Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Terngganu’

KUALA BERANG (Berita Harian): Kerajaan negeri akan mewujudkan ‘Pasar Raya Rakyat’ di bandar Kuala Berang, yang akan memberikan manfaat kepada golongan berpendapatan rendah membeli barangan keperluan pada harga lebih murah dan berpatutan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pasar raya itu yang akan dibina dengan kos RM3 juta hingga RM4 juta itu diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) negeri serta akan menjadi pusat pemasaran barangan yang dihasilkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

“Pasar raya itu akan menjual barangan makanan dan keperluan harian pada harga yang sangat munasabah dan berpatutan, malah kos operasi akan ditanggung kerajaan negeri.

“Melaluinya (Pasar Raya Rakyat) kita akan membantu rakyat memasarkan hasil keluaran pertanian atau produk yang dihasilkan dan ia akan memberikan manfaat berterusan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Diman, Ajil, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Ahmad berkata, ketika ini kerja mengenal pasti tapak dan merekabentuk bangunan sedang dijalankan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu.

Katanya, kerja pembinaan pasar raya itu akan dimulakan dalam tempoh terdekat dan ia dijangka beroperasi tahun depan.

Beliau berkata, projek berkenaan akan dikembangkan ke semua daerah lain di negeri ini jika projek perintis di Kuala Berang itu berjaya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 14 Jun (Utusan Malaysia)- Sebanyak 350 pemimpin Persatuan Pandu Puteri dari seluruh negara yang berhimpun di bandar raya ini bagi menghadiri Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung persatuan itu didedahkan dengan tarikan pelancongan dan budaya hidup masyarakat negeri ini.

Ini kerana, budaya pengelolaan persidangan persatuan itu setiap tahun menjadikan segmen untuk mengenali budaya negeri-negeri yang menjadi tuan rumah sebagai salah satu acara.

Pada tahun ini, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu diberi kepercayaan untuk mengendalikan acara tersebut dari 1 hingga 5 Jun lepas dan ini memberi peluang kepada Terengganu untuk memperkenalkan keindahan budaya dan keunikan pantai dan lautnya.

Menurut Ketuanya, Zaini Mohd. Nor, para perwakilan dibawa melawat Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man yang menempatkan 21 replika monumen Islam dan Masjid Kristal.

”Mereka juga dibawa melawat Muzium Negeri Terengganu yang merupakan muzium terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Selain itu, katanya, perwakilan juga berpeluang menyaksikan tenunan songket melalui lawatan ke Permint Sutera Semai di Chendering iaitu satu-satunya pusat tenunan sutera di negara ini.

Menurutnya, peserta juga tidak ketinggalan dibawa melawat Yayasan Tuanku Nur Zahirah yang merupakan pusat tenunan songket kontemporari dan tidak ketinggalan mengunjungi Pasar Besar Kedai Payang.

Persidangan Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menekankan agar persatuan turut sama menyumbangkan idea konstruktif dalam membangunkan negara dan negeri Terengganu.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pula berkenan merasmikan kemuncak acara iaitu Mesyuarat Agung persatuan itu.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Pandu Puteri Raja kepada 59 pelajar seluruh negara yang merupakan anugerah tertinggi yang diberikan dalam persatuan.

Turut berkenan memeriahkan perasmian Mesyuarat Agung persatuan ialah dua bekas Raja Permaisuri Agong iaitu Tengku Ampuan Intan Zaharah dan Tengku Ampuan Bariah.

Read Full Post »