KUALA TERENGGANU, 18 Jun (Bernama) — Terengganu sedia menjadi pembekal buku elektronik atau e-Book di seluruh negara bagi kegunaan pelajar, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Beliau berkata Kementerian Pelajaran menunjukkan minat menggunakan e-Book setelah Menteri Besar Datuk Ahmad Said membuat tawaran kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, baru-baru ini.
“Kita ingin pastikan penggunaan e-Book di Terengganu berjalan lancar kerana kita sekarang sedang dipantau oleh Kementerian Pelajaran dan negeri-negeri lain.
“Mengikut perancangan, pada pertengahan bulan depan, semua murid Tahun Lima di Terengganu yang berjumlah kira-kira 25,000 orang akan mendapat e-Book masing-masing,” katanya selepas merasmikan Hari Guru peringkat daerah Kuala Terengganu di sini Khamis.
Ahmad Razif berkata pembelajaran dalam bentuk buku elektronik itu juga mendapat perhatian daripada kerajaan negeri Melaka, Sarawak dan terbaru Brunei.
“Brunei menunjukkan minat terhadap penggunaan e-Book yang dipelopori oleh Terengganu. Mereka sudah mengambil contoh e-Book untuk diteliti dan sekarang menunggu pelaksanaannya di Terengganu dengan penuh minat,” katanya.
Beliau berkata syarikat Intel Sdn Bhd yang membekalkan komputer itu telah memberi persetujuan kepada anak syarikat kerajaan negeri, Top-IT Sdn Bhd untuk menjadi pembekal buku elektronik itu.
E-Book merupakan buku elektronik yang dibekalkan dengan pelbagai subjek pendidikan kepada murid Tahun Lima dalam usaha meningkatkan pelajaran mereka di samping meringankan beban membawa buku ke sekolah.
— BERNAMA