Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘candat’

BATU RAKIT (Sinar Harian) – Aktiviti mencandat sotong turut membawa kesan positif kepada industri pembinaan bot bersaiz kecil dan sederhana kerana perkhidmatan bot adalah komponen utama untuk menjalankan aktiviti itu.

Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Batu Rakit Selatan melihat aktiviti itu bukan sahaja dianggap sebagai produk tarikan pelancong tetapi juga dapat membantu nelayan menambah pendapatan mereka.

Setiausaha KRT Pekan Batu Rakit Selatan, Zainaldin Ismail, 36, berkata, kebiasaannya pengusaha bot termasuk nelayan menjalankan perkhidmatan menyewa bot sepanjang musim mencandat sotong.

“Perkhidmatan kemudahan bot disewakan dengan kos RM250 hingga RM300 adalah komponen paling penting bagi menjalankan aktiviti itu sepanjang April sehingga penghujung Mei ini.

”Aktiviti ini secara tidak langsung dapat dimanfaatkan pengusaha bot termasuk nelayan untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya ketika mengadakan program mencandat sotong di perairan Pantai Kampung Pantai Batu Rakit, di sini, semalam.

Pada program itu, Zainaldin berkata, seramai 30 anggota bersama penduduk menyertai Program Mencandat Sotong KRT Pekan Batu Rakit Selatan yang diadakan sebagai pengisian program KRT sempena musim mencandat sotong.

Menurutnya, pihaknya berharap kawasan pesisiran laut daerah wajar dieksploitasi semaksimum mungkin terutamanya agensi pelancongan dengan lebih kerap menganjurkan aktiviti itu pada masa akan datang.

****************************

Artikel berkaitan sebelum ini:


Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 10 Mei (Bernama) — Kegembiraan 10 peserta yang menyertai ekspedisi mencandat sotong, bertukar tragedi apabila mereka disambar petir di perairan Kuala Terengganu, malam tadi.

Berikutan kejadian itu, lima daripada mereka termasuk seorang yang cedera parah, terpaksa ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, manakala lima lagi diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Mangsa yang ditahan di hospital berkenaan ialah Adnan Dollah, 49, Shahrulnizam Kamaruddin, 22, Shahrulnizam Yahya, 25, Shahminizam Shahar, 17, dan Zuhaimi Mad Amin, 39.

Lima lagi yang dibenarkan keluar daripada HSNZ ialah Hamidi Ibrahim, 45, Kamat Ibrahim, 30, Rosli Shafie, 39, Miskom Jemari, 30, dan Shahar Abu Bakar, 49.

Menceritakan pengalaman ngeri itu, seorang mangsa, Shahrulnizam Kamaruddin berkata hujan lebat yang disusuli petir berlaku ketika mereka sedang mencandat sotong kira-kira pukul 10 malam.

“Saya nampak satu cahaya yang sangat cerah disusuli petir menyebabkan saya hampir pitam. Dalam keadaan kelam-kabut, saya lihat kaki saya bengkak dan punggung saya susah diangkat,” katanya ketika ditemui di HSNZ hari ini.

Shahrulnizam berkata semasa kejadian, beliau berada di bahagian belakang bot bersama beberapa rakannya yang lain.

“Saya fobia dan mungkin tidak akan mencandat sotong lagi selepas ini. Tahun lepas, kami pernah datang mencandat sotong, tetapi tidak jadi seperti ini,” katanya yang cedera di telinga.

Hamidi yang mengetuai ekspedisi mencandat sotong kakitangan Jabatan Kraftangan Putrajaya itu, berkata ketika kejadian mereka sedang melakukan aktiviti itu di perairan Kuala Terengganu berhadapan Pulau Duyong.

Beliau berkata mereka tiba di sini, Khamis lepas dan menyewa sebuah bot di Seberang Takir untuk menyertai ekspedisi itu, yang dijadualkan berakhir hari ini.

Hamidi berkata selepas kejadian enjin bot masih berfungsi dan membolehkan mereka kembali ke muara Kuala Terengganu, lalu mendapatkan bantuan menghantar mereka yang cedera ke hospital.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Nordiyanah Hassan ketika dihubungi berkata kelima-lima mangsa yang masih dirawat di HSNZ itu berada dalam keadaan baik dan stabil.

Beliau berkata kesemua mangsa hanya cedera ringan kecuali seorang yang melecur di bahagian dada kanan.

— BERNAMA

Read Full Post »