Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘venue’

KUALA TERENGGANU (Bernama) – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sedang menunggu laporan berkenaan keadaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dekat sini, yang bumbungnya runtuh semalam, sebelum memutuskan gelanggang bagi perlawanan bola sepak Liga Super dan Liga Perdana membabitkan pasukan-pasukan dari negeri ini.

Naib Presiden PBSNT, Sheikh Tajuddin Sheikh Yusof berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa berhubung kedudukan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sama ada boleh digunakan atau sebaliknya untuk perlawanan liga-liga itu.

“Kita belum pasti dan kenyataan masih belum dibuat berhubung kedudukan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Kita tunggu dan lihat,” katanya mengulas mengenai kejadian bumbung stadium berharga RM270 juta itu, yang runtuh hampir 60 peratus kira-kira 9.30 pagi semalam.

Pada masa ini, pasukan Terengganu dan T-Team menggunakan stadium berkenaan sebagai gelanggang untuk perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.

Sheikh Tajuddin yang juga pengurus pasukan Terengganu berkata setakat ini, pilihan PBSNT bagi menggantikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ialah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada masa ini, tempat duduk di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sedang dibaik pulih dan belum pasti boleh digunakan.

“Kita bimbang Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tidak dapat disiapkan dalam tempoh terdekat kerana pasukan Terengganu akan menentang KL Plus di Kuala Terengganu pada 16 Jun ini,” katanya.

Beliau berkata, satu mesyuarat jawatankuasa pengurusan pasukan Terengganu akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.

“Kita akan buat keputusan mengenai status gelanggang itu selepas mesyuarat berkenaan dan cuba selesaikan secepat mungkin bagi memastikan perlawanan-perlawanan Liga Super dan Liga Perdana mengikut jadual,” katanya. – Bernama

Read Full Post »