Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘petir’

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Orang ramai dan nelayan dinasihatkan supaya melihat cuaca terlebih dahulu sebelum turun ke laut untuk mencandat sotong atau memancing memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu di Terengganu.

Ketua Institut Perikanan Malaysia, Dr Mohd Fadzil Shuhaimi Ramli berkata, biasanya orang ramai akan ke laut selepas jam 5 petang dan sepatutnya mereka sudah mengetahui keadaan cuaca pada waktu itu.

Menurutnya, orang ramai perlu mementingkan keselamatan diri terlebih dahulu dan jangan terlalu obses dengan kehadiran sotong di lautan yang boleh mendatangkan bahaya dan kecederaan kepada diri.

“Walaupun nelayan mempunyai pengalaman berkaitan laut, namun saya menasihatkan mereka supaya tidak mengambil risiko yang berbahaya itu.

“Tidak dinafikan negeri ini amat terkenal dengan aktiviti memancing dan mencandat sotong sehingga mendapat perhatian masyarakat luar Terengganu untuk datang ke sini semata-mata untuk melepaskan keinginan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai 10 kakitangan awam dari Putrajaya, Kuala Lumpur yang menyertai aktiviti candat sotong bertukar tragedi apabila mereka disambar petir ketika berada di kawasan Perairan Kuala Terengganu, pada Sabtu lalu.

Akibat kejadian itu, lima termasuk tekong bot dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, setelah bahagian badan mereka melecur.

Justeru, Mohd Fadzil Shuhaimi berharap masyarakat akan lebih berhati-hati dan perlu mengambil iktibar dengan kejadian yang berlaku kerana ia boleh membahayakan diri serta membawa maut.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan sebolehnya kita perlu mengelakkan kejadian tersebut daripada terus berulang. Masyarakat perlu fikir bahawa nyawa adalah lebih penting daripada segala-galanya,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 10 Mei (Bernama) — Kegembiraan 10 peserta yang menyertai ekspedisi mencandat sotong, bertukar tragedi apabila mereka disambar petir di perairan Kuala Terengganu, malam tadi.

Berikutan kejadian itu, lima daripada mereka termasuk seorang yang cedera parah, terpaksa ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, manakala lima lagi diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Mangsa yang ditahan di hospital berkenaan ialah Adnan Dollah, 49, Shahrulnizam Kamaruddin, 22, Shahrulnizam Yahya, 25, Shahminizam Shahar, 17, dan Zuhaimi Mad Amin, 39.

Lima lagi yang dibenarkan keluar daripada HSNZ ialah Hamidi Ibrahim, 45, Kamat Ibrahim, 30, Rosli Shafie, 39, Miskom Jemari, 30, dan Shahar Abu Bakar, 49.

Menceritakan pengalaman ngeri itu, seorang mangsa, Shahrulnizam Kamaruddin berkata hujan lebat yang disusuli petir berlaku ketika mereka sedang mencandat sotong kira-kira pukul 10 malam.

“Saya nampak satu cahaya yang sangat cerah disusuli petir menyebabkan saya hampir pitam. Dalam keadaan kelam-kabut, saya lihat kaki saya bengkak dan punggung saya susah diangkat,” katanya ketika ditemui di HSNZ hari ini.

Shahrulnizam berkata semasa kejadian, beliau berada di bahagian belakang bot bersama beberapa rakannya yang lain.

“Saya fobia dan mungkin tidak akan mencandat sotong lagi selepas ini. Tahun lepas, kami pernah datang mencandat sotong, tetapi tidak jadi seperti ini,” katanya yang cedera di telinga.

Hamidi yang mengetuai ekspedisi mencandat sotong kakitangan Jabatan Kraftangan Putrajaya itu, berkata ketika kejadian mereka sedang melakukan aktiviti itu di perairan Kuala Terengganu berhadapan Pulau Duyong.

Beliau berkata mereka tiba di sini, Khamis lepas dan menyewa sebuah bot di Seberang Takir untuk menyertai ekspedisi itu, yang dijadualkan berakhir hari ini.

Hamidi berkata selepas kejadian enjin bot masih berfungsi dan membolehkan mereka kembali ke muara Kuala Terengganu, lalu mendapatkan bantuan menghantar mereka yang cedera ke hospital.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Nordiyanah Hassan ketika dihubungi berkata kelima-lima mangsa yang masih dirawat di HSNZ itu berada dalam keadaan baik dan stabil.

Beliau berkata kesemua mangsa hanya cedera ringan kecuali seorang yang melecur di bahagian dada kanan.

— BERNAMA

Read Full Post »