Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘YPK’

BESUT 5 Julai – Ibu bapa dinasihatkan agar memastikan anak-anak mereka berada di rumah sebelum atau semasa waktu maghrib bagi mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan yang negatif.

Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, pergerakan mereka seharusnya dikawal kerana banyak perkara buruk boleh berlaku pada waktu itu.

”Awasilah anak-anak kerana tanpa kawalan, mereka mungkin terjebak dalam kegiatan tidak diingini.

” Elakkan keluar pada waktu malam atau maghrib kerana banyak perkara buruk boleh berlaku jika ibu bapa mengabaikan perhatian terhadap anak-anak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah Keluarga Mithali sempena sambutan Hari Keluarga Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh di Bangunan UMNO Bahagian Besut di sini semalam.

Pada majlis anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu, sebanyak 24 pasangan suami isteri yang terpilih sebagai Keluarga Terbilang dan Keluarga Mithali menerima anugerah dan penghargaan masing-masing.

Mengulas lanjut, Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut mahu ibu bapa lebih mengutamakan usaha membentuk dan membina sebuah keluarga berkualiti bagi memastikan kehidupan yang bahagia dan sejahtera.

Katanya, meskipun mempunyai bilangan anak yang ramai, namun ia belum pasti boleh membawa kebahagiaan.

” Apa yang penting ialah memastikan anak-anak mendapat perhatian dan penjagaan sewajarnya supaya mereka boleh menjadi insan yang berguna pada masa depan,” katanya.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian)- Masih ramai golongan lelaki hari ini tidak mengetahui mereka turut terdedah dengan risiko kanser reproduktif seperti kanser prostat dan buah zakar.

Disebabkan kurang pengetahuan itu juga, masih ramai tidak tahu bagaimana cara mengesannya dari peringkat awal, kata Pakar Kesihatan Seksual dan Reproduktif, Damai Service Hospital, Dr Mohd Ismail Mohd Tambi.

Menurutnya, ramai lelaki yang masih malu berjumpa doktor untuk membincangkan mengenai masalah alat reproduktif dan lebih gemar berjumpa dengan bomoh serta tukang urut.

“Melalui kajian yang dibuat, hakikat sebenarnya lelaki lebih terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan penyakit.

“Kadar kematian atas sebab penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, penyakit buah pinggang, strok dan kanser lebih kepada lelaki dan kajian juga menunjukkan jangka hayat lelaki kurang lima hingga enam tahun daripada wanita,” katanya.

Selain itu, katanya, ramai lelaki tidak mengetahui mereka juga mengalami perubahan lanjut usia dan penurunan tahap hormon kelelakian.

“Perubahan tahap ini dikenali sebagai ‘andropaus’,” katanya.

Dr Ismail berkata, lelaki tidak begitu peka dengan perubahan yang berlaku, berbeza dengan wanita yang lebih prihatin dengan masalah ‘menopaus’.

“Sehubungan itu, kebanyakan lelaki mengha-biskan masa tuanya dalam keadaan tidak berkualiti sedangkan gejala ‘andropaus’ boleh ditangani lebih awal,” katanya pada Beng-kel Lelaki Sihat Keluarga Cemerlang anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK).

Menurut Dr Ismail, kadar warga Malaysia yang mengalami masalah kesihatan mental adalah 15 peratus, yang mana 50 peratus daripada jumlah ini perlu mendapat rawatan dan sebilangan besar yang memerlukan rawa-tan adalah lelaki.

“Kadar lelaki yang membunuh diri dan melakukan jenayah akibat tekanan tiga kali ganda jika dibandingkan wanita.

“Lelaki yang mengalami masalah kesihatan mental, jumlahnya 40 peratus lebih daripada wanita. Kajian ju-ga menunjukkan lelaki lebih terdedah dengan tekanan dan terlibat dengan keganasan dalam rumah tangga serta tempat kerja,” katanya.

Dari aspek sosial pula Kata Dr Ismail, lelaki lebih terasing daripada keluarga akibat pekerjaan dan aktiviti sosial.

“Ini mengakibatkan mereka tidak dapat bermesra dengan anak dan isteri.

“Disebabkan itulah, lelaki mudah terjebak dengan hubungan luar dan terdedah dengan gejala yang memudaratkan kesihatan seperti penagihan dadah, mengambilan arak dan hubungan seks rambang,” katanya.

Bengkel yang dihadiri 250 peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan, badan berkanun dan swasta itu bertujuan memberi pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan fizikal, mental dan sistem reproduktif lelaki.

Program ini merangkumi tiga slot iaitu ceramah kesihatan, soal jawab dan khidmat pakar secara bersemuka.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 18 Jun (Utusan Malaysia)- Sikap ‘tak apalah’ yang masih menghantui pemikiran segelintir rakyat di negeri ini dikenalpasti sebagai salah satu punca isu kemiskinan di Terengganu masih belum mencapai penyelesaian meskipun pelbagai program dilakukan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim berkata, dalam menghadapi era globalisasi sekarang, mereka seharusnya mengubah sikap dengan berusaha mengejar kemajuan dan bukannya semata-mata menyerah bulat-bulat kepada takdir.

Beliau berkata, sikap ‘tak apalah’ sebenarnya bererti mereka menyerah bulat-bulat kepada takdir, sikap ini mesti diubah jika mahu berjaya,

”Jika semua masyarakat kata ‘tak apalah’ jika miskin, tak payahlah berusaha kerana ini takdir, maka selama itulah kehidupan mereka tidak akan berubah,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penyaluran bantuan Program Pembasmian Keluarga Bandar (PPKB) 2009 di Dewan Tunku Abd Rahman di sini hari ini.

Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan RM73,068 kepada Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Toh Puan Zaimah Ab. Aziz bagi bayaran sewa rumah kepada 103 orang yang menghuni Perumahan Desa Keluarga di Chendering.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mat Razali berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM714,658 untuk pelbagai bantuan membabitkan sebanyak 362 penerima di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) tahun ini.

Katanya, antara bentuk bantuan ditawarkan termasuklah bantuan sewa rumah, bantuan persekolahan, pengangkutan kerja dan sekolah.

”Sejak program itu diperkenalkan sebanyak 593 permohonan diterima manakala jumlah peruntukan diluluskan sehingga akhir tahun lalu adalah sebanyak 359 ketua isi rumah,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Campur tangan mentua, tiada persefahaman, tidak bertanggungjawab, pasangan curang dan enggan dimadukan serta masalah kewangan adalah punca utama perceraian membabitkan pasangan baru yang usia perkahwinan mereka kurang daripada lima tahun.

Berdasarkan statistik nikah cerai di negeri ini, sebanyak 248 kes perceraian membabitkan pasangan baru yang usia perkahwinan mereka kurang daripada lima tahun dilaporkan antara Januari hingga Jun tahun lalu.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd Shafaruddin Mustaffa, berkata daripada jumlah itu, 42 kes perceraian membabitkan pasangan baru yang tempoh perkahwinan kurang daripada satu tahun, 146 kes kurang tiga tahun dan bakinya kurang daripada lima tahun.

Beliau berkata, daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes perceraian pasangan baru yang usia perkahwinannya kurang daripada satu tahun tertinggi iaitu 11 kes, 48 kes usia perkahwinan kurang daripada tiga tahun manakala 21 kes usia perkahwinan kurang daripada lima tahun.

“Kita juga dapati 22 kes perceraian di negeri ini membabitkan usia perkahwinan mereka lebih 30 tahun.

“Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat dilaksanakan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Malaysia (LPPKM) mendapati punca menyebabkan pasangan itu bercerai disebabkan campur tangan mentua, tiada persefahaman, pasangan tidak bertanggungjawab, masalah kewangan dan curang serta pasangan enggan dimadukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Hari Keluarga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, anjuran bersama YPKT dan Pusat Khidmat DUN Ladang, di sini, semalam.

Majlis perasmian program itu dilakukan Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Pada majlis itu, YPKT turut menganugerahkan keluarga terbilang peringkat DUN Ladang kepada Amir Khalid Mohsen.

Read Full Post »

Mohd Fadlie dapat bantuan modal daripada Yayasan Pembangunan Keluarga

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Pengalaman tersungkur dalam bidang perniagaan ketika kegawatan ekonomi pada 1997 dijadikan batas sempadan oleh Mohd Fadlie Hamzah, 42, dari Kampung Batu Hampar, Manir, di sini supaya lebih berhati-hati dalam gerak kerja pengurusan perniagaan, tambahan pula apabila menceburi bidang baru iaitu penternakan ikan keli dan hiasan.

Tanpa sebarang pengalaman khusus kaedah pengendalian dan penternakan ikan keli, namun berbekalkan semangat yang cekal dan tidak mudah mengalah, Mohd Fadlie meneruskan usahanya.

“Pada awalnya memang perit kerana saya langsung tiada pengalaman dalam bidang ini, namun selepas beberapa kali mengikuti kursus dan belajar daripada pengalaman, perusahaan ini kini menjadi sumber pendapatan utama saya untuk menyara keluarga,” katanya yang ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menceritakan pembabitan awalnya, Mohd Fadlie berkata, dia mula bergiat secara serius pada 2006 selepas mendapat bantuan modal daripada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sebanyak RM3,000 selepas bancian rakyat termiskin yang dibuat badan itu mendapati dia tergolong daripada kalangan miskin.

Katanya, sebelum itu selepas perniagaan produk tenusu yang diusahakannya selama kira-kira empat tahun terpaksa `gulung tikar’ pada 1997, berikutan kegawatan ekonomi negara, dia hampir putus asa dan melakukan pelbagai kerja bagi memastikan semua anak dan isterinya tidak kelaparan di rumah.

Mohd Fadlie berkata, selepas tidak berniaga dia melakukan pelbagai kerja dan usaha mencari benih ikan dan anak ikan untuk dijadikan umpan memancing serta ternakan keli secara kecil-kecilan akhirnya berjaya dibesarkan hasil bantuan dan bimbingan daripada beberapa agensi kerajaan.

Kini dia mampu memperoleh pendapatan antara RM1,500 hingga RM5,000 sebulan melalui jualan hasil ternakan keli dalam 18 unit kanvas yang diusahakan, selain menjadi pembekal benih haruan dan keli serta menjadi pembekal ikan umpan kepada pemancing di sekitar Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

Mohd Fadlie juga mengusahakan ternakan ikan hiasan di halaman rumah yang turut memberikannya pendapatan tambahan dan antara yang diternak adalah ikan dari spesies guppy, molly, ikan laga siam dan ikan pedang.

Katanya, ketika ini dia sedang dalam peringkat percubaan menghasilkan keropok keli dalam mempelbagaikan lagi produk hasil ternakan keli sangkar yang diusahakannya selain merancang untuk membuka kedai ikan hiasan sendiri di kawasan rumah.

Read Full Post »