
HULU TERENGGANU (Sinar Harian)- Seorang anggota bomba dan penyelamat Unit Selam Setiu, mati lemas selepas seutas tali pada badannya tersangkut pada tunggul kayu di Tasik Kenyir, semalam ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat seorang penyelia projek yang dikhuatiri lemas, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Aladi Hasan, 41, dari Kelantan bersama anggota unit selam lain menjalankan operasi mencari Halmi Shukri Hashim, 28, dari Yan, Kedah, yang dipercayai terjatuh dalam Tasik Kenyir kira-kira jam 2.45 petang.
Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, ketika kejadian:, mangsa menyertai operasi mencari dan menyelamat seorang penyelia Projek Taman Burung.
“Secara tiba-tiba, tali badan yang ada pada mangsa tersangkut pada pokok dalam tasik berkenaan.
“Mangsa mulanya dibawa ke Klinik Kesihatan Tengkawang dan kemudian dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam.
Sementara itu, rakan kepada Halmi Shukri yang dikhuatiri lemas, Bakri Mohd Nor, 30, dari Alor Setar, Kedah, berkata, dia segera menunaikan ‘hajat’ apabila terdengar bunyi enjin bot begitu pelik.
Apabila sampai di tebing, bot terbabit dilihat berpusing-pusing tanpa henti sedangkan rakannya (mangsa) tiada dalam bot.
“Sebelum kejadian saya meminta tolong dia (Halmi Shukri) hantarkan saya ke sebuah pulau berhampiran kerana mahu membuang air besar dan tidak menyangka ini yang terjadi.
“Malah, dia menyuruh saya menunaikan hajat puas-puas dan akan datang kembali kira-kira 10 minit kemudian. Saya sungguh terkejut apabila mendapati dia tiada atas bot yang berpusing-pusing,” katanya.
Menurut Bakri, walaupun cuba mencarinya tetapi usaha itu gagal menyebabkan dia terpaksa menjerit meminta tolong rakan di tapak projek.
“Kami cuba mencarinya tetapi tetap tidak berjumpa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Operasi Unit Selam Negeri Terengganu yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat, Pegawai Bomba Kanan II, Yusmizan Yusof berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang menerima panggilan jam 2.50 petang, kelmarin.
“Semalam (kelmarin), kita memulakan operasi bermula jam 5 petang dan menghentikan operasi jam 6 petang berikutan keadaan gelap.
“Hari ini (semalam) operasi dimulakan jam 8 pagi dan berakhir 6 petang, bagaimanapun mangsa masih gagal ditemui,” katanya.
Menurut Yusmizan, kedalaman air 14.5 meter dan operasi berdepan sedikit kesukaran kerana keadaan dalam air gelap, berlumpur dan dipenuhi tunggul kayu. Operasi akan diteruskan seperti biasa esok (hari ini).