Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘wanita tertua’

HULU TERENGGANU 7 Julai (Utusan Malaysia)- Kisah unik wanita tertua di Terengganu, Wook Kundur yang berusia 107 tahun selain mempunyai seorang suami yang jauh lebih muda, pernah menggemparkan negara.

Namun, saat manis mereka seolah-olah tidak bertahan lama apabila suaminya itu, Mohd. Nor Musa ditangkap oleh sepasukan anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana disyaki menagih heroin.

Mohd. Nor, 38, ditangkap di pekarangan rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang kira-kira pukul 2.20 petang ini.

Dia didapati positif mengambil dadah jenis heroin kemudian dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sungai Besi, Kuala Lumpur untuk rawatan selama dua tahun.

Penahanan itu dibuat di bawah Seksyen 8(3)(a) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan Pindaan 1998.

Ketua Pegawai AADK Hulu Terengganu, Rohana Hitam berkata, ketika Mohd. Nor ditahan, isterinya, Wook tiada di rumah.

“AADK menjalankan siasatan terhadap Mohd. Nor selama dua bulan selepas mendapat maklumat orang ramai mengenai penglibatannya dengan dadah.

“Malah, dia mengaku pernah dimasukkan ke Pusat Serenti Tampin, Negeri Sembilan,” katanya di sini hari ini.

Pasangan suami isteri itu pernah mendapat liputan meluas apabila berkahwin pada tahun 2005 dan hidup bahagia walaupun berbeza jarak usia hampir 69 tahun.

Ia adalah perkahwinan pertama Mohd. Nor manakala yang ke-22 buat Wook. Bagaimanapun hasil perkahwinan pasangan itu, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Menurut Rohana, Mohd. Nor dihantar ke Puspen selepas dia sendiri sanggup untuk menjalani rawatan di pusat pemulihan itu.

Katanya, sekiranya berkelakuan baik dan menunjukkan pemulihan, Mohd. Nor boleh dibebaskan lebih awal.

Sementara itu, Wook berkata, dia berharap suaminya cepat berubah untuk kembali pulih selain bertaubat serta sentiasa mengingati tuhan.

“Dulu memang dia kerap keluar malam jumpa kawan-kawan. Dia juga jual kereta dan cincin saya, tapi saya tak syak apa-apa. Tapi hari ni, ada orang datang beritahu dia kena tangkap, kena gari.

“Saya memang sedih tapi nak buat macam mana, eloklah dia berubat dulu,” katanya ketika ditemui di pejabat AADK di Ajil.

Walaupun Mohd. Nor ditangkap, Wook tetap memaafkan suaminya dan bersedia menerimanya kembali.

Menurutnya, dia sempat mengirimkan tasbih, kain pelikat dan kopiah kepada suaminya itu.

Read Full Post »