Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Yayasan Terengganu’

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri merancang mewujudkan galeri bagi menempatkan maklumat berkaitan sejarah dan tokoh besar yang berasal dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata DUN Seberang Takir mempunyai latar belakang sejarah yang menarik dan sudah melahirkan ramai tokoh hebat dalam pelbagai bidang, termasuk perniagaan, seni dan pendidikan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir berkata, galeri itu akan berfungsi sebagai tempat rujukan bukan saja untuk pelajar dan ahli sejarah, tetapi juga kepada orang ramai yang berminat mengkaji dan mengetahui susur galur sejarah DUN berkenaan.

“Sebenarnya impian untuk membina galeri ini sudah lama dan menjadi harapan saya untuk mewujudkannya (galeri) di DUN sendiri kerana kita sedia maklum ramai tokoh hebat dilahirkan di sini.

“Nama seperti Tan Sri Ibrahim Fikri, penyair JM Aziz, Senator Rashid Ngah, Allahyarham Wan Shamsuddin Wan Mamat bukan lagi asing bagi kita dan mereka menunjukkan kehebatan dalam bidang masing-masing.

“Justeru, melalui pendedahan ini, kita berharap pelajar akan mengambil contoh dan lebih ramai manusia hebat akan lahir selepas ini,” katanya selepas merasmikan Program Motivasi Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, di sini, semalam.

Seramai 500 pelajar tingkatan tiga, empat dan lima dari beberapa sekolah menengah di DUN Seberang Takir menyertai program motivasi yang ditaja Yayasan Terengganu (YT) dan dikendalikan dua penceramah terkenal iaitu Datuk Dr Fadzillah Khamsah dan Dr Tengku Ismadi Tengku Mohamad yang juga berasal dari Seberang Takir.

Hadir sama, Pengarah YT, Md Kamaru Al Amin Ismail.

Terdahulu, beliau turut menerima cek sebanyak RM10,000 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kemahiran Showme sebagai sumbangan bagi membiayai program motivasi pelajar pada masa akan datang.

Ahmad Razif berkata, galeri itu akan ditempatkan di satu bahagian Masjid Seberang Takir yang akan dibina dengan anggaran kos antara RM5 juta hingga RM6 juta pada tahun depan.

“Masjid lama yang diasaskan oleh Tan Sri Ibrahim Fikri akan dirobohkan dan diganti dengan masjid baru. Jadi kita akan sedia satu ruang dalam masjid itu untuk dijadikan galeri.

“Selain itu, tempat hentian bot penambang untuk ke Kuala Terengganu dan kios perniagaan turut dibina berdekatan masjid dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

“Dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan, kita harap DUN Seberang Takir muncul sebagai destinasi pelancongan terkemuka pada masa akan datang,” katanya.

Advertisements

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 16 Jun (Bernama) — Yayasan Terengganu (YT) akan menaja 100 pelajar dari kalangan anak negeri untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara tahun ini.

Pengarahnya Mohd Kamaru Al-Amin Ismail berkata pelajar-pelajar itu akan dihantar untuk mengikuti pengajian tersebut di Rusia dan Mesir Oktober ini.

“Proses memilih calon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di dua buah negara itu sudah selesai. Namun mereka perlu terlebih dahulu mengikuti kursus bahasa berkaitan dan tata negara,” katanya di sini Selasa.

Beliau berkata sehingga ini, Yayasan Terengganu menaja 261 pelajar anak negeri untuk mengikuti pengajian perubatan di luar negara, dengan 78 darinya ke Rusia, Ukraine (38), Indonesia (65) dan Mesir (80).

Menurutnya pihak Yayasan membelanjakan RM30 juta bagi membiayai pengajian pelajar-pelajar berkenaan bagi tempoh enam tahun.

Mohd Kamaru Al-Amin berkata kerajaan negeri merancang untuk menghantar antara 100 dan 150 pelajar anak negeri untuk mengikuti pengajian perubatan sama ada di dalam dan luar negara setiap tahun.

“Matlamat kami ialah untuk memastikan jumlah pegawai perubatan dalam negara mencukupi pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mulai tahun ini, Yayasan Terengganu sedang bekerjasama dengan syarikat Asia Pasific di Kota Bharu, Kelantan untuk melatih 20 anak Terengganu selama setahun untuk menjadi juruterbang.

— BERNAMA

Read Full Post »

SETIU 11 Mei (Utusan Malaysia)- Yayasan Terengganu (YT) diminta menaikkan kadar bayaran Skim Bantuan Persediaan Pelajar di negeri ini yang mengikuti program ijazah di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta daripada RM1,000 kepada RM2,000 seorang.

Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, kadar bayaran bantuan itu yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri menerusi YT perlu dinaikkan memandangkan kos serta keperluan pengajian semakin mahal.

Menurutnya, perkara itu mungkin tidak menjadi masalah bagi pelajar yang berkemampuan tetapi ia amat menyulitkan bagi pelajar daripada keluarga miskin.

“Bagi golongan miskin, jumlah ini tidak mencukupi kerana ada di kalangan ibu bapa pelajar terpaksa meminjam wang dengan orang lain untuk diberikan kepada anak mereka yang baru belajar di universiti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan majlis penutup Program Anak Angkat Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) di Kampung Langkap di sini semalam.

Program tiga hari anjuran YT dan Permata itu diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Kampung Langkap.

Skim Bantuan Persediaan Pelajar diwujudkan oleh kerajaan negeri sejak 2001 dan ia turut meliputi pelajar pengajian diploma dengan jumlah bantuan RM750 seorang manakala sijil serta sekolah berasrama penuh (RM350-RM500).

Ia diagihkan kepada para pelajar terbabit bagi meringankan beban perbelanjaan termasuk membeli barangan keperluan pengajian bagi mereka yang berjaya memasuki sekolah berasrama penuh serta IPT di negara ini.

Mohd. Jidin berkata, adalah wajar kerajaan negeri menimbang semula kadar bantuan itu mengikut keperluan semasa supaya pelajar di negeri ini tidak mempunyai masalah dari segi kewangan.

“Bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak memudahkan pelajar yang berkelayakan mengikuti pengajian mereka di pusat pengajian yang ditawarkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah YT, Zakaria Yusof ketika ditemui di majlis itu berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya mengagihkan RM18 juta sebagai bantuan persediaan ke sekolah berasrama penuh dan IPT.

Menurutnya, pada tahun ini bayaran bantuan itu dijangka meningkat kepada RM20 juta kerana bilangan pelajar yang berjaya mengikuti pengajian ke IPT semakin meningkat.

“Semua bayaran bantuan itu dikeluarkan mengikut kategori tertentu antara RM350 hingga RM1,000 bagi setiap pelajar,” katanya.

Read Full Post »