhadap sesuatu perkara, hati dan perasaan rakyat harus dijaga dengan sebaik mungkin tanpa memikirkan diri sendiri kerana ia penting dalam mengekalkan sokongan.

“Walau apa juga tindakan kita, hati dan perasaan rakyat penting serta harus dijaga sebab mereka berada di kedudukan depan seiring dengan matlamat merakyatkan pembangunan.

“Orang politik ini macam tong sampah, kegagalan pegawai kerajaan akan menimbulkan kemarahan rakyat dan mereka akan balas dendam di peti undi, mereka tidak menyatakan kemarahan itu tapi tunjuk pada pilihan raya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Pegawai Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu bersama Menteri Besar di Wisma Darul Iman, semalam.

Ahmad menyifatkan segala kelemahan yang ditunjukkan oleh orang bawahan terutama dalam menguruskan hal-hal berkaitan masyarakat akan terpalit kepada kerajaan.

Sehubungan itu beliau meminta semua Pegawai Agensi Pembangunan Masyarakat negeri ini menunaikan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin agar mampu memberi khidmat sempurna kepada rakyat.

“Kita memang macam tong sampah, setiap yang tidak disukai rakyat akan dilemparkan kepada ahli politik dan oleh itu kita jangan bersikap sombong dan angkuh, harus sedar diri dalam berkhidmat kepada rakyat.

“Tidak ada gunanya kita laksanakan pelbagai projek pembangunan tapi rakyat tidak dapat sebarang faedah kerana akhirnya kita (Barisan Nasional (BN) akan ditolak,” katanya.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian)- Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu berjaya merampas barang-barang belum lulus kastam bernilai RM377,245.20 melibatkan pengelakan duti dan cukai sebanyak RM923,862.24 dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2009.

Pengarah Kastam Negeri Terengganu, Datuk Azis Yacub berkata, barang pa-ling banyak adalah rokok iaitu 677,555 batang bernilai RM141,717.40, diikuti 12 buah kenderaan bernilai RM227,700, telefon bimbit berjumlah 35 unit bernilai RM3,040, minuman keras sebanyak 374 liter bernilai RM4,288.80 dan beras sebanyak 499 kilogram bernilai RM499, dengan nilai keseluruhan sebanyak RM377,245.20.

Menurut Azis, pada 11 Jun lalu, KDRM Terengganu berjaya menyita 3,460 karton (476,800 batang) rokok keretek seludup bernilai RM52,900.00 dan sebuah lori di Ladang Kelapa Sawit Felda Jerangau, KM 60 Jalan Kuala Terengganu-Jerangau, Dungun.

Serbuan dibuat bahagian penguatkuasaan pada jam 3.30 petang hasil maklumat orang awam sekali gus menggagalkan usaha pihak terbabit yang cuba mengelak daripada membayar duti dan cukai sejumlah RM224,022.80.

“Bagaimanapun, pemandu lori yang menyedari kehadiran pasukan Kastam, sempat melarikan diri dan pihak kami sedang mengesan pemilik lori bagi membantu siasatan.

“Pada 1 Jun, Kastam berjaya menyita kereta jenis Toyota Estima bernilai RM103,762.50 di Taman Sri Delima, Kuala Lumpur. Dalam serbuan dianggotai empat pegawai dan seorang lelaki berjaya ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati kereta tersebut diseludup dan didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan borang kastam dan permit import (AP) palsu,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Majlis Pelancaran Operasi Outlet Bersepadu LC/PAKAT bil.1/2009 di Anjung Bestari KDRM Kuala Terengganu.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Yayasan Terengganu (YT) menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membiayai biasiswa kecil untuk pelajar Tingkatan Enam yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

Pengarah YT, Mohd Kamaru Al-Amin Ismail, berkata seramai 3,000 pelajar yang mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan ditawarkan tempat melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam tahun ini turut layak menerima biasiswa kecil itu.

Katanya, jumlah peruntukan disediakan YT untuk biasiswa kecil tahun ini meningkat sebanyak RM400,000 berbanding RM2.6 juta tahun lalu membabitkan seramai 26,000 pelajar.

“Bagaimanapun, biasiswa kecil itu hanya akan diberikan kepada pelajar yang layak ke Tingkatan Enam Atas dan pemilihan pelajar diuruskan pihak sekolah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kembara Pendidikan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) di sini, kelmarin.

Seramai 32 ahli Sekretariat Permata menyertai program yang bertujuan memperkasakan pendidikan anak negeri ini di peringkat pendidikan menengah selain meningkatkan pelajar dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Mohd Kamaru berkata, setiap pelajar akan menerima biasiswa kecil berjumlah RM1,000 seorang dan wang itu cukup untuk menampung mereka menyediakan pelbagai peralatan pembelajaran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata YT juga peruntukan sebanyak RM60,000 kepada Permata yang ditubuhkan di 22 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan dua institut perguruan di negeri ini.

Katanya, setiap Permata akan menerima peruntukan sebanyak RM25,000 bagi memudahkan persatuan itu melaksanakan pelbagai aktiviti terutama membabitkan anak negeri ini yang menerima bantuan kewangan YT.

“Permata yang ditubuhkan di setiap IPTA akan dijadikan sebagai jambatan bagi membolehkan anak negeri ini menganjurkan aktiviti,” katanya.

Read Full Post »

‘Bio-rock’ diletakkan di perairan Rantau Abang tahun ini

DUNGUN (Berita Harian): Dua tukun tiruan berbentuk penyu belimbing yang dibangunkan menggunakan teknologi Jerman akan diletakkan di perairan pantai Rantau Abang, dekat sini bagi menggalakkan pembiakan terumbu karang dan menjadikan semula kawasan itu sebagai lokasi pendaratan penyu terkemuka negara.

Tukun tiruan yang dikenali sebagai sebagai `bio-rock’ turut menggunakan menggunakan aliran elektrik rendah dan diyakini mampu membiakkan terumbu karang dalam masa yang singkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata tukun itu yang pertama dibangunkan di negara ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mengembalikan semula kehebatan Rantau Abang sebagai destinasi utama penyu belimbing mendarat dan bertelur di negara ini.

“Reka bentuk tukun itu akan dibina dan dibangunkan Bioreef Teknologi (M) Sdn Bhd yang berpangkalan di Sungai Buluh, Selangor dan akan diletakkan di perairan pantai Rantau Abang secara berperingkat akhir tahun ini,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Program Bersih Tiga Tukun di pantai Rantau Abang di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengurus Besar, Majlis Tindakan Pelancongan negeri, Ahmad Fathil Abdul Ghani.

Za’abar berkata, penggunaan tukun tiruan `bio-rock’ sudah lama digunakan di beberapa negara termasuk di Bali Indonesia dan ia terbukti berjaya menggalakkan pembiakan terumbu karang dengan cepat serta mampu menarik pelbagai spesies ikan menghuni kawasan tukun berkenaan.

Katanya, bagi melaksanakan program itu, sebanyak RM500,000 diperlukan dan pihaknya sudah memohon kepada kerajaan negeri bagi membiayai pembangunan program itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM450,000 untuk memulihkan kawasan batu penyu di Bukti Che Hawa, yang pernah menjadi tumpuan pelancong kerana kewujudan batu itu dikaitkan dengan kehadiran penyu di Rantau Abang.

Za’abar berkata, pengusaha chalet di Rantau Abang juga perlu mengadakan promosi untuk menarik semula pelancong bercuti di destinasi popular itu.

“Rantau Abang pernah popular sebagai destinasi penyu belimbing bertelur. Melalui kerjasama semua pihak, kita berharap dapat menarik pelancong asing menikmati keindahan pantai dan hutan semula jadi di daerah Dungun,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 23 Jun (Bernama) — Kadar jenayah di Terengganu dalam enam bulan pertama tahun ini turun 12.78 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau berkata sejak 1 Jan sehingga hari ini, sebanyak 2,770 kes dicatatkan berbanding 3,176 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas, yang menunjukkan penurunan 406 kes dan merupakan satu pencapaian yang sangat baik.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan polis dan penyerahan motosikal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini Selasa, Mohd Shukri berkata polis negeri menyasarkan menurunkan kadar jenayah di Terengganu antara 24 dan 25 peratus sehingga akhir tahun ini.

Mohd Shukri berkata kes kecurian motosikal masih lagi tinggi di Terengganu walaupun pelbagai usaha telah diambil bagi menanganinya.

Namun, katanya, kadar kecurian motosikal dan kereta telah meningkat dalam tempoh itu, masing-masingnya kepada 1,267 kes berbanding 1,041 kes, dan 125 kes daripada 95 kes.

Pada majlis itu, polis Terengganu menerima 39 buah motosikal berkuasa tinggi untuk diagihkan kepada daerah-daerah.

— BERNAMA

Read Full Post »