Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Blue Archipelago Bhd’


KOLAM ternakan udang yang akan dibina di Sungai Penarik, Setiu, dibantah nelayan kerana bimbang pendapatan terjejas.

PERMAISURI: Nelayan di sekitar Penarik dan Sungai Chaluk di sini bimbang pelaksanaan Projek Ternakan Udang Bersepadu seluas 1,000 hektar di sini akan memberi kesan kepada alam sekitar hingga menjejaskan sumber pendapatan mereka pada masa depan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Darat Kampung Beris Tok ku, Malik Yunus, berkata nelayan dan penduduk tidak membantah projek pembangunan, tetapi berharap kerajaan mengkaji semula kaedah pelaksanaan bagi memastikan kolam ternakan udang berimpak tinggi (HIP) itu tidak menjejaskan hasil pendapatan nelayan.

“Kami tidak menghalang projek ini kerana memberi banyak manfaat kepada masyarakat tempatan seperti peluang pekerjaan.

“Bagaimanapun kami tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan projek terutama berhubung kaedah penyaluran keluar air masin dari kolam ternakan yang tidak diuruskan dengan baik boleh mengakibatkan perubahan terhadap air sungai sekali gus mengubah ekosistem sungai di situ.

“Kami bimbang jika perkara ini berlaku, masa depan kami pasti kelam kerana tidak memiliki kemahiran lain selain menangkap ikan,” katanya ketika ditemui di Kampung Penarek, semalam.

Mengulas lanjut, Malik yang mewakili 45 ahli persatuan berkenaan berkata, ketika cadangan pembukaan kolam itu diumumkan penduduk gembira kerana ia akan menyediakan peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya, selepas mendapati projek berkenaan akan menyebabkan kesan negatif dalam jangka panjang seperti pencemaran daripada sisa buangan dan menjejaskan ekosistem sungai, mereka resah apabila memikirkan sumber rezeki dan masa depan keluarga yang akan terjejas disebabkan pelaksanaan projek terbabit.

Projek Ternakan Udang Bersepadu seluas 1,000 hektar yang dimajukan oleh Blue Archipelago Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd adalah antara projek berimpak tinggi yang dikenal pasti dalam pakej rangsangan kedua dan dilaksanakan kerajaan Pusat bagi melonjakkan ekonomi di kawasan Penarik, Setiu.

Read Full Post »