KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) buat kali pertama menganjurkan Sirkit Cabaran Candat Sotong 2009 (SCCS09) sempena musim mencandat sotong yang akan mencapai kemuncaknya Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata menariknya penganjuran SCCS ini, ia akan diadakan di tiga daerah di negeri ini iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Dungun bermula Mei ini dan penyertaannya terbuka kepada penggemar aktiviti mencandat sotong dari seluruh negara.
Beliau berkata, pemilihan tiga lokasi itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan aktiviti mencandat sotong sebagai ikon pelancongan Terengganu, sekali gus menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini.
Katanya, pertandingan itu yang diadakan secara berperingkat iaitu pada 2 Mei di Marang, 30 Mei di Kuala Terengganu dan 4 Julai di Dungun juga akan membantu melonjakkan ekonomi negeri dalam sektor pelancongan.
“Daripada pengalaman dan pemantauan kita sejak beberapa tahun lalu, aktiviti mencandat sotong yang semakin popular kebelakangan ini adalah antara aktiviti yang paling digemari pelancong. Justeru, tahun ini kita mula memperkenalkan penganjuran SCCS bagi memberi peluang peminat aktiviti ini melepaskan gian dan dalam masa sama memenangi hadiah.
“Pertandingan ini akan membabitkan perairan di tiga daerah ini dan menawarkan pelbagai hadiah menarik membabitkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM140,000. Kita mengehadkan penyertaan kepada 50 bot bagi setiap kawasan dan ini bermakna setiap bot boleh membabitkan 10 peserta,” katanya.
Beliau berkata, sempena SCCS, kerajaan negeri dengan kerjasama PPNT dan MTPN juga menganjurkan Festival Mencandat Sotong yang menyelitkan pelbagai aktiviti tarikan pelancongan dan warisan serta keusahawanan di setiap daerah terbabit selama dua minggu.
Katanya, bagi daerah Marang, festival itu dijangka berlangsung bermula 25 April hingga 8 Mei, manakala 23 Mei hingga 6 Jun di Kuala Terengganu dan 27 Jun hingga 10 Julai di Dungun.
[…] Sirkit Cabaran Candat Sotong Mei […]