Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘pertanian’ Category


KOLAM ternakan udang yang akan dibina di Sungai Penarik, Setiu, dibantah nelayan kerana bimbang pendapatan terjejas.

PERMAISURI: Nelayan di sekitar Penarik dan Sungai Chaluk di sini bimbang pelaksanaan Projek Ternakan Udang Bersepadu seluas 1,000 hektar di sini akan memberi kesan kepada alam sekitar hingga menjejaskan sumber pendapatan mereka pada masa depan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Darat Kampung Beris Tok ku, Malik Yunus, berkata nelayan dan penduduk tidak membantah projek pembangunan, tetapi berharap kerajaan mengkaji semula kaedah pelaksanaan bagi memastikan kolam ternakan udang berimpak tinggi (HIP) itu tidak menjejaskan hasil pendapatan nelayan.

“Kami tidak menghalang projek ini kerana memberi banyak manfaat kepada masyarakat tempatan seperti peluang pekerjaan.

“Bagaimanapun kami tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan projek terutama berhubung kaedah penyaluran keluar air masin dari kolam ternakan yang tidak diuruskan dengan baik boleh mengakibatkan perubahan terhadap air sungai sekali gus mengubah ekosistem sungai di situ.

“Kami bimbang jika perkara ini berlaku, masa depan kami pasti kelam kerana tidak memiliki kemahiran lain selain menangkap ikan,” katanya ketika ditemui di Kampung Penarek, semalam.

Mengulas lanjut, Malik yang mewakili 45 ahli persatuan berkenaan berkata, ketika cadangan pembukaan kolam itu diumumkan penduduk gembira kerana ia akan menyediakan peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya, selepas mendapati projek berkenaan akan menyebabkan kesan negatif dalam jangka panjang seperti pencemaran daripada sisa buangan dan menjejaskan ekosistem sungai, mereka resah apabila memikirkan sumber rezeki dan masa depan keluarga yang akan terjejas disebabkan pelaksanaan projek terbabit.

Projek Ternakan Udang Bersepadu seluas 1,000 hektar yang dimajukan oleh Blue Archipelago Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd adalah antara projek berimpak tinggi yang dikenal pasti dalam pakej rangsangan kedua dan dilaksanakan kerajaan Pusat bagi melonjakkan ekonomi di kawasan Penarik, Setiu.

Advertisement

Read Full Post »

peserta projek memberi makan ikan tilapia merah yang diternak di bawah projek ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.


HULU TERENGGANU 24 Jun (Utusan Malaysia)– Projek ternakan ikan dalam sangkar Sungai Como, Tasik Kenyir di sini memberi peluang kepada golongan muda untuk memahirkan diri dalam bidang ternakan ikan.

Malah, projek berimpak tinggi yang dilancarkan tiga tahun lalu itu memberikan mereka pendapatan tetap setiap bulan selain pendapatan sampingan berbentuk elaun.

Sebanyak 17 peserta kini mengusahakan projek ternakan ikan termasuk tilapia merah, patin dan siakap di 2,200 sangkar di Sungai Como.

Ketua blok sangkar satu, Che Ku Adna Ku Jalil berkata, penyertaannya sejak November lalu dalam projek itu banyak memberi pengalaman dan kemahiran untuk menternak ikan.

‘‘Saya sememangnya mempunyai minat dalam bidang ternakan ini tetapi tidak tahu bagaimana hendak mencari pengetahuan dan penyertaan dalam projek ini banyak membantu saya,” katanya.

Belia berusia 34 tahun itu yang berasal dari Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu berkata, dia dapat belajar cara untuk menternak dan menjaga ikan dalam sangkar dengan baik.

‘‘Saya juga belajar bagaimana untuk menggred ikan dan melihat kualiti ikan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, projek itu juga memberikannya dan peserta lain pendapatan tetap setiap bulan.

‘‘Gaji kami sebulan boleh mencapai RM1,050 bergantung kepada jumlah hari kami bekerja. Selain itu, kami juga akan menerima komisen daripada hasil jualan ikan,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh.

Rakannya, Mohamad Solihan Samad, 27, pula tidak kisah berpanas dan hujan dalam menjalankan kerja penternakan dalam projek itu.

Katanya, beliau tidak mempedulikan keadaan cuaca berkenaan kerana sangat berminat dengan bidang itu.

‘‘Sebelum ini, saya sudah biasa berniaga dalam cuaca berkenaan semasa belajar dahulu,” katanya yang menyertai projek itu pada Mei lalu.

Pemuda yang tinggal di Kampung Tajin di sini berkata, dia diperkenalkan kepada projek oleh seorang peserta projek itu yang tinggal sekampung dengannya.

‘‘Saya tertarik kerana dimaklumkan ia memberikan pengalaman dan kemahiran yang dapat mencapai minat saya selain pendapatan yang baik,” ujarnya.

Read Full Post »


ALI (kiri) dan Mat Yazid memberi kambing makan.

Projek JPH beri pendapatan RM800 hingga RM1,500 sebulan

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Ketabahan empat penternak yang dipilih menternak kambing di Gugusan Lembah Kaprima Kampung Chabang, Kertih, Kemaman, ternyata berbaloi apabila mereka kini memperoleh pendapatan bersih antara RM800 dan RM1,500 sebulan.

Walaupun pada mulanya 40 peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dipilih menyertai projek percubaan dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) sejak tiga tahun lalu, tetapi hanya empat peserta kekal mengusahakan ternakan berkenaan.
Antara empat peserta yang kekal meneruskan projek menternak kambing itu ialah bekas pesara polis, Mat Yazid Derahman, 58, dan Ali Muda, 58.

Ali berkata, menternak kambing bukanlah tugas sukar, tetapi ia memerlukan kesabaran dan ketekunan peserta terutama ternakan berusia satu hingga dua bulan yang mudah dijangkiti pelbagai penyakit, termasuk kembung perut dan penyakit kulit.

Katanya, pemakanan ternakan perlu diberi perhatian selain menjaga kebersihan kandang, tetapi kerja itu menjadi lebih mudah jika peserta menyediakan jadual secara tersusun.

KANDANG kambing yang dibina Jabatan Perkhidmatan Haiwan negeri untuk ternakan kambing di Gugusan Lembah Kaprima di Kampung Chabang, Kertih, Kemaman.

“Kita hanya perlu membersih kandang termasuk najis sekali sehari dan memberi makan kambing tiga kali sehari termasuk rumput jenis napier (rumput gajah).

“Setiap peserta akan dibekalkan dengan 120 ekor baka kambing, selain makanan, kandang disediakan JPH negeri,” katanya.

Ali yang juga pesara posmen, berkata projek percubaan menternak kambing menerusi program JPH bertujuan membantu penduduk miskin untuk menambah pendapatan dan mengeluarkan peserta daripada terus dibelenggu kemiskinan.

“Kaedah digunakan JPH yang tidak menghalang dan memberi kebebasan kepada peserta menjual kambing tanpa had adalah langkah bijak.

“Dalam sebulan, peserta mampu menjual sebanyak 15 hingga 20 ekor kambing yang berusia lapan bulan dan pulangan diperoleh cukup baik serta mampu menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Katanya, menternak dan menjaga kambing bukanlah tugas yang menyulitkan, peserta hanya perlu mengambil masa tiga jam sehari termasuk untuk membersih kandang dan memberi makan.

“Selepas hampir tiga tahun menjadi peserta, perasaan sayang kepada ternakan akan timbul terutama apabila ternakan itu hendak dijual,” katanya.

Mat Yazid berkata, selain memperoleh hasil daripada jualan kambing, peserta juga mendapat hasil dari jualan najis kambing yang dibeli oleh pekebun kelapa sawit dengan harga RM5 dan RM7 seguni.

Katanya, hasil jualan najis kambing, peserta akan gunakan untuk membeli dedak dan daun kelapa sawit untuk dijadikan sebagai makanan tambahan ternakan.

“Kami diberi 70 ekor baka sebagai permulaan dan dalam tempoh tujuh hingga lapan bulan, ternakan itu membiak dan kini kami mempunyai lebih 250 ekor kambing.

“Kami tidak menghadapi masalah untuk memasarkan kambing kerana permintaannya cukup tinggi,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata Terengganu bakal menjadi pembekal baka dan pedaging terbesar di negara ini menjelang 2015, apabila usaha untuk mewujudkan Lembah Kambing Kaprima diperluaskan ke seluruh daerah.

Read Full Post »