Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘TIEP’

SETIU 13 Julai (Utusan Malaysia) – Keunikan alam semula jadi di kawasan pantai di daerah ini mendorong sebuah syarikat swasta membina sebuah hotel bernilai RM122 juta di Pantai Merang di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib berkata, hotel yang menyediakan 190 bilik itu akan dikendalikan oleh Desa Perantau Sdn. Bhd.

Menurut beliau, hotel berkenaan akan dibina di atas tanah seluas dua hektar yang disewa daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Katanya, pembinaan hotel itu berhampiran dengan Terengganu International Equestrian Park (TIEP) Lembah Bidong di sini, dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi.

”Pembinaan hotel ini dijangka dapat mempertingkatkan sosial ekonomi masyarakat setempat.

”Hotel ini juga akan memberi peluang pekerjaan kepada 200 penduduk tempatan dalam pelbagai bidang perhotelan sekali gus dapat menjana industri pelancongan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hotel Eksklusif di Pantai Merang di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Za’abar menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Diraja Sultan Mizan yang wakili oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Mohd. Fadzli Yusof dengan Desa Perantau Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusannya, Zainab Yusof.

Za’abar berkata, kerajaan negeri akan memperbanyakkan lagi produk-produk pelancongan terutama sukan lasak seperti kuda lasak dan Piala Monsun.

”Terengganu mempunyai pelbagai produk pelancongan yang mampu menarik pelancong terutamanya pelancong asing ke negeri ini setiap tahun.

”Ini dapat meningkatkan pendapatan sampingan masyarakat setempat selain mempromosi negeri ini di luar negara,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menjangka peningkatan kedatangan pelancong tahun ini kepada empat juta orang berbanding 3.53 juta pada tahun lepas.

”Kedatangan pelancong asing ke negeri ini meningkat dari semasa ke semasa kerana mereka tertarik dengan kegiatan pelancongan yang dianjurkan oleh kerajaan,” katanya.

Read Full Post »

SETIU, 11 Julai (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, mengetuai 51 penunggang kuda memulakan cabaran Endurance Ride RTES di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong di sini Sabtu ini.

Baginda yang menunggang kuda bernama ‘B.H. Magna Thor’, mewakili kelab Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), dalam acara 80 kilometer itu.

Kejohanan kuda lasak tersebut sehari itu dijangka akan berakhir pada pukul 5.10 pagi esok.

Kejohanan itu juga turut dimeriahkan oleh penyertaan anakanda Tengku Muhammad Ismail yang akan berentap bersama 33 penunggang dalam saingan kategori 40 kilometer.

Tengku Muhammad, yang mewakili kelab RTES, menunggang kuda bernama ‘Harmere Cairo’.

Kejohanan itu dianjurkan bersama RTES dan kerajaan negeri Terengganu.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU: Kejohanan lumba kuda berprestij, Terengganu Endurance Challenge Piala Sultan 2009 akan berlangsung di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu pada 6 hingga 8 November depan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata walaupun hanya satu kategori dipertandingkan pada kejohanan yang membabitkan kategori 120 kilometer, ia tetap penting bagi mencari penunggang muda yang bakal mewakili negara di kejohanan dunia pada masa depan.

“Sebanyak 16 negara, termasuk Jepun, Korea Selatan dan New Zealand yang akan menyertai kejohanan ini dan kehadiran peserta berpengalaman menjadikan kejohanan lebih rancak dan mewujudkan persaingan yang lebih sengit,” katanya pada majlis Prapelancaran Piala Sultan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, kelmarin.

Perasmian majlis berkenaan disempurnakan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mokhtar Nong dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

Pelbagai acara menarik diadakan seperti pertunjukan bunga api, persembahan payung terjun dengan membawa bendera kejohanan oleh 10 anggota Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), persembahan daripada gabungan seni briged seni Taman Budaya Kuala Ibai dan persembahan berkuda.

Ahmad berkata, prapelancaran itu adalah kesinambungan kepada Kejohanan Endurance Dunia yang berlangsung dengan jayanya tahun lalu.

Read Full Post »