Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Yayasan Pembangunan Keluarga’

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Campur tangan mentua, tiada persefahaman, tidak bertanggungjawab, pasangan curang dan enggan dimadukan serta masalah kewangan adalah punca utama perceraian membabitkan pasangan baru yang usia perkahwinan mereka kurang daripada lima tahun.

Berdasarkan statistik nikah cerai di negeri ini, sebanyak 248 kes perceraian membabitkan pasangan baru yang usia perkahwinan mereka kurang daripada lima tahun dilaporkan antara Januari hingga Jun tahun lalu.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd Shafaruddin Mustaffa, berkata daripada jumlah itu, 42 kes perceraian membabitkan pasangan baru yang tempoh perkahwinan kurang daripada satu tahun, 146 kes kurang tiga tahun dan bakinya kurang daripada lima tahun.

Beliau berkata, daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes perceraian pasangan baru yang usia perkahwinannya kurang daripada satu tahun tertinggi iaitu 11 kes, 48 kes usia perkahwinan kurang daripada tiga tahun manakala 21 kes usia perkahwinan kurang daripada lima tahun.

“Kita juga dapati 22 kes perceraian di negeri ini membabitkan usia perkahwinan mereka lebih 30 tahun.

“Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat dilaksanakan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Malaysia (LPPKM) mendapati punca menyebabkan pasangan itu bercerai disebabkan campur tangan mentua, tiada persefahaman, pasangan tidak bertanggungjawab, masalah kewangan dan curang serta pasangan enggan dimadukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Hari Keluarga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, anjuran bersama YPKT dan Pusat Khidmat DUN Ladang, di sini, semalam.

Majlis perasmian program itu dilakukan Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Pada majlis itu, YPKT turut menganugerahkan keluarga terbilang peringkat DUN Ladang kepada Amir Khalid Mohsen.

Read Full Post »

Mohd Fadlie dapat bantuan modal daripada Yayasan Pembangunan Keluarga

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Pengalaman tersungkur dalam bidang perniagaan ketika kegawatan ekonomi pada 1997 dijadikan batas sempadan oleh Mohd Fadlie Hamzah, 42, dari Kampung Batu Hampar, Manir, di sini supaya lebih berhati-hati dalam gerak kerja pengurusan perniagaan, tambahan pula apabila menceburi bidang baru iaitu penternakan ikan keli dan hiasan.

Tanpa sebarang pengalaman khusus kaedah pengendalian dan penternakan ikan keli, namun berbekalkan semangat yang cekal dan tidak mudah mengalah, Mohd Fadlie meneruskan usahanya.

“Pada awalnya memang perit kerana saya langsung tiada pengalaman dalam bidang ini, namun selepas beberapa kali mengikuti kursus dan belajar daripada pengalaman, perusahaan ini kini menjadi sumber pendapatan utama saya untuk menyara keluarga,” katanya yang ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menceritakan pembabitan awalnya, Mohd Fadlie berkata, dia mula bergiat secara serius pada 2006 selepas mendapat bantuan modal daripada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) sebanyak RM3,000 selepas bancian rakyat termiskin yang dibuat badan itu mendapati dia tergolong daripada kalangan miskin.

Katanya, sebelum itu selepas perniagaan produk tenusu yang diusahakannya selama kira-kira empat tahun terpaksa `gulung tikar’ pada 1997, berikutan kegawatan ekonomi negara, dia hampir putus asa dan melakukan pelbagai kerja bagi memastikan semua anak dan isterinya tidak kelaparan di rumah.

Mohd Fadlie berkata, selepas tidak berniaga dia melakukan pelbagai kerja dan usaha mencari benih ikan dan anak ikan untuk dijadikan umpan memancing serta ternakan keli secara kecil-kecilan akhirnya berjaya dibesarkan hasil bantuan dan bimbingan daripada beberapa agensi kerajaan.

Kini dia mampu memperoleh pendapatan antara RM1,500 hingga RM5,000 sebulan melalui jualan hasil ternakan keli dalam 18 unit kanvas yang diusahakan, selain menjadi pembekal benih haruan dan keli serta menjadi pembekal ikan umpan kepada pemancing di sekitar Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

Mohd Fadlie juga mengusahakan ternakan ikan hiasan di halaman rumah yang turut memberikannya pendapatan tambahan dan antara yang diternak adalah ikan dari spesies guppy, molly, ikan laga siam dan ikan pedang.

Katanya, ketika ini dia sedang dalam peringkat percubaan menghasilkan keropok keli dalam mempelbagaikan lagi produk hasil ternakan keli sangkar yang diusahakannya selain merancang untuk membuka kedai ikan hiasan sendiri di kawasan rumah.

Read Full Post »