Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘ternakan ayam’

KUALA TERENGGANU, 11 Julai (Bernama) — Permintaan daging ayam di Terengganu pada bulan Ramadan dan hari raya ini, dijangka meningkat kepada 500,000 ekor berbanding 400,000 ekor tahun lepas.

Bendahari Persatuan Ternak Terengganu (PTT), Shamshudin Ab Wahab berkata jangkaan itu berdasarkan persiapan para penternak bagi menghadapi musim perayaan itu.

“Kemungkinan, jika bekalan daging ayam tidak mencukupi pada musim perayaan ini, kita akan import,” katanya ketika dihubungi di sini Sabtu ini.

Beliau berkata terdapat beberapa syarikat ternakan ayam komersil serta berpuluh-puluh penternak yang mengusahakan ternakan ayam di negeri itu.

Katanya harga ayam dijangka stabil pada musim perayaan ini kerana penternak khususnya yang menjalankan ternakan secara kecil-kecilan telah menerima insentif daripada kerajaan.

Beliau berkata harga ayam di ladang ialah RM4.20 sekilogram manakala harga yang dijual di pasar, antara RM5 dan RM7 sekilogram.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Veterinar (JPV) negeri, Dr Azizol Mohd Sharum berkata bekalan daging lembu di Terengganu mencukupi pada musim perayaan itu.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan daging lembu sentiasa mencukupi di negeri ini,” katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »