Suami dikatakan cemburu upah 30 samseng serang rumah
KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Akibat cemburu buta, seorang suami yang kini tinggal berasingan daripada isteri sanggup mengupah sekumpulan samseng memukul anak angkat isterinya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam Selasa lalu, wanita berusia 42 tahun yang juga pengurus taman bimbingan kanak-kanak di sini, berada di rumahnya di Jalan Kubang Badak, bersama anak angkat lelaki yang juga pekerjanya berusia 26 tahun, serta dua anak kandungnya, sebelum didatangi sekumpulan 30 lelaki.
Kumpulan samseng terbabit memasuki rumah berkenaan dan terus memukul mangsa di kepala, kening dan muka menyebabkan dia patah dua gigi, manakala dua anak kandung wanita itu yang berusia 26 dan sembilan tahun turut ditampar.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata kumpulan samseng berkenaan dipercayai diupah suspek berusia 48 tahun yang tinggal di Taman Permint, Chendering, setelah mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan anak angkatnya.
Katanya, tidak puas hati dengan serangan itu, kumpulan lelaki terbabit kemudian memasukkan mangsa ke dalam but kereta dan membawanya ke satu lokasi yang tidak diketahui sebelum membelasahnya lagi.
“Ketika itu, samseng berkenaan bertindak lebih ganas dengan mencederakan jari kelingking mangsa menggunakan sebilah pisau dan tidak tahan dengan seksaan itu, mangsa kemudian berunding dengan kumpulan lelaki terbabit.
“Dalam rundingan itu, mangsa menawarkan upah yang lebih lumayan kepada kumpulan samseng berkenaan supaya tidak memukulnya dan kira-kira jam 4 pagi mangsa dibebaskan kumpulan terbabit,” katanya.
Manoharan berkata, satu pertemuan semula diatur di suatu lokasi yang dipersetujui ahli kumpulan berkenaan untuk menerima wang ‘tebus diri’ daripada mangsa.
Bagaimanapun, katanya, tindakan bijak mangsa yang memaklumkan terlebih dulu mengenai pertemuan itu membolehkan polis bertindak dan dapat memberkas seorang ahli kumpulan samseng berkenaan berusia 38 tahun yang datang mengambil wang di Jalan Bukit Kecil di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, kelmarin.
Manoharan berkata, berikutan kejadian itu, suri rumah terbabit membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 1.20 tengah hari kelmarin.