Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Seberang Takir’

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri merancang mewujudkan galeri bagi menempatkan maklumat berkaitan sejarah dan tokoh besar yang berasal dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata DUN Seberang Takir mempunyai latar belakang sejarah yang menarik dan sudah melahirkan ramai tokoh hebat dalam pelbagai bidang, termasuk perniagaan, seni dan pendidikan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir berkata, galeri itu akan berfungsi sebagai tempat rujukan bukan saja untuk pelajar dan ahli sejarah, tetapi juga kepada orang ramai yang berminat mengkaji dan mengetahui susur galur sejarah DUN berkenaan.

“Sebenarnya impian untuk membina galeri ini sudah lama dan menjadi harapan saya untuk mewujudkannya (galeri) di DUN sendiri kerana kita sedia maklum ramai tokoh hebat dilahirkan di sini.

“Nama seperti Tan Sri Ibrahim Fikri, penyair JM Aziz, Senator Rashid Ngah, Allahyarham Wan Shamsuddin Wan Mamat bukan lagi asing bagi kita dan mereka menunjukkan kehebatan dalam bidang masing-masing.

“Justeru, melalui pendedahan ini, kita berharap pelajar akan mengambil contoh dan lebih ramai manusia hebat akan lahir selepas ini,” katanya selepas merasmikan Program Motivasi Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, di sini, semalam.

Seramai 500 pelajar tingkatan tiga, empat dan lima dari beberapa sekolah menengah di DUN Seberang Takir menyertai program motivasi yang ditaja Yayasan Terengganu (YT) dan dikendalikan dua penceramah terkenal iaitu Datuk Dr Fadzillah Khamsah dan Dr Tengku Ismadi Tengku Mohamad yang juga berasal dari Seberang Takir.

Hadir sama, Pengarah YT, Md Kamaru Al Amin Ismail.

Terdahulu, beliau turut menerima cek sebanyak RM10,000 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kemahiran Showme sebagai sumbangan bagi membiayai program motivasi pelajar pada masa akan datang.

Ahmad Razif berkata, galeri itu akan ditempatkan di satu bahagian Masjid Seberang Takir yang akan dibina dengan anggaran kos antara RM5 juta hingga RM6 juta pada tahun depan.

“Masjid lama yang diasaskan oleh Tan Sri Ibrahim Fikri akan dirobohkan dan diganti dengan masjid baru. Jadi kita akan sedia satu ruang dalam masjid itu untuk dijadikan galeri.

“Selain itu, tempat hentian bot penambang untuk ke Kuala Terengganu dan kios perniagaan turut dibina berdekatan masjid dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

“Dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan, kita harap DUN Seberang Takir muncul sebagai destinasi pelancongan terkemuka pada masa akan datang,” katanya.

Read Full Post »

Perisian khas akan dibuat elak muat turun benda tak manfaat

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Pelajar yang dikesan menyalahgunakan buku elektronik atau e-book, tidak akan dibenarkan membawa pulang komputer riba mini itu, sebaliknya akan disimpan guru dan hanya digunakan ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata tindakan itu terpaksa diambil bagi mengelakkan pelajar menggunakan e-book yang diberi untuk tujuan tidak bermanfaat dan memberi pengaruh negatif kepada mereka.

“Kita sudah arahkan guru untuk pantau aktiviti murid dan jika ada pelajar didapati menyimpan benda tidak elok, dia tidak akan dibenar membawa pulang e-book ke rumah sebaliknya disimpan oleh guru dan hanya dikeluarkan untuk digunakan pelajar berkenaan ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

“Sekarang ini ramai murid yang terlalu ‘advanced’ dengan komputer, kita bimbang mereka akan muat turun banyak benda yang tidak bermanfaat. Jadi kepada mereka yang menyalahgunakan e-book kita tidak akan bertolak ansur,” katanya selepas merasmikan Program Motivasi Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, semalam.

Ahmad Razif berkata, bagi mengatasi masalah penyalahgunaan e-book, kerajaan negeri sedang membangunkan perisian khas yang akan dimuat turun ke dalam semua buku elektronik (e-book) yang diberikan kepada 23,000 murid Tahun Lima di negeri ini.

Katanya, melalui perisian khas itu, guru yang menyelia penggunaan e-book pelajar dapat memantau dan mengunci laman web tertentu yang kerap diakses murid terutama ketika waktu persekolahan.

“Bagaimanapun, pembangunan perisian berkenaan dijangka membabitkan peruntukan yang agak tinggi dan memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.

“Daripada kajian yang dijalankan, kerajaan menjangkakan sebanyak RM30 juta diperlukan bagi membangunkan perisian itu sebelum boleh dimuat turun kepada semua 23,000 murid Tahun Lima seluruh negeri yang menerima kemudahan itu ketika ini,” katanya.

Berikutan itu, beliau berharap ibu bapa dan guru dapat memantau penggunaan e-book di kalangan pelajar bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan kemudahan yang diberi itu.

*******************************

Artikel berkaitan sebelum ini:

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 19 Jun (Bernama)– Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam semak dengan beralas plastik di belakang sebuah rumah di Kampung Pasir Putih dekat sini, Jumaat.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II Negeri, Supt. K. Manoharan berkata, bayi yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan dua jam sebelum ditemui oleh seorang remaja perempuan berusia 16 tahun kira-kira pukul 9 pagi.

“Sebaik terdengar suara bayi menangis, remaja terbabit segera ke belakang rumahnya dan menemui seorang bayi perempuan yang diletakkan di dalam semak dengan beralaskan plastik.

“Remaja terbabit kemudian segera meminta bantuan jirannya menghantar bayi tersebut ke Klinik Kesihatan Seberang Takir sebelum menghubungi polis,” katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Katanya, bayi terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut kerana dipercayai lahir pramatang.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU: A 35-year-old fisherman is believed to have drowned after falling off his boat in Sungai Terengganu yesterday morning.

Abd Ghani Ahmad, from Marang, was said to have slipped before falling into the river about 9am as the boat was heading towards Seberang Takir.

His friend, Azhar Mamat, 35, said he threw a float at him, but it was in vain.

As of 4pm, search and rescue operations were continuing.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 10 Mei (Bernama) — Kegembiraan 10 peserta yang menyertai ekspedisi mencandat sotong, bertukar tragedi apabila mereka disambar petir di perairan Kuala Terengganu, malam tadi.

Berikutan kejadian itu, lima daripada mereka termasuk seorang yang cedera parah, terpaksa ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, manakala lima lagi diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Mangsa yang ditahan di hospital berkenaan ialah Adnan Dollah, 49, Shahrulnizam Kamaruddin, 22, Shahrulnizam Yahya, 25, Shahminizam Shahar, 17, dan Zuhaimi Mad Amin, 39.

Lima lagi yang dibenarkan keluar daripada HSNZ ialah Hamidi Ibrahim, 45, Kamat Ibrahim, 30, Rosli Shafie, 39, Miskom Jemari, 30, dan Shahar Abu Bakar, 49.

Menceritakan pengalaman ngeri itu, seorang mangsa, Shahrulnizam Kamaruddin berkata hujan lebat yang disusuli petir berlaku ketika mereka sedang mencandat sotong kira-kira pukul 10 malam.

“Saya nampak satu cahaya yang sangat cerah disusuli petir menyebabkan saya hampir pitam. Dalam keadaan kelam-kabut, saya lihat kaki saya bengkak dan punggung saya susah diangkat,” katanya ketika ditemui di HSNZ hari ini.

Shahrulnizam berkata semasa kejadian, beliau berada di bahagian belakang bot bersama beberapa rakannya yang lain.

“Saya fobia dan mungkin tidak akan mencandat sotong lagi selepas ini. Tahun lepas, kami pernah datang mencandat sotong, tetapi tidak jadi seperti ini,” katanya yang cedera di telinga.

Hamidi yang mengetuai ekspedisi mencandat sotong kakitangan Jabatan Kraftangan Putrajaya itu, berkata ketika kejadian mereka sedang melakukan aktiviti itu di perairan Kuala Terengganu berhadapan Pulau Duyong.

Beliau berkata mereka tiba di sini, Khamis lepas dan menyewa sebuah bot di Seberang Takir untuk menyertai ekspedisi itu, yang dijadualkan berakhir hari ini.

Hamidi berkata selepas kejadian enjin bot masih berfungsi dan membolehkan mereka kembali ke muara Kuala Terengganu, lalu mendapatkan bantuan menghantar mereka yang cedera ke hospital.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Nordiyanah Hassan ketika dihubungi berkata kelima-lima mangsa yang masih dirawat di HSNZ itu berada dalam keadaan baik dan stabil.

Beliau berkata kesemua mangsa hanya cedera ringan kecuali seorang yang melecur di bahagian dada kanan.

— BERNAMA

Read Full Post »