Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Uniivesiti Malaysia Terengganu’

Natrah (kiri) bersama Rokayah ketika melawat keluarga angkatnya pada tahun 1997 di Kampung Mak Chili Paya, Kemaman, Terengganu.


KEMAMAN 10 Julai (Utusan Malaysia)- Bertha Hertogh atau nama Islamnya, Natrah sentiasa merindui keluarga angkatnya di sini malah meminta mereka menziarahinya di Belanda ketika dia sakit teruk akibat leukemia sehingga membawa kepada kematian.

Menurut saudara angkat Natrah, Rokayah Mohd. Dahan, 63, Natrah sering meluahkan perasaannya itu menerusi e-mel atau telefon semasa berhubung dengan adiknya di Kemaman dan juga anaknya yang tinggal di Kuantan.

“Saya mendapat berita kematiannya menerusi telefon pukul 8 malam tadi daripada anak saya, Mohd. Akram Abdul Aziz yang bekerja di Kuantan.

“Ketika itu saya terkejut dan sangat sedih kerana dia pergi jua menghadap Tuhan, memang banyak kenangan saya dengan dia semasa di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili Paya dekat sini hari ini.

Rokayah merupakan cucu kepada ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamed.

Menurutnya, kenangan yang dia tidak lupa apabila Allahyarham masih petah bercakap bahasa Melayu loghat Indonesia sewaktu datang ke Kemaman pada 1997 walaupun sesudah 46 tahun meninggalkan Malaysia.

Malah jelasnya, Natrah amat gemarkan makanan tradisional Melayu iaitu ketupat palas.

“Pada tahun 1997, dia balik ke Kemaman bersama suami warga Indonesia sambil diiringi dua wartawan Belanda.

“Ketika itu Natrah tinggal di Kemaman tiga malam, satu malam tidur di rumah saya. Masa itulah kami sempat berkongsi kenangan dengannya,” ujarnya.

Natrah meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda kelmarin pada usia 72 tahun akibat leukemia.

Beliau menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asalnya dari Belanda.

**********************

Posting berkaitan:

Advertisements

Read Full Post »

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menggondol dua pingat emas, satu pingat perak, empat pingat gangsa dan satu anugerah khas pada Pertandingan Pameran Antarabangsa Teknik Baru Invensi dan Produk Geneva ke-37, yang berlangsung di Switzerland pada 1 hingga 5 April lalu.

Naib Canselor UMT, Profesor Dr Aziz Deraman berkata, pameran yang dianjurkan setiap tahun itu disertai lima penyelidik UMT berserta lapan produk itu turut bersaing dengan hampir 1, 000 produk yang dihasilkan penyelidik daripada pelbagai negara.

“Pencapaian diperoleh secara tidak langsung memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan usaha yang lebih padu bagi mencapai hasrat sebagai universiti penyelidikan terulung 2015 nanti.

“Selain itu juga, dengan pelbagai kejayaan yang dicapai penyelidik kita sebelum ini turut menambahkan lagi kekuatan bagi memastikan UMT terus berada pada landasan yang terbaik untuk melahirkan lebih ramai penyelidik berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media kemenangan penyelidik UMT pada Pameran Antarabangsa Geneva, Switzerland, bertempat di Bilik Mesyuarat Hal Ehwal Dekan Penyelidikan dan Inovasi (HEPI), di sini, semalam.

Menurut Aziz, kebanyakan produk hasil penyelidik berkenaan berjaya mendapat tempat untuk dipasarkan melalui pelbagai syarikat yang berkaitan dan pihak UMT sememangnya akan berusaha untuk memastikan bahawa usaha itu mencapai matlamat ditetapkan.

Sementara itu, Penyelidik Fakulti Sains dan Teknologi, Mohd Hasmizam Razali yang memperoleh pingat emas serta Anugerah Mawhiba 2009 berjaya membuktikan bahawa dua produk berkenaan berupaya mengurangkan pencemaran udara dan air, sekali gus menarik perhatian juri pada pertandingan berkenaan.

Penyelidik lain yang turut menyumbang kepada pingat pada pertandingan berkenaan adalah, Profesor Madya Dr Sayed Mohd Zain Syed Hassan dengan produknya ‘Utilization of Malaysia’s Yam (Dioscorea Alata L) Flour in Food Product.

Aziz Yusof dengan produknya Keli Omega Plus, Dr Zaleha Kassim (Flex Seed for Aquaculture, Wifish: Web Application Sytem for Fish, Landing Data Collection Using Wireless Mobile Device).

Sementara, Mustafa Man berbangga dengan produk ciptaannya iaitu Easy Search: A Web-based Solution for Letter in and Letter out Searching Software dan Arpos: Gis Visuslization Tools Artificial Reefs Distribution.

Read Full Post »