Feeds:
Posts
Comments

Blog Alam Akademik ini tidak lagi dikemaskini.

Untuk laporan/berita/cerita/maklumat negeri Terengganu yang terkini dari pelbagai sumber sila lawat blog ini:

Terengganu Darul Iman – http://daruliman.wordpress.com/

Kami mengucapkan berbanyak terima kasih di atas sokongan saudara/i sekalian.

selamatkanwarisansejarah2

[Klik pada imej untuk paparan yang lebih besar]

http://warisantrengganu.wordpress.com/

Jangan tukar slogan:

Where Nature Embraces Heritage

kepada:

The Government Embarrasses Nature & Heritage


Jangan tukar slogan: “Where Nature Embraces Heritagekepada: “The Government Embarrasses Nature & Heritage

TERBARU DARI AWANG GONENG …

SEDIA MENGAMBIL TEMPAHAN SEKARANG RM35.90
Maklumat lanjut dan terkini di http://daruliman.wordpress.com/
Karim 019-3199-788

SETIU, 1 Okt (Bernama) — Seorang pengawal keselamatan sebuah resort di Pulau Redang, di sini, terpaksa bertarung nyawa lebih 16 jam di laut apabila bot gentian kaca yang dinaikinya terbalik dalam hujan lebat dan angin kencang petang semalam.

Sepanjang tempoh itu, Marzuki Awang, 30, pengawal keselamatan Berjaya Resort di Pulau Redang terpaksa berpaut pada bahagian belakang bot berkenaan yang terbalik dalam keadaan laut bergelora sambil berdoa ada yang akan menyelamatkannya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolam, Marzuki berkata beliau yang mengemudi bot berkenaan bersendirian baru berlepas dari Pulau Rendang ke Merang, dekat sini untuk menghantar barang.

Katanya sebaik sahaja tiba berhampiran kawasan Batu Rusa, kira-kira 15 minit kemudian, cuaca mulai berubah dan botnya mula dibadai ombak kuat dan hujan lebat, menyebabkan bot itu terbalik dan terapung di lautan.

“Saya sempat berpaut pada bot itu dan dalam masa yang sama cuba menghubungi rakan di Pulau Redang untuk meminta bantuan, tetapi malangnya telefon bimbit tidak lagi berfungsi setelah dimasuki air laut,” katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Menurutnya, setelah bersusah payah, beliau berjaya naik dan duduk di bahagian belakang bot berkenaan yang masih terapung namun tidak dapat berbuat apa-apa apabila bot itu dihanyutkan.

Katanya sepanjang tempoh itu, beliau tidak melepaskan pautan pada sisi bot berkenaan kerana bimbang tercampak ke laut berikutan ombak besar dan angin kencang.

“Sepanjang malam saya ada nampak beberapa bot nelayan lalu berhampiran dan saya berteriak meminta tolong namun keadaan yang terlalu gelap mungkin menyebabkan mereka tidak nampak saya,” katanya.

Beliau ditemui nelayan yang menyertai gerakan mencarinya kira-kira pukul 8 pagi tadi berhampiran Batu Bara, kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Kuala Terengganu Komander (M) Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.30 malam.

Beliau berkata dua buah bot penyelamat dihantar untuk gerakan mencari mangsa namun usaha itu gagal membuahkan hasil berikutan ombak besar yang melanda dan suasana gelap.

Syed Mohd Fuzi berkata usaha mencari mangsa termasuk oleh pihak polis dan Pasukan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sekitar tempat kejadian juga turut buntu sehinggalah mangsa ditemui oleh nelayan tidak jauh dari situ awal pagi tadi.

— BERNAMA

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my

RAJA Sidek Awang menyiapkan keranda bagi memastikan bekalan sentiasa cukup bagi memenuhi keperluan orang yang meninggal dunia di Kampung Padang Ujit, Manir, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 30 Sept. – Banglo, teres, flat malah setinggan merupakan kediaman bagi yang hidup. Namun bagi si mati pula, mereka juga turut mempunyai rumah.

Sinonimnya, rumah terakhir bagi si mati ialah keranda kerana bagi kebanyakan masyarakat keranda merupakan elemen terpenting dalam sesebuah acara pengkebumian.

Bagi masyarakat Cina dan India, jika seseorang ahli keluarga mereka mati, menjadi adat mereka untuk meletakkan mayat tersebut di dalam keranda bagi membolehkan ahli keluarga menziarahi si mati.

Juateru, kebiasaannya keranda yang menjadi ‘rumah’ si mati pastinya cantik diukir dan indah dipandang mata.

Namun bagi masyarakat Melayu, kebanyakan keranda hanya diperbuat daripada kayu biasa dan tanpa sebarang ukiran kerana kebiasaannya apabila si mati telah diletakkan di dalam keranda sudah tiba masanya untuk dikebumikan kerana bagi agama Islam lebih cepat dikebumikan lebih baik.

Walau apa perbezaannya, kepentingan keranda dalam melengkapkan pengurusan sesebuah pengkebumian amat penting kerana ia merupakan sebuah struktur untuk menampung si mati sebelum sampai ke kubur.

Namun tahukah anda, bukan semua di kalangan kita meminati kerjaya sebagai pembuat keranda ini.

Alasan kebanyakan muda-mudi masa kini ialah kerana pekerjaan ini tidak sesuai dengan jiwa mereka yang tidak gemar melakukan kerja-kerja rumit itu.

Wartawan Utusan Malaysia baru-baru ini berkesempatan menemubual seorang pembuat keranda di Kampung Padang Ujit, Manir.

Raja Sidek Awang, 60, yang telah berkecimpung dalam pembuatan keranda sejak lapan tahun lalu mengakui bahawa dia amat selesa melakukan pekerjaan berkenaan.

Walaupun membuat keranda bukanlah tugas yang mudah namun bagi Raja Sidek atau lebih dikenali dengan jolokan ‘Pok Dik’ itu tidak pernah mengeluh dengan kerjayanya itu.

Keranda buatan Pok Dik cukup terkenal di sekitar kawasan Kuala Terengganu, Wakaf Tapai dan Paka.

Menceritakan bagaimana dia mula mengusahakan pembuatan keranda itu, Pok Dik memberitahu minatnya datang apabila melihat rakan-rakannya mengusahakan pembuatan itu.

“Saya sebenarnya memang mahir dalam pertukangan rumah memandangkan sejak muda lagi saya sering membina rumah penduduk di sini, jadi apabila melihat rakan-rakan membuat keranda jadi tiba-tiba datang pula minat untuk mencubanya.

“Setelah beberapa kali melihat cara-cara membuat keranda saya mula membuat sendiri di rumah.

“Dari sejak itu saya mula mengusahakan pembuatan keranda ini sehingga kini memandangkan ia sering mendapat permintaan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ujit dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, sehari dia hanya mampu menyiapkan dua hingga tiga buah keranda sehaja memandangkan usianya yang tua menghalang daripadanya bekerja terlalu lama.

Bagaimanapun, ujarnya, masalah utama yang dihadapi oleh pembuat keranda ialah sering kekurangan sumber kayu.

“Membuat keranda sememangnya sukar kerana memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menyiapkannya namun apa lebih sukar ialah apabila ketiadaan sumber kayu menyebabkan kadang-kadang tiada keranda yang dapat dihasilkan.

“Ini kerana hanya jenis kayu tertentu sahaja yang boleh digunakan seperti daripada jenis pokok durian, mangga dan sto,” jelasnya.

Tambahnya, purata harga sebuah keranda dijual bermula daripada RM90 hingga RM200 sebuah.

Ujar Pok Dik, rutin sehariannya yang bermula seawal pukul lapan pagi hingga lewat petang itu tidak terasa letihnya apabila mengenangkan keperluan terhadap keranda meningkat setiap hari.

“Setiap kali banyak tempahan yang dibuat, itu bermakna ramai yang akan mengisi ruang kosong keranda itu menyebabkan ia sentiasa mengingatkan saya tentang mati.

“Saya sering membuat keranda untuk orang lain, ajal dan maut saya entah bila…siapa pula akan membuat keranda untuk saya,” kata Pok Dik.

Ditanya mengenai kejadian pelik, ayah kepada dua orang anak ini hanya tersenyum sahaja.

Jelasnya, sejak dia memulakan tugas sebagai pembuat keranda, dia tidak pernah mengalami kejadian pelik.

“Tiada apa yang pelik. Yang hidup pastinya mati…jadi saya hanya berdoa semoga kerja yang saya lakukan ini dapat memberikan kesejahteraan kepada saya dan keluarga,” ujarnya mengakhiri perbualan.

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun kerana mencuri 23 tongkat mimbar masjid di sekitar daerah Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Terengganu.
Dia yang berasal dari Kampung Rhu Rendang, Marang dan dipercayai kurang siuman mendakwa melakukan aktiviti itu kerana mendapat arahan daripada Tuhan selepas dilantik sebagai wali.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata suspek ditahan pada 27 September lalu, kira-kira jam 5.30 petang dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Rhu Rendang selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di sebuah rumah, polis menjumpai 23 tongkat mimbar masjid dan suspek mengaku mencurinya dari masjid empat daerah berkenaan.

“Apabila disoal siasat, dia mendakwa dirinya sebagai wali termulia dan mencuri tongkat itu atas arahan tuhan,” katanya.

Oleh Hamid Salleh

bhkt@bharian.com.my


MUDA terpaksa mengerah tenaga tuanya untuk mencari rezeki apabila motor elektrik beca rosak.

Tidak mampu ganti motor elektrik rosak alat ganti

KUALA TERENGGANU: Sekadar penghias beca. Ini dilema dihadapi pengayuh beca di bandar raya ini apabila motor elektrik yang dipasang sejak 2005 untuk membantu meringankan beban mengayuh sering mengalami kerosakan dan lebih 80 peratus sistem automasi itu kini sudah tidak boleh digunakan.

Selain kesukaran mencari alat ganti, pengayuh beca menghadapi kesulitan apabila motor yang menggunakan tenaga elektrik daripada bateri tidak boleh dicaj semula.
Muda Salleh, 73, dari Kampung Tok Ku Chabang Tiga di sini, berkata motor elektrik yang dibekalkan sudah rosak dan tidak boleh diganti semula kerana ketiadaan alat ganti.

“Sebelum ini dua bateri yang dibekalkan ketika pemasangan motor elektrik sudah rosak dan kami terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk membeli bateri baru.

“Setiap unit bateri berharga RM130 dan bagi seorang penarik beca, kos penggantian bateri berkenaan adalah membebankan kerana pendapatan kami tidak menentu dan bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya sambil menyifatkan bantuan bateri itu dapat mengurangkan beban mengayuh beca.

HANYA segelintir beca guna tenaga elektrik di Pasar Kedai Payang Kuala Terengganu. Enjin beca elektrik sekadar hiasan.

Motor elektrik dibekalkan secara percuma oleh kerajaan negeri kepada pengayuh beca di bandar raya ini bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan meringankan beban pengayuh yang kebanyakan adalah warga emas.

Sistem automasi menggunakan bekalan kuasa elektrik daripada bateri berkuasa 24 voltan dan boleh dicas semula yang menggerakkan motor berkuasa 200 watt atau 0.25 kuasa kuda.

Beca yang menggunakan sistem HBP bernilai RM3,000 setiap set itu mampu menambah kelajuan kayuhan kepada antara lima dan tujuh kilometer sejam.

Ismail Mat Zain, 72, dari Kampung Gong Tok Nasek yang sudah 40 tahun menjadi pengayuh beca, berkata usaha kerajaan memberi motor elektrik itu sangat dihargai dan ia akan lebih bermakna jika disertai dengan sokongan alat ganti.

“Mungkin sekurang-kurangnya pihak yang berkaitan boleh memaklumkan mengenai pembekal atau pengedar yang boleh kami rujuk untuk mendapatkan alat ganti motor ini,” katanya yang sudah mengeluarkan kira-kira RM260 bagi membeli dua bateri baru.

Ismail berkata, pengayuh boleh menabung untuk membeli bateri, tetapi bagi kerosakan motor elektrik tidak dapat dibaiki menyebabkan mereka kini terpaksa mengayuh menggunakan kudrat.

Abdul Rahman Mat Amin, 74, dari Kampung Tok Ku, Cabang Tiga, berkata kerajaan perlu membekalkan motor baru bagi membantu meringankan beban pengayuh beca di bandar raya ini.

“Kudrat dan tenaga saya tidak seperti 30 tahun dulu… motor elektrik ini banyak membantu,” katanya yang hanya menggunakan motor elektrik ketika dia letih.

“Saya masih mengenakan kadar bayaran tambang lama iaitu antara RM2 dan RM5 bagi satu perjalanan mengikut jarak,” katanya sambil mengusap beca berusia 49 tahun yang dibeli dengan harga RM350.

Ini adalah antara beberapa perkara yang dibimbangi penduduk dan peniaga sekitar kawasan peniaga Jalan Bandar dan Jalan Banggol dihalau LTAWNT – kerana pelan pembangunan tapak belum mendapat kelulusan MBKT, namun premis hendak telah diarah untuk dikosongkan. Apa yang akan jadi selepas itu? Dipagar dengan zink dan terbiar bertahun untuk dijadi sarang penagih dadah dan tempat persembunyian pencuri dan pelbagai sarang maksiat.

Apakah bangunan bersejarah ini lebih usang dari dinding zink tapak pembangunan yang terbiar? Kompleks pasaraya Paya Bunga sudah bertahun lamanya. Pembeli terpaksa menanggung bayaran bank tetapi bangunan tersadai tidak dapat diguna.

***************************************

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita11/jertehsouq1.JPG–  Tidak Pernah Ada Jerteh Souq?

Jerteh, BESUT – Catatan dari informasi laman web menunjukkan tidak pernah ada secara rasminya apa yang digembar-gemburkan sebagai Jerteh Souq, sebagaimana di paparkan papan tanda mega projek tersebut yang sudah semakin usang disini.

Sekiranya diteliti, tender yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Besut (MDB) pada bulan Jun tahun 2006 adalah Membina & Menyiapkan Bangunan Perniagaan & Kemudahan Di Medan Selera, Jerteh (MDB.01/05/06).

Dengan makna lain, Jerteh Souq adalah nama ‘politik’ yang digunakan untuk propaganda dan supaya ia dilihat lebih hebat oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Apa pun, amat malang kepada rakyat Terengganu, khususnya pengundi Jerteh yang sekali lagi telah memilih Idris sebagai wakil rakyat DUN tersebut.

Tinjauan Buletinonline ke bandar Jerteh baru-baru ini mendapati projek mega tersebut sedikit pun tidak mengalami apa-apa perubahan sejak tinjauan dibuat pada Februari tahun lalu (2008).

Ketika lalu untuk masuk ke tapak pembinaan ’Jerteh Souq’, wartawan Buletinonline sempat berbual kepada seorang peniaga kecil-kecilan yang menjaja ’petai’ berhampiran pintu zink disitu.

Apabila ditanya, bila ’Jerteh Souq’ itu akan siap, beliau menjawab ringkas, ”tunggu Haji Deris naik semula (jadi MB)”.

Tanpa meneruskan pertanyaan, beliau sendiri berkata, ”nak siap guano, pitih abih doh!”. ”Tu semo kerjo puok-puok dio lah,”katanya lagi.

Buletinonline difahamkan, walaupun kerja-kerja yang telah dilaksanakan bagi pembinaan tersebut agak minima, namun tuntutan yang dibuat keatas kerja yang telah dilaksanakn melebihi dari sepatutnya.

Oleh yang demikian, kerja-kerja pembinaan ‘Jerteh Souq’ tersebut kini terbengkalai.
Menurut Timbalan Yang DiPertua PAS Besut Haji Hassan Salleh, Projek ‘Jerteh Souq’ adalah sebenarnya tapak Pasar Jertih yang sebelum ini memberikan ruang niaga kepada peniaga kecil.

Katanya, sebelum dimusnahkan oleh kerajaan dibawah pimpinan Idris, beberapa bangunan di pasar tersebut baru sahaja siap dibina oleh Kerajaan PAS Terengganu.

“Ia telah dipecahkan dan diubahsuai semula, untuk menjadikan ia sebuah pojek baru bagi diagih-agihkan kepada ‘kroni’.

”Ini adalah antara pembangunan yang membazir yang sedang berlaku di Jertih,”ujarnya

Katanya, pengubahsuaian pasar Jertih juga menyusahkan para peniaga kecil yang terdiri dari orang-orang Melayu, dimana, gerai-gerai yang menjual goreng pisang serta air batu turut ‘dirombak’ mengakibatkan mereka kehilangan mata pencarian.

http://buletinonline.net

Ladang, KUALA TERENGGANU – Slogan ’Merakyatkan Pembangunan’ yang menjadi landasan kerajaan dibawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said hanyalah sekadar ’menghiasai bibir’ dan ’papan-papan tanda’ sahaja.

http://www.buletinonline.net/images/stories/EidulFitri/IMG_3094.jpgIa adalah kerana, Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Omar, tidak dimaklumkan berkenaan projek pembangunan Kawasan Kampung Ladang yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Terengganu.

Beliau berkata dalam bajet negeri ada diperuntukkan sebanyak RM70 juta namun beliau tidak pasti dimana dan bila ia akan dilaksanakan (gambar – Dato’ Ku melayan para tetamu yang hadir)

”Tapi memang ada (pegawai) yang pergi membuat penilaian rumah, rakyat diberi tahu tanah dan trumah mereka akan diambil balik,

”(pelan induk) tidak ditunjuk kepada (saya) walaupun kita (saya) bercadang nak tengok tetapi (nampaknya) dia (kerajaan negeri) tidak melibatkan wakil rakyat Ladang, walaupun saya sebut dalam (Sidang) Dewan (Undangan negeri), bahawa saya ingin terlibat sama!,”katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka DUN Ladang Sempena Eidul Fitri, disini semalam.

Katanya sehingga kini pihak kerajaan negeri belum memanggil beliau, namun beliau akan mengambil inisiatif untuk berjumpa pihak-pihak yang terbabit dalam pembangunan tersebut.
http://www.buletinonline.net/images/stories/EidulFitri/IMG_3102.jpg
Beliau yang telah dipilih oleh rakyat bagi mewakili DUN Ladang kesal kerana tidak pernah diminta sebarang pendapat dalam perancangan itu.

”Tapi mereka dah rancang, kita (saya) tidak terlibat dalam perancangan, sedangkan saya minta (harap) dalam proses perancangan itu kita dilibatkan sama supaya kita boleh beri pandangan,”katanya.

Menurutnya, beliau ada mendengar, pembangunan tersebut juga akan melibatkan Majlis Agama kerana kebanyakkan tanah yang hendak dibangunkan adalah ’Tanah Wakaf Zuriat Tok Pelam’.

Dalam perkembangan Majlis Rumah Terbuka yang diadakan di perkarangan rumahnya, Dato’ Tengku Hassan menyatakan rasa gembiranya kerana majlis tersebut dihadiri oleh rakyat dari pelbagai lapisan.

”AlhamduliLlah nampaknya ramai yang datang, nampaknya pelbagai lapisan, (saya) rasa seronok, orang-orang yang dhaif yang kita bantu baru ini pun datang, ada yang datang berpimpin (kerana sakit) bawa anak-anak, dan nampak pemuda-pemuda juga ramai yang datang, miskin, kaya, korperat, pelbagai lapisan,”ujarnya.
Sebaliknya, beliau agak dukacita kerana sehingga tengahari semalam, pemimpin dari parti lawan, UMNO, belum berkunjung ke majlis itu, walaupun mereka pernah berkunjung ke majlis yang sama yang diadakannya pada tahun lalu.

KUALA TERENGGANU 25 Sept. – Lazimnya majlis kenduri kahwin diserikan dengan pemberian bunga telur kepada tetamu sebagai cenderahati tetapi berbeza pula pada majlis kenduri kahwin di rumah anak pasangan Ab. Ghani Mohd. Nor dan isteri, Hasmah Awang di Kampung Bukit di sini, semalam.

Para tetamu yang datang ke kenduri tersebut diberikan cenderamata senaskhah akhbar kompak Kosmo! sebagai pengganti bunga telur yang diagihkan sendiri oleh Mohd. Nor.

Tidak ketinggalan mengagihkan akhbar tersebut kepada tetamu ialah pasangan pengantin baru iaitu Masitah Ab. Ghani, 24, dan suaminya, Hasrizal Muhammad, 24.

Menurut Ab. Ghani, 63, inisiatif itu dilakukan bukan bertujuan mencari keunikan sebaliknya sebagai sumbangannya kepada Kumpulan Utusan setelah 33 tahun menjadi vendor syarikat akhbar itu.

“Saya menjadi vendor dengan syarikat Utusan Melayu sejak 33 tahun lalu dan tergerak hati saya untuk membalas jasa melalui pemberian akhbar ini,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Masitah, anak kedua daripada tiga beradik adalah seorang akauntan di Putrajaya manakala Hasrizal yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan merupakan kakitangan di Jabatan Kehakiman, juga di Putrajaya.

Sebelum itu, majlis pernikahan mereka berlangsung di Masjid Tengku Tengah Zahrah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung di Kuala Ibai di sini pagi semalam.

Jangan nanti ada yang menjadi gajah putih terbiar dipenuhi lalang …

KUALA TERENGGANU, 24 Sept (Bernama) — Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan memberi penekanan terhadap aspek pelancongan dan pembangunan Tasik Kenyir yang membabitkan peruntukan lebih RM10 juta tahun ini.

Pengurus Besar Ketengah Hamzah Ngah berkata menerusi peruntukan itu Ketengah mengenal pasti beberapa projek, antaranya membina terminal pelancongan Gawi serta menaik taraf kemudahan di Taman Herba dan Pulau Sah Kecil di Tasik Kenyir.

“Ini akan membolehkan Tasik Kenyir terus berkembang sebagai sebuah pusat pelancongan utama di Terengganu pada masa akan datang,” katanya dan menambah bahawa tahun ini Ketengah menerima peruntukan RM25 juta di bawah projek dana khas kerajaan Persekutuan.

Katanya peruntukan yang terbesar ialah bagi sektor pelancongan iaitu RM10.3 juta, infrastruktur dan sosial (RM6.3 juta), program perumahan (RM3.2 juta) serta pembangunan modal insan dan pendidikan (RM2.2 juta).

Selain itu, pembangunan ekonomi dan usahawan (RM1.7 juta), pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (RM800,000) dan pembasmian kemiskinan (RM500,000), katanya.

Hamzah berkata melalui peruntukan itu, pembangunan di wilayah Ketengah akan terus berjalan dengan rancak kerana peruntukan tambahan itu membolehkan agensi berkenaan memberi penekanan kepada sektor-sektor tersebut.

Katanya di bawah projek infrastruktur dan sosial, pihaknya merancang untuk membina dan menaik taraf jalan di kawasan Cheneh Baharu serta penyelenggaraan sistem perparitan di kawasan berkenaan.

— BERNAMA