Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘UPSR’

ALOR LINTANG – Jasa guru yang menjadikan pelajar daerah ini cemerlang dalam setiap keputusan peperiksaan terutama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah amat dihargai.

Justeru, warga pendidik layak diberi penghormatan dan diraikan demi menghargai jasa mereka membentuk warganegara cemerlang selaras tema sambutan hari guru iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

Bagi menghargai golongan itu, Pejabat Pelajaran Daerah Besut tidak ketinggalan mengadakan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti.

Lebih 500 guru seluruh daerah menghadiri program itu di Dewan Nasiruddin Shah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah.

Majlis yang bermula jam 2.30 petang itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Baharuddin Ibrahim.

Muhamad Pehimi dalam ucapannya memaklumkan bahawa tugas sebagai guru amat murni di sisi agama dan jika melaksanakan tugas dengan ikhlas, ganjaran yang dijanjikan Tuhan amat besar.

“Guru cemerlang akan melahirkan pelajar cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi sukan. Daerah ini umpamanya, melahirkan ramai atlet yang bertanding pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia dan membawa pulang banyak kemenangan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 31 warga pendidik dan kakitangan menerima anugerah serta sijil termasuk penerima Anugerah Tokoh Persatuan Ibu Bapa dan Guru Ghazali Che Noh.

Sementara itu, Tokoh Pengetua Cemerlang disandang Pengetua SMK Pelagat, Ruhani Salleh dan Tokoh Guru Besar adalah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kuala Besut, Che Husin Ismail.

Anugerah Tokoh Guru 2009 Daerah Besut turut diberikan kepada bekas Pegawai Pelajaran Besut, Wan Ahmad Wan Abdullah, 59, tokoh pendidik yang tidak asing lagi bagi negeri negeri amnya dan Besut khasnya.

Read Full Post »